Mudahkah Pengalaman Bercuti Dengan Klook?

Ikuti jurnal kembara Editor Jelita ke Ubud, Bali.

Pergi bercuti pada zaman ini sememangnya tidak sesukar seperti dulu. Semuanya di hujung jari anda sahaja.

Anda kena pandai dan tahu mana hendak cari peluang yang paling menguntungkan buat anda, terutama sekali bila merencana percutian dengan seisi keluarga termasuk anak-anak.

Dalam pada sedang sibuk melangsaikan tuntutan kerja di pejabat, memberi fokus kepada anak yang hendak menduduki peperiksaan UPSR juga PT3 tahun ini, bukan mudah hendak merancang percutian impian yang memenuhi kehendak semua. Destinasi mahu dituju adalah Bali, Indonesia. Sedia maklum, ia bukanlah lokasi pilihan bagi percutian keluarga tetapi kami mahu mencuba dan lihat. Masakan tidak ada langsung tarikan untuk famili, betul tak?

Kebetulan ada menghadiri acara media Klook Travel Fest, banyak info menarik didengari mengenai app kembara ini. Ia adalah platform tempahan buat aktiviti dan perkhidmatan berkaitan pelancongan dan ia merangkumi seluruh dunia!

FUNGSI KLOOK

Tugasnya adalah untuk permudahkan urusan tempahan anda dengan menyediakan ruang booking yang cepat dan banyak pilihan. Bukan saja anda boleh beli tiket ke tarikan popular, malah anda boleh tempah untuk meminjam poket Wifi, pengangkutan malah pakej makan sewaktu melancong!

Dengan adanya app ini, anda tidak perlu beratur panjang untuk membeli tiket kerana anda beli menerusi Klook, anda terus dapat e-tiket. Dan menurutnya, harga ditetapkan adalah best price guarantee.

APA ADA DI UBUD?

Sewaktu saya menelusuri app ini untuk melihat apa yang menarik di Ubud (kami hanya ada sehari yang lapang dan tidak mahu ke lokasi terlalu jauh dari Kuta), rambang mata melihat pelbagai opsyen yang ada.

Setelah mencongak dan memikirkan kesesuaian aktiviti buat anak yang kian meningkat remaja, kami memutuskan untuk mencuba pengalaman Bali Swing dan Jelajah Ubud.

Setibanya kami di Bali Swing.

Itinerarinya mudah! Kami akan dijemput oleh pemandu lokal yang akan sediakan kenderaan sesuai buat sekeluarga di hotel yang perlu dinyatakan jelas bila membeli pakej ini, terus ke Bali Swing, kemudian bersiar di teres padi sebelum ke Pasar Ubud yang turut menempatkan Istana Ubud. Untuk enam orang termasuk dua kanak-kanak, pakejnya adalah RM794 termasuk makan tengahari. Berbaloi!

KEMBARA BERMULA

Hendak dijadikan cerita, hari yang ditetapkan itu, saya tidak begitu sihat tetapi sebab sudah sampai dan anak-anak pula teruja bercuti, saya gagahkan juga.

Tepat jam 8 pagi, pemandu kami Pak Madu sudah setia menunggu, malah kenderaan dibawanya bersih dan selesa untuk kami berenam. Perjalanan ke Ubud mengambil masa kira-kira sejam setengah dan sepanjang ke sana, Pak Madu gemar melayan pertanyaan kami dan bagusnya, dia tidak menyogok kami dengan informasi yang tidak perlu. Malah, bila dia melihat kami terlelap, dia tidak mengganggu dan terus memandu dengan berhemah.

BUAI LAJU-LAJU

Bayangkan pemandangan berbukit bukau menjadi latar bila anda menaiki buaian yang talinya diikat pada dua pohon kelapa yang tegap. Itulah tarikan Bali Swing yang kini menjadi bualan ramai.

Dengan pakej yang anda sudah beli menerusi Klook, tidak perlu beratur untuk beli tiket. Terus daftar dan masuk untuk menikmati kemudahan di sini yang tanpa had.

Antara buaian di Bali Swing, ciri keselamatan didahulukan.

