Pilihan Editor: Produk Kemilau 2019 Untuk Rias Paling Menawan

Inilah masanya untuk cuba efek keemasan!

Jangan gusar hendak mencuba produk rias yang berkemilauan. Apatah lagi ada banyak pilihan sedemikian menjelang Krismas 2019.

Kebanyakannya yang kemilau tahun ini berona keemasan. Antara yang telah dicuba dan anda juga boleh tambah dalam koleksi peribadi termasuk:

Set Fenty Beauty Trophy Wife Life, RM295 (edisi terhad)

Dalam satu set ini, anda akan dapat rangkaian produk Fenty Beauty paling memukau tahun ini.

Bagi yang berkulit tan (seperti saya), produk rias keemasan memang akan nampak cantik bila dilayangkan dengan teknik yang betul.

Apa ada dalam set ini?

Kilawatt Freestyle Highlighter, tak perlu layangkan tebal takut jadi seperti lampu suluh pula. Layangkan pada tulang pipi dan sedikit pada atas kening untuk efek diingini.

Glass Bomb Universal Lip Luminizer, pertama kali muncul dalam set Trophy Wife. Pedap sedikit pada tengah bibir selepas anda menggunakan gincu kegemaran untuk efek kemilau yang manja.

Hyper-Metallic Liquid Eyeliner, penggaris mata cecair dengan sentuhan akhir metalik emas akan berikan kelainan pada rias wajah anda.

Hyper-Glitz Lipstick, baru! Gincu metalik ini sesuai untuk wanita Jelita yang berani kerana ia memberikan sapuan keemasan yang boleh ditambah mengikut cita rasa anda.

Kesemuanya akan dimuatkan dalam begĀ patent leather yang tampak mewah!

TIP JURUSOLEK PROFESIONAL: Untuk hasil keemasan monokromatik yang lebih menyerlah, sapukan Killawatt Freestyle Highlighter pada kelopak mata anda, kemudian gariskan mata dengan Hyper-Metallic Liquid Eyeliner untuk definisi mata tahap dewa!

Dior Sparkling Couture Palette

Palet hujung tahun paling mengujakan yang tiba di meja editor. Palet Colour Shine Essentials untuk bibir, rias mata dan wajah ini hadir dalam pek yang cukup mengujakan, tulisan Dior pada wajah depannya pasti buat anda mahu membawanya ke mana sahaja, terutama bila melakukan tugasan luar negeri.

Rona ditawarkan secocok dengan rias yang anda mahu cipta sama ada untuk keluar malam yang bermakna ataupun solekan siang hari yang lebih semula jadi.

Gucci Beauty Rouge A Levres Lunaison, rona Goldie Red

Baru-baru ini, butik Gucci Beauty dibuka secara rasmi di Suria KLCC dan dihadiri media serta tetamu terpilih untuk melihat sendiri koleksi gincu yang terbaru.

Saya cukup bertuah kerana Gucci Beauty menghantar lebih awal tiga gincu tekstur berbeza untuk dicuba sebelum acara rasmi berkenaan. Terus jatuh hati dengan gincu Gucci Beauty Rouge A Levres Lunaison, rona Goldie Red (yang telah habis dijual sebelum acara perasmian).

Melihatkan pada rupanya, sarung baju gincu ini tampak amat eksklusif dan padu dalam rona merah jambu digabung dengan lantai keemasan. Pegang pun terasa mewah. Gincunya sendiri bertatah kemilau kemerahan, pada awalnya akan buat anda rasa gentar untuk mencuba.

Tetapi, bila sudah disapu pada bibir… Sukanya! Bukan sahaja ia mudah dilayang, tidak comot, tetapi efek pada bibir nampak penuh elok. Kemilau yang anda lihat itu tidaklah memenuhi bibir tetapi cukup sedang untuk sempurnakan solekan natural anda.

 

Baca juga: 20 Himpunan Koleksi Akhir Tahun Anda Kena Miliki