Aliff Aziz Mengaku Bersalah, Minta Pihak “Sana” Untuk Terus Terang

Aliff Aziz memohon maaf kepada Bella Astillah kerana telah menyakiti hati isterinya apabila dia keluar berdua bersama Afifah Nasir yang juga adik kepada Anzalna Nasir.

Penyanyi dan pelakon kelahiran Singapura, Aliff Aziz telah mengaku bersalah kerana menyakiti hati isterinya dalam satu sidang media yang diadakan semalam di Bukit Jelutong. Aliff Aziz turut mengaku keluar bersama pelakon yang baru meningkat naik, Afifah Nasir pada malam itu.
 

Gambar: Instagram


 
Dalam sidang media tersebut, Aliff turut meminta maaf kepada isteri, ahli keluarga dan peminat kerana kesalahannya itu dan dia juga turut berharap Afifah Nasir yang juga adik kepada Anzalna Nasir untuk melakukan hal yang sama.

“Saya dan dia tahu apa yang berlaku sebenarnya. Jika saya boleh mengaku kekhilafan diri dan memohon maaf, sekali gus berdepan dengan semua pihak termasuk keluarga dan rakan media, dia juga sewajarnya melakukan perkara sama andai merasakan dirinya bersalah. Tidak perlu tegakkan benang yang basah. Kita sama-sama buat silap dan kebenaran akan terserlah juga akhirnya,” -Aliff Aziz.

Pada Jumaat lalu, Aliff ditahan pihak polis selepas isterinya, Bella Astillah membuat laporan polis dan mendakwa Aliff memukulnya. Selepas dua hari ditahan di Balai Polis Dang Wangi, Aliff dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu lalu. Bella juga turut menarik semula aduannya pada hari yang sama Aliff dibebaskan.
 

Gambar: Instagram Aliff Aziz


 
Bagi Bella, dia sanggup memaafkan Aliff demi anak lelaki mereka, Mohamad Ayden Adrean yang dilahirkan pada 8 Julai lalu. Dia ternyata lega dengan pengakuan dan penjelasan Aliff namun sukar baginya untuk melupakan apa yang sudah terjadi dan dia berharap agar orang ramai dapat mendoakan agar rumah tangganya bersama Aliff dapat berkekalan.
 
Anzalna Turut Memohon Maaf

Sebelum ini, pelakon, Anzalna Nasir telah menulis di ruangan komen laman Instagram miliknya seakan menyebelahi adiknya iaitu Afifah Nasir yang dikatakan menjadi orang ketiga dalam rumah tangga pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz dan isterinya, Bella Astillah.
 

Gambar: Instagram Anzalna Nasir


 
Dalam komen tersebut, Anzalna telah menyamakan Bella dengan wanita meroyan selepas bersalin dan komen tersebut telah mendapat banyak tentangan netizen yang juga pengikut pelakon itu . Gara-gara banyak netizen yang memberikan kata yang negatif di ruangan komen Instagramnya, Anzalna bertindak untuk memohon maaf.

” Ramai netizen datang menghamburkan kata-kata yang kurang elok dan biadap di ruangan komen saya. Sebagai seorang manusia biasa, siapa yang gembira apabila membcara banyak komen negatif yang datang bertubi-tubi? Perkara itu menjadi satu provokasi dan menimbulkan kemarahan. Apabila dalam kemarahan, ayat yang tidak sepatutnya akan keluar dari mulut kita. Saya dengan rasa rendah diri inign memohon maaf atas ketelanjuran kata kepada semua pihak, termasuk pihak sana,”- Anzalna kepada Astro Gempak.

Pelakon itu juga dikatakan telah menutup ruangan komen di akaun Instagram miliknya demi kebaikan bersama. Anzalna juga turut menafikan tindakannya itu adalah kerana takut sebaliknya dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan yang semakin pulih.
 
Anzalna turut menyatakan kepada semua pihak agar bersabar untuk mendapatkan kenyataan terus dari adiknya pula nanti.