Benda Ekstra Anda Kena Ingat Untuk Anak Darjah Satu

Termasuk cara gunakan tandas cangkung!

Selamat kembali ke sekolah! Bagi ibu bapa yang ada anak baru masuk ke alam sekolah formal, sedikit sebanyak akan rasa sedikit kehilangan kerana tidak tahu apa nak dijangkakan.

Influks informasi daripada rakan handai juga mungkin mengelirukan. Ada yang cakap ini boleh, tapi pihak lain pula kata tak boleh.

Sebenarnya, apa yang anda sediakan untuk anak anda, tiada istilah betul atau tepat. Sudah tentu anda sebagai ibu bapa mahukan yang terbaik dan itulah yang kalian lakukan untuk mereka.

Masuk alam persekolahan formal, sudah tentu pelbagai ragam anak yang bakal anda lalui dan saya sendiri yang sudah empat kali ke orientasi anak darjah satu hinggalah pada yang bongsu hujung minggu lalu, masih mendapat informasi baru. Ia sesuai dengan perubahan tahun dan kehendak silibus setiap tahun.

Berdasarkan apa yang telah saya lalui dan dengari daripada rakan handai, di sini dihimpunkan beberapa perkara yang mungkin anda boleh ambil kira untuk permudahkan sesi persekolahan 2020 ini.

Pertama!

Sediakan kelengkapan alat tulis ekstra di rumah. Ini bukan sahaja termasuk pensel, pemadam dan pembaris ya. Paling kerap memeningkan kepala adalah apabila anak anda beritahu pada tengah malam atau sebelum hendak ke sekolah yang dia ada kelas seni dan perlu bawa kelengkapan yang spesifik! Mana pula hendak cari kedai buku tengah malam atau awal pagi? Dibuatnya kelas seni adalah sebelum rehat, memang tak sempat si kecil hendak pergi membeli di koperasi sekolah.

Imej: Deposit Photos

Apa yang anda kena ada:

  1. Kertas warna dalam pelbagai warna. Hendak lebih mudah, sediakan tiga gulung setiap warna. Sekali beli, mungkin cukup digunakan sepanjang tahun.
  2. Plastisin. Ini juga antara benda yang selalu perlu bawa ke sekolah untuk kelas seni.
  3. Straw. Oleh kerana sekarang kempen larangan menggunakan straw plastik makin dipergiatkan, anda boleh bekalkan anak anda straw besi atau kertas jika diperlukan untuk kelas senis. Untuk dia pakai di kantin pada waktu rehat pun boleh juga. Boleh pupuk kesedaran sayangi alam sekitar lebih awal.
  4. Sudah tentu, watercolour sebab tanpa anda sedar, ia habis digunakan selepas beberapa minggu berlangsungnya kelas seni. Berikannya apron juga supaya bila melukis tidaklah terkena baju sekolah.

Kedua!

Kumpulan Whatsapp sekolah. Ya, anda mungkin sudah ada hampir 10 kumpulan WA membabitkan kerja, belum lagi yang keluarga dan dengan rakan handai. Perlukah grup WA sekolah pula? Jawapannya perlu. Bukan untuk anda minta guru cari bekas air anak yang tersalah letak atau tertinggal di kelas, tetapi lebih kepada mendapat informasi terkini daripada guru seperti pengumuman peperiksaan, atau ada kelas tambahan atau informasi kerja kumpulan.

Elak menggunakan group bual ini untuk mengiklan perniagaan atau perkara yang tiada kena mengena dengan hal ehwal kelas. #pantang

Hormati guru yang menjadi Admin kumpulan kerana dia bukan sahaja perlu berdepan kira-kira 40 pelajar di sekolah (itu tak termasuk kelas lain yang dia ajar ya), perlu pula melayan soalan ibu bapa lagi di luar waktu kerja. Jika ada perkara yang tidak memuaskan, sebaiknya hantarkan mesej berasingan dan bukan dalam group. Sentiasalah beri semangat dan berterima kasih kepada guru supaya dia pun jadi lebih sayang kepada anak didiknya. Cuba ringankan tugasnya dengan mencadangkan penyelesaian daripada menyerangnya.

Ketiga!

Imej: Deposit Photos

Juga penting tetapi tidak wajib kerana yang ini perlu mengikut kemampuan juga. Jika boleh, adakan mesin pencetak yang turut menjadi mesin salinan di rumah. Ia adalah pelaburan jangka panjang yang berbaloi kerana akan ada hari (dan biasanya diberitahu sebelum masuk tidur atau sebelum pergi sekolah), anak perlukan salinan gambar tertentu untuk projek kelas. Mudah jika ada satu mesin ini di rumah, jadi anda tidak perlu memandu keluar mencari kedai untuk membuat salinan atau mencetak projek sekolah.

Keempat!

Disebabkan 2020 adalah tahun di mana kasut hitam paling digalakkan guna untuk semua pelajar (yay! Tidak perlu cuci setiap minggu!), keberangkalian untuk ia tertukar atau hilang adalah tinggi terutama buat anak darjah satu. Apa tidaknya, bila mereka ke surau atau perlu ke pusat sumber, kebanyakan peraturan sekolah memerlukan mereka menanggalkan kasut.

Jika sudah ada lebih 30 pelajar dalam satu kelas yang menanggalkan kasut, dan bagi kanak-kanak tujuh tahun mungkin paling sukar hendak kenal pasti semula sepatu milik mereka.

Justeru, adalah baiknya anda menggunakan pen Artline perak atau emas untuk menulis nama pada kedua belah kasut pada bahagian dalamnya, supaya dapat elak sebarang kehilangan atau tertukar kasut.

Kelima!

Ajak si anak main kedai-kedai di rumah, sebagai latihan permulaan jika dia mahu ke kantin membeli makanan. Anda boleh berlakon jadi makcik kantin dan letakkan menu dengan tanda harga di depan anda. Lakukan role play di mana anak anda datang untuk membeli, sebutkan harga dan lihat dia menggunakan duit untuk membayar. Jika ada baki, ajar dan ingatkannya juga.

Pada masa sama, bolehlah anda ajar adab bercakap dengan orang lebih dewasa sewaktu membeli. Perlu ada sebutan terima kasih sesudah selesai transaksi.

Keenam!

Jika anda bukan jenis suka menjahit lencana pada baju sekolah anak, boleh cuba melekat lencana mengikut langkah yang ditunjukkan dalam video di bawah:

Ketujuh!

Ya di sekolah ada tandas disediakan tetapi… Adakah anak anda tahu menggunakan jamban cangkung? Mulalah ajar ya… Dengan beratus-ratus pelajar di sekolah dan mungkin jumlah jamban duduk pula terhad, anak tiada pilihan untuk menggunakan jamban jenis cangkung. Bagi anak yang rumahnya tiada kemudahan tandas jenis ini, mungkin menjadi cabaran buatnya.

Satu cara adalah bawanya menggunakan jamban cangkung di pusat beli-belah. Sudah tentu anda tidak mahu dengar berita anak anda tergelincir di tandas sekolah, betