Tip Menyamar Noda Wajah Dalam Masterclass It Cosmetics

Selamat tinggal lingkaran gelap bawah mata!

Produk penyamar noda atau concealer bukanlah item rias yang baru. Tetapi dengan kehebatan kajian dan teknologi, formulasinya sentiasa diperbaharui.

Ia bertujuan memenuhi keperluan kulit wanita yang sentiasa berdepan dengan pelbagai masalah, sama ada ia disebabkan pigmentasi, bekas jerawat takpun tona kulit tidak sekata.

Baru-baru ini, saya berpeluang menyertai Masterclass bagi It Cosmestics Bye Bye Undereye Concealer terbaru. Walaupun saya kini cukup gemar mengamalkan penjagaan wajah dengan langkah yang betul, mencuba pelbagai produk untuk kebaikan kulit, tetapi menjaga bawah mata adalah rutin paling malas sekali!

Disebabkan kemalasan itu, kesannya terserlah bila usia sudah meningkat 40-an ini, kantung bawah mata sukar dibendung dan ada hari, bila tak cukup tidur, sudah tentu ianya menggelap juga.

Apa yang buat sesi ini sangat menarik adalah, ia bukan sahaja bercakap mengenai manfaat produk, malah berkongsi tip penggunaan yang berguna.

Sedikit latar belakang, produk It Cosmetics dibangunkan bersama pakar bedah plastik dan concealer ini menawarkan samaran kalis air dengan pigmen tinggi. Samarannya tahan lama dan tidak merekah. Untuk pasaran Malaysia dan secara eksklusif di Sephora, ia hadir dalam 22 tona untuk disesuaikan dengan kulit anda.

Ia bukan sekadar penyamar noda biasa, Bye Bye Undereye Concealer mengandungi bahan penjagaan wajah seperti peptide antipenuaan, vitamin, Expression Proof Technology, hydrolyzed collagen, asid hyaluronik dan antioksidan. Justeru, ia boleh membaiki kehadiran kedutan, secara efektif menyamar ketidaksempurnaan kulit termasuk lingkaran gelap, kantung, kemerahan, hiperpigmentasi, kapilari darah yang pecah, bintik usia dan tona tidak sekata.

Antara media dan jurumekap profesional yang menyertai Masterclass It Cosmetics.

Menurut Gwen Chew, pakar kecantikan It Cosmetics Malaysia, bila menggunakan concealer ini, sebaiknya anda perlu hangatkannya terlebih dulu sebelum meletakkanya pada kawasan sasaran.

Tip! Satu titik untuk kedua-dua mata jika anda menggunakan jemari. Gunakan kedua-dua jari manis untuk menghangatkan concealer – bagi ‘menghidupkan’ bahan penjagaan wajah sebelum anda menyapunya.

Sementara itu, guna dua titik jika anda menggunakan berus untuk menyapukannya pada bawah mata anda. Ini kerana, bahan biasanya akan melekat pada berus dan ia mungkin tidak mencukupi untuk menyamar kawasan berkenaan seperti dikehendaki.

Gunakan berus untuk ‘hangatkan’ produk berkenaan.

Secara peribadi, saya lebih suka menggunakan jemari daripada berus kerana satu, ia nampak lebih sekata dan dua lebih cepat! Malah, anda boleh gunakan concealer ini sebagai bedak asas pada seluruh wajah. Lebih mudah kerana ia hadir dalam tiub bersaiz mudah dibawa ke mana sahaja.

Satu lagi fakta menarik mengenai produk ini, anda boleh memakainya untuk berenang. Kerana, ianya tidak akan tersingkir dengan mudah kerana ia kalis air.

Hasilnya, saya suka kerana ia nampak terletak dan kemas. Mudah dipakai, dan kerana ia ada manfaat penjagaan kulit, harapnya dapat membantu mengurangkan kemunculan kantung mata untuk jangka masa panjang…

 

Baca juga: Apa itu mikroorganisma baik untuk kulit wajah?