#KerlazzKakNida: Mana Nak Cari Jodoh?

Mungkin cadangan barisan editor ini dapat membantu?

Topik yang saya dan geng editor bualkan secara santai sewaktu kami makan tengah hari di meja, pada satu hari…

Imej: Depositphotos

Bukan hendak kata jumlah wanita solo terlalu ramai, tetapi bagi yang merasakan angka usia makin meningkat namun bayang teman lelaki pun seakan ada-tidak-ada.

Pertama sekali, anda hendaklah terbuka dengan peluang di sekeliling, dan sebarkan aura yang anda sedang ‘mencari.’ Tapi bukanlah dengan cara beraksi comel-comel gedik, masih boleh bawa kesantunan diri namun jangan bawa aura ‘usah dekati diriku ini!’ (#gituh!).

Satu yang saya baru kongsikan dengan seseorang di pejabat yang meminta nasihat berdasarkan tajuk artikel ini adalah, “Awak kena cari peluang. Bukannya Kak Nida suruh anda pergi ke setiap lelaki dan perkenalkan diri tetapi sertai situasi yang membawa peluang kepada menemui pasangan yang masih solo.”

Setelah berkongsi perbualan itu dengan teman sepejabat yang sama-sama sudah mendirikan rumah tangga lebih 15 tahun, mungkin anda boleh cuba cadangan kakak-kakak yang terdiri daripada Eena Houzyama, Editor-in-Chief Her World & Malaysian Women’s Weekly juga Nana Marlini, Editor Kanan Kecantikan Cosmopolitan. Kedua-duanya adalah teman baik saya sendiri.

  1. Taman rekreasi sewaktu anda beriadah. Apatah lagi sekarang media seperti kami cukup menggalakkan pembaca agar menjaga kecergasan diri secara optimum dengan cadangan senaman yang pelbagai, kian ramai yang mengunjungi taman rekreasi terutamanya selepas waktu bekerja juga hujung minggu. Sambil anda berjoging, buka-bukalah mata melihat jika ada yang bersesuaian. Tetapi anda kena konsisten beriadah, jangan hangat-hangat tahi ayam. Asyik terserempak hampir setiap hari, mungkin ada peluang untuk berkenalan? Hint: Katanya, trek larian di KLCC ada ramai cowok single… (wink)
  2. Majlis kenduri dan perjumpaan keluarga. Ya, tahu… Mungkin ramai mengelak berjumpa sesiapa apabila usia dah meningkat dewasa kerana malas nak layan soalan “dah berpunya atau belum?” Majlis kenduri rakan handai adalah lokasiĀ networking atau berangkaian yang cukup ideal kerana kawan universiti anda mungkin kenali seseorang yang secocok dengan anda? Perjumpaan keluarga pula mungkin medan ibu-ibu saudara memperkenalkan anda dengan anak-anak teman surau atau masjid yang bersesuaian? Seperti dikatakan awal tadi, anda kena bersedia dan terbuka dengan peluang-peluang sebegini.
  3. Di gimnasium. Mungkin serupa dengan konsep taman rekreasi tadi tapi saya spesifikkan kepada sesi kelas, bukan sekadar menggunakan alatan gim. Menyertai kelas secara konsisten mungkin membuka peluang untuk anda berkenalan dengan rakan baru atau si dia atau teman pada rakan baru itu yang masih solo. Peluang itu masih ada, sama ada anda hendak cuba atau tidak sahaja…
  4. Di acara korporat, seminar atau sesi usrah. Ini adalah lubuk berangkaian yang amat padu! Apatah lagi ia spesifik pada latar belakang tertentu. Yang hadir sudah tentu mahu belajar sesuatu daripada seminar atau kelas berkenaan, pada masa sama, takkanlah nak jadi katak bawah tempurung hingga tidak berkenalan dengan orang keliling, tak begitu?
  5. Sewaktu solat Terawih, di masjid atau majlis agama. Tidak lama sahaja lagi, umat Islam bakal menyambut kehadiran Ramadan. Selain berkumpul di masjid atau surau untuk melakukan ibadah dan mengutip pahala, jadikannya tempat untuk mengenali ahli Qaryah lain. Manalah tahu…

Ini sekadar cadangan, tiada jaminan tapi usaha itu tangga kejayaan. Selitkan juga doa agar bertemu dengan jodoh yang serasi dan mampu membawa diri anda dan dirinya serta keluarga ke arah yang lebih diberkati…

 

BACA JUGA: #KerlazzKakNida Apa Yang Baru di Meja Editor