Cara Tambah Semangat Bila Bekerja Dari Rumah

Selain disiplin tinggi, ini juga dapat membantu anda.

Buat kali pertama, rakyat Malaysia diminta mematuhi arahan Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac sehingga 31 Mac 2020.

Ilustrasi: Depositphotos

Ia bertujuan membendung penularan virus Covid-19 lantas memerlukan ramai pekerja perlu bertugas dari rumah.

Mungkin ramai merasakan inilah peluang untuk bersenang kerana tidak perlu memandu keluar ke pejabat, malah tidak perlu pun bersiap dan mengenakan busana rasmi kerana hanya perlu menyiapkan tugasan di kediaman masing-masing.

Tetapi, satu faktor yang perlu diambil kira adalah semangat dan keikhlasan untuk memenuhi tanggungjawab mungkin pudar dan tidak sejelas seperti berada di pejabat.

Justeru, kami senaraikan cara untuk bantu anda bekerja di rumah dengan selesa dan bersemangat.

TETAP BANGUN AWAL SEPERTI HENDAK KE PEJABAT

Jika anda merasakan inilah masa untuk bangun lewat dan memulakan kerja lebih lambat daripada biasa, ia pasti merosak produktiviti seperti diharapkan oleh majikan.

Bangun awal, sarapan seperti biasa dan kemaskan ruang yang sesuai untuk bekerja.

RUANG BEKERJA

Mungkin nasihat teman saya ini benar – “Kuarantin diri anda dalam rumah sendiri.” Bermakna, perlu ada ruang yang ‘memisahkan’ anda dengan keluarga, hanya untuk pastikan anda boleh fokus membuat kerja.

Jika ada haiwan peliharaan sekalipun, pastikan mereka tidak dapat masuk ke ‘pejabat’ di rumah anda untuk mengganggu fokus.

JAGA KULIT WAJAH

Bagi wanita Jelita, rutin menjaga kulit wajah, teruskan seperti biasa. Kulit anda masih perlukan kasih sayang walaupun tidak keluar dari rumah. Bersihkan wajah, sapukan serum dan pelembap serta krim tabir suria.

Apa salahnya melayang gincu agar anda masih kelihatan bermaya dan manalah tahu, jika ada panggilan video daripada bos, anda nampak lebih bersedia!

SEMBURLAH WANGIAN

Untuk mengunci penampilan dan mencanak keyakinan, semburlah wangian kegemaran anda. Bunyinya seakan klise dan remeh, tetapi percayalah, anda akan terasa lebih ‘manusia’ dalam keadaan yang agak menggusarkan ketika ini.

DISIPLIN PADA WAKTU

Jika sudah tiba waktu makan, berhentilah makan. Jangan pula terlalu taksub hendak langsaikan semua kerja dalam satu masa. Tubuh juga perlu take a break. Jangan pula menahan air kecil ya. Setiap setengah jam, bangunlah dan berjalan sebentar untuk melancarkan peredaran darah.

 

BACA JUGA: Malaysia Arah Perintah Kawalan Pergerakan, Ini Perkara Anda Boleh Buat Di Rumah