Di kawasan Badung, Ubud ini ada beberapa syarikat mengusahakan tarikan ini tetapi yang kami kunjungi dikenali sebagai Bali Swing. Anda boleh pilih daripada 15 buaian untuk seorang malah ada juga untuk berdua malah berempat. Boleh naik yang mana saja, dan tiada had. Cuma perlulah beratur untuk tunggu giliran.

Cadangan saya, pergi saja ke buaian yang tidak ‘popular’ kerana pemandangannya tetap memukau!

Antara replika sarang burung gergasi untuk anda bergambar.

Selain buaian ‘gergasi’ itu, anda boleh memilih untuk merakam kenangan di pelbagai bentuk sarang burung ‘gergasi’.

Makan tengahari vegetarian turut disertakan dalam tiket Bali Swing ini jadi makanlah kenyang-kenyang sebelum anda ke lokasi seterusnya.

TERES PADI

Terus terang, kerana cuaca begitu panas sewaktu ke Teres Padi Tegalalang, kami tidak lama di situ. Sekadar berhenti untuk melihat, merakam gambar dan teruskan perjalanan ke Pasar Ubud.

Ianya adalah padi yang ditanam secara berteres di kawasan berbukit. Pemandangan memukau tetapi anda perlu turun ke tingkat bawah kemudian kembali memanjat ke atas.

Pemandangan teres padi.

Di sini, bagi saya, cukuplah sekadar merakam gambar dan mendapatkan informasi daripada Pak Madu bila di dalam kereta yang dilengkapi pendingin hawa padu.

PASAR UBUD

Lokasi tumpuan ramai! Seperti membeli-belah di mana-mana pasar, tuju ke kedai yang paling kurang dapat tumpuan. Kami telah ke tingkat atas dan ke kedai yang agak tersorok untuk mencari buah tangan sebagai kenangan.

Pilihan tepat, biarpun waktu sudah agak petang, ada peniaga di situ yang belum ada pelanggan jadi anda boleh cuba dapatkan harga ‘pelanggan pertama’. Syaratnya adalah bagi peniaga kira semua jumlah dan meletakkan harga, kemudian anda tawar separuh daripada nilainya. Bermainlah tawar menawa hingga kedua pihak berpuas hati.

Melihat buah tangan lokal untuk dibawa pulang.

Bezanya dengan kedai yang sudah sedia nampak daripada awal, ada kala peniaga tidak mahu langsung bertolak ansur bab harga kerana mereka sudah mencapai ‘KPI’ jualan hari itu.

AYUH PULANG REHAT

Walaupun dalam itinerari ada menyebut Istana Ubud yang terletak betul-betul berdepan pasarnya, kami tidak ke situ kerana cuaca amat panas dan terlalu ramai orang ke situ. Cuma saya terfikir, disebabkan masih ada keluarga DiRaja menetap di situ, bagus ya dia benarkan ramai orang asing berada di perkarangan rumahnya..?

Disebabkan waktu menghampiri senja, kami meminta Pak Madu untuk hantarkan kami ke Pantai Jimbaran berdekatan Kuta untuk makan malam. Ini tidak termasuk dalam pakej yang ditawarkan Klook justeru, anda perlu membayar upah kepada pemandu kerana ianya diluar waktu bekerjanya.

Suasana waktu senja dirakam iPhone 11 Pro Max.

Secara keseluruhan, pengalaman singkat ini telah dipermudahkan dengan Klook kerana di app itu segalanya telah dijelaskan. Cuma saya ada terasa sedikit cuak kerana tidak disertakan butiran atau nombor telefon pemandu yang bakal menemui kami di hotel.

Tawakkal saja hinggalah kami menemuinya sendiri pagi hari kembara.

Selain itu, semuanya okay!

 

Antara sarang burung yang ditempatkan di sekitar Bali Swing.

Buai dan nikmati pandangan hijauan yang memukau!

Berbuai adik-beradik, menggamit memori.

Dengan peniaga di Pasar Ubud. Minta Halal ya buk!

Pemandangan matahari terbenam di Pantai Jimbaran. Dirakam menggunakan iPhone 11 Pro Max.

 

Hidangan makanan laut yang kami pesan di pantai Jimbaran.