#COVID19: Tak Keluar Rumah Tak Bermakna Dilarang Merai Hari Penting Keluarga

Gunakan kelebihan kedai online untuk jadikan ia hari amat bermakna.

Hari lahirnya setiap tahun jatuh pada waktu paling ideal – cuti sekolah, peperiksaan sudah selesai, dan kebiasaannya saya sudah selesai menghantar edisi April untuk diterbitkan.

Tahun ini adalah hari lahirnya yang paling istimewa. Bagi setiap anak gadis, menjadi si manis 16 adalah satu milestone dalam hidup. Bukanlah dapat lesen apa-apa, tetapi dianggap sudah mula melangkah ke alam dewasa.

Manakan sangka, Mac 2020 membawa dugaan besar yang bukan setakat pada keluarga kami malah, awan hitam dengan virus digeruni manusia ini turut membayangi seluruh rakyat Malaysia.

Dan pada 16 Mac, tiga hari sebelum hari lahirnya, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan sebagai langkah membendung wabak Covid-19 daripada merebak lebih berleluasa.

Bukan sehari dua perintahnya. Anda kena duduk di rumah hingga hujung bulan, kemudian dilanjutkan pula ke pertengahan April. Selepas itu, Insya-Allah, barulah boleh berkontak dengan insan lain secara fizikal. Sudahlah anak-anak terpisah dengan teman dek cuti sekolah, masing-masing beberapa kali memberitahu rindu pada kawan sebaya.

RAIKANLAH, MENGAPA TIDAK?

Tapi jangan biarkan itu semua perosak keadaan dan mood anda sekeluarga. Biarpun tidak boleh meraikan hari lahirnya pada 19 Mac semeriah diingini tapi kami memutuskan untuk tetap menyambutnya di rumah.

Apa susah, disebabkan khidmat penghantaran masih beroperasi, apa saja yang anda tak boleh dapatkan? Tidak perlu bermewahan, sekadar kek dan makanan ringan yang disukai sudah cukup.

Yang penting adalah kebersamaan sewaktu hari penting hidupnya. Hikmahnya, jika ia adalah minggu bekerja yang biasa, mungkin saya tidak ambil cuti dan hanya menangguhkan keraian hingga ke hujung minggu. Nah, sambutan sederhana dilakukan tepat pada hari lahirnya, cukup memberi kesan pada diri kami sekeluarga.

TEKNOLOGI UTUHKAN SILATURRAHIM

Rindu pada datuk, nenek serta saudara yang lain? Walaupun mereka tinggal tidak jauh, tetapi kami tidak mahu mengambil risiko. Di zaman teknologi ini, gunakan sahaja panggilan video. Kecohnya sama sahaja seperti mereka berada di sisi.

Kebetulan, seorang teman rapat turut merai hari lahirnya kala perintah kawalan pergerakan. Agak mandom kerana tidak dapat menyambut bersama jadi saya mengutuskan sebiji kek padanya sebagai tanda ingatan. Kemudian disusuli panggilan telefon berkumpulan untuk menggembirakan hatinya.

Betul juga kata Tun Mahathir sewaktu sidang live bersama Neelofa di Instagram, kita berkurung di zaman tiada kekangan komunikasi seperti dahulu kala. Apa saja boleh dilakukan pada hujung jari dan disebabkan itu kita wajar bersyukur.

Jika saya dapat menjadikan hari penting anak dan teman baik lebih istimewa pada waktu ini, anda juga boleh.

 

Baca juga: #Covid19: Takut Keluar Tapi Nak Beli Barang. Ini Penyelesaiannya.