Farid Kamil Bukan Yang Pertama, Dadah Sudah Lama Menghantui Dunia Selebriti

Penyalahgunaan dadah dalam dunia seni kembali menjadi bualan panas selepas kes Datuk Farid Kamil ditahan minggu lalu. Semudah itu dadah menyusup dalam masyarakat kita?

Sex, Drugs & Rock n Roll. Selamat Datang ke Dunia Showbiz!

dadah

 

“Naik bas, kan. Tahu-tahu sampai dah Chow Kit,” kata Saleem dalam loghat Terengganunya yang pekat dalam satu perbualan kami, mengimbas penahanannya pada 1996 kerana kes pengambilan dadah.

Saya hanya mampu senyum mendengar refleksi yang dirasakan natural bagi bekas vokalis band Iklim ini, memicit loceng ketika bas mini yang dinaikinya melewati daerah itu dan kakinya menyusuri lorong-lorong yang amat dikenalinya itu untuk mencari “barang.”

Mula heroin, berlarutan ke ice. Kejadian 1996 bukan yang terakhir apabila pada Mac 2005 pelantun Suci Dalam Debu ini dijatuhi hukuman penjara lapan bulan selepas mahkamah mendapatinya bersalah kerana memiliki peket plastik mengandungi campuran heroin dan monoacetlymorphine.

Ironik bukan, kerana antara bakat seni terbaik Malaysia adalah mereka yang  terbabit dengan penyalahgunaan dadah. Soalnya, kenapa?

Farid Kamil, terbaru dalam senarai apabila Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Penolong Pesuruhjaya Mohd Zaini Che Din mengesahkan sutradara dan aktor papan atas itu positif dadah jenis ganja hasil ujian saringan air kencing selepas ditahan kerana mengamuk dan menyerang seorang anggota polis selain dua orang awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara, Khamis lalu.

Berita penahanan selebriti berusia 37 tahun itu yang belum lama memegang gelaran Datuk, menenggelami gelagat menggusarkan aktor, Iqram Dinzly beberapa bulan ini, menerusi video-video yang dimuat naik di Instagramnya, berbaur antara lucah dan keagamaan sehingga meraih perhatian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Kata seorang bintang rock kepada saya dulu, dadah adalah sebahagian daripada budaya dunia hiburan.

Ice yang merupakan antara nama jalanan bagi dadah jenis syabu atau nama saintifiknya, Methaphatamine, dikatakan mendominasi masalah penyalahgunaan dadah membabitkan karyawan seni, selain pengambilan ganja.

Semudah mana untuk mendapatkan bekalan dadah?

“Macam gula-gula,” kata seorang tokan, di mana harga pasaran di pinggir ibukota bagi ice misalnya, boleh didapati pada harga sekitar RM100 untuk paket seberat 0.5 gram, bergantung pada mutu selain kawasan.

Urusniaga jadi lebih mudah buat golongan selebriti kerana servis penghantaran dibuat sampai ke depan pintu.

dadah

Dunia showbiz menjadi saksi bagaimana seorang penyanyi popular yang gugup, memukau hadirin di konsert meganya selepas dia dilihat menerima bungkusan daripada budak deliverynya.

Atau, bagaimana lagu-lagu hit  yang evergreen sebenarnya dinukilkan komposer terkenal yang low profile, selama dia menjadi penghuni di pusat pemulihan.

Pernah, dalam satu pertemuan dengan anggota sebuah band tempatan yang diidolakan sampai ke Indonesia, semasa ditanya mengenai kondisi salah seorang ahli mereka, katanya: “Syabu. Pokoknya dia mencuba apa saja yang terbaru di pasaran.”

Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), menerusi satu paparan di Facebook menyebut dadah jenis syabu digemari kerana ia memberi rasa euphoria, iaitu rasa gembira dan menyeronokkan, termasuk rasa lebih bertenaga dengan peningkatan aktiviti fizikal.

Ia bagaimanapun, memberi kesan buruk seperti menggeletar, diikuti rasa gelisah, cepat marah, gementar, kebingungan, fikiran terganggu dan boleh bersifat ganas selepas hilang kesan khayal. Boleh tidak tidur sehingga 15 hari, efek lain termasuk kemurungan yang teruk, syak wasangka tanpa sebab, bersikap garang, keganasan tidak terkawal, perlakuan psikotik seperti gila, juga eksploitasi seks yang menambah rasa berahi.

Berbanding Iqram, insiden lewat gambar yang tersebar dan fakta-fakta yang didedahkan berkaitan Farid mengejutkan masyarakat lantaran bertentangan dengan keperibadian yang dipamernya selama ini. Bagi peminat, sebahagiannya mengandaikan dia dianiaya, malah ada menyifatkan ia hanya gimik.

Entah sengaja mencetus jenaka atau memang kebodohan nyata, aktor, Soffi Jikan kala mempertahankan perlakuan Farid dengan mengaitkan sifat kepimpinan mantan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman yang diwarisi sahabatnya itu, tidak memberi sebarang justifikasi terhadap isu sebenar.

Farid dikenakan perintah tahanan reman empat hari, sehingga hari ini, oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. Perintah dikeluarkan Majistret Zaki Asyraf Zubir bagi membolehkan siasatan dibuat terhadapnya mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan: Seksyen 90 Akta Polis; Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Sebagai bapa kepada dua anak comel, Muhammad, 6 dan Nur Aurora, 3, hasil perkahwinan dengan aktres jelita, Diana Danielle sejak 3 November 2012, dan kerjaya seni yang mantap, hidupnya tampak hampir sempurna. Lalu, apa yang berlaku sebenarnya?

Tanpa selindung, adik Farid, Fadzil Bahari Zahari mendedahkan dalam pertemuan tiga hari sebelum kejadian, abangnya “kelihatan murung, mungkin mengalami masalah mental dan tekanan perasaan.” Farid dikatakan terlalu merindui anaknya, sekaligus mencetuskan persoalan berhubung rumahtangganya tetapi dinafikan Diana.

Sehari sebelum kejadian, perlakuan aneh sudah diperlihatkan apabila aktor, Ridzuan Hashim, 53, mendedahkan ditampar Farid yang mengunjungi set drama Uniknya Cinta di studio milik Soffi. Farid, katanya lagi, “ketika itu, saya lihat dia seperti kebingungan” sebelum berlari meninggalkan lokasi penggambaran.

Lebih membingungkan, dakwaan pengarah drama, Shuhaimi Lua Abdullah yang melihat Farid membawa “pistol” yang bagaimanapun tidak dapat dipastikan keasliannya dalam kejadian pada jam 1.30 pagi, 10 Januari lalu itu selain berada dalam keadaan tidak terurus mahu pun berselipar.

dadah

Cerita Raja Pop, Jamal Abdillah dan dadah bukan rahsia. Jadi hamba dadah seawal usia 14 tahun, mantan Juara Bintang RTM 1979 itu dibelenggu ketagihan pada heroin dan ecstacy selama lebih 20 tahun sebelum akhirnya berjaya membebaskan dirinya pada cubaan kelapan.

Saleem pula yang terjebak sejak 1993 “kerana dipengaruhi kawan”, mengakui hidupnya lebih positif kini tanpa dadah.

Berdoa, kerana di sebalik keasyikan yang dipamer, dunia seni boleh jadi gelanggang yang sangat menakutkan.

 

Foto hiasan: INGimage