Tahun Baru, Rias Lebih Segar!

Himpunan alat solek terkini untuk anda cuba.

Kenalah bersemangat baru bila sudah buka kalendar baru. Untuk 2020 ini, ceriakan meja rias anda dengan himpunan alat solek yang mampu menyerlahkan kepakaran anda menyolek wajah.

Sama ada untuk ke pejabat mahupun untuk bersosial, pelengkap rias yang berikut wajar ada dalam beg kosmetik anda.

 

jelita alat solek 2020

Marc Jacobs Under(cover) Perfecting Coconut Face Primer

Bukan sekadar primer yang biasa anda guna, asas kepada solekan ini turut membawakan kesegaran kelapa pada wajah anda pada masa sama, memastikan solekan diguna tampak sempurna dan tahan lama. Ia turut mempunyai formula yang kaya nutrien. Sesuai buat jenis kulit normal ke kering. Hasil rias anda akan kelihatan sekata sekali gus permukaan kulit tampak lebih elok sebelum anda melayangkan bedak asas cecair.

BILA DICUBA… Terasa kulit tampak lebih licin dan sekata, membolehkan layangan bedak asas cecair jadi lebih mudah dan sekata. Ia turut membuat solekan wajah tahan lama.

Anda boleh membelinya di Sephora pada harga RM193.

Kat Von D True Portrait Foundation

Jenama ini melebarkan koleksi bedak asas cecair yang berprestasi tinggi serta vegan dengan melancarkan formula terbaru. Formula ini menawarkan litupan sederhana yang mampu dipadankan dengan pelbagai jenis tona dan undertone kulit wanita.

Teksturnya ternyata lembut di mana formulanya adalah cecair ke bedak juga sesuai buat kulit normal ke berminyak.

BILA DICUBA… Kelebihannya, ia menyerlahkan seri semula jadi anda tanpa nampak berlebihan. Lebih bagus jika anda menggunakan jari sahaja untuk meratakannya ke seluruh wajah. Ia agak cair berbanding bedak asas cecair yang mungkin anda biasa gunakan bermakna ia tidak akan ‘menyesakkan’ pori kulit wajah.

Ia sudah berada di pasaran sejak Oktober lalu, dan anda boleh dapatkannya di katvondbeauty.com atau di laman web juga butik Sephora pada harga RM168.

Duck Cosmetics Brow Game

Pelengkap pada rias anda, kening menjadi bingkai wajah selain membantu ekspresi emosi. Setiap orang ada gaya kening signatur tersendiri dan Brow Game ini boleh membantu anda mencapainya. Hadir dalam dua rona Brown dan Dark Brown juga berus untuk menyikat agar kemas.

BILA DICUBA… Mudah untuk menggaris dan katakanlah anda terlebih tekan dan buat kening menggelap, gunakan berus pada hujung lagi satu untuk ‘meringankan’ tona. Menanggalkannya juga cukup mudah, gunakan air suam atau makeup-remover kegemaran

Anda boleh dapatkannya di rangkaian kedai Duck Cosmetics atau menerusi app FashionValet pada harga RM45.

Fenty Beauty Flyliner Eyeliner

Jika anda gemar menggaris mata untuk rias wajah lebih memukau, cukuplah dengan memiliki Flyliner ini. Bila menggaris, dakwatnya cukup likat dan hujungnya fleksibel dan mudah dipegang untuk lakaran yang padu.

BILA DICUBA… Teruja bila lukisan pertama menjadi! Sapukan dulu primer pada kawasan mata, kemudian goncang eyeliner sebelum digunakan. Gunakan hujung berus, tekan perlahan untuk garis halus. Mahukan garis lebih tebal? Tekan lebih sedikit. Jangan lupa gunakan penutup ya, nanti kering pula…

Kat Von D Lolita Por Vida Eyeshadow Palette

Siapa minat palet Lolita pasti teruja dengan Por Vida! Ia adalah palet paling banyak pilihan warna yang ditawarkan Kat Von D Beauty. Anda pasti suka dengan 18 rona romantis yang hadir dalam kemasan matte, kilat, foil dan super glitter!

BILA DICUBA… Pelbagai gaya rias anda boleh mainkan dengan palet pembayang mata ini. Daripada smokey ke solekan ringkas. Apatah lagi tawaran warnanya sesuai untuk penggunaan harian ke pejabat mahupun ke acara makan malam. Gunakan satu rona pada kelopak mata untuk hari bekerja. Tambahkan dua lagi rona seiring untuk nampak memukau bila keluar bersosial pada waktu malam.

Juga di Sephora pada harga RM168!

Wycon Velvet Lips Liquid Lipstick (edisi terhad)

Jika anda peminat tekstur matte untuk merias bibir anda, bolehlah cuba yang ini. Ia adalah gincu yang tidak comot dan memberikan kesan matte ekstra.

BILA DICUBA… Pada layangan pertama sahaja warnanya melekap padu pada bibir jadi tidak perlu meletakkan lapisan kedua untuk efek pusam yang anda ingini.

Ianya dijual pada harga RM89 dan anda boleh dapatkannya di butik Wycon di MidValley Megamall atau Sunway Pyramid.

LilyByRed Luv Beam Cheek

Jenama daripada Korea ini sudah mula dijual di rangkaian Guardian Malaysia. Saiznya membolehkan anda membawanya di dalam tas tangan untuk rias ringkas. Bagi yang baru hendak berjinak-jinak dengan pemerah pipi, bolehlah cuba yang ini kerana ronanya agak manja jadi anda tidak perlu gusar jika terlebih sapu.

BILA DICUBA… Pemerah pipi ini boleh dimainkan juga untuk rias kelopak mata. Sapukan pekat sedikit untuk kelopak mata dan layangkan manja pada pipi, siap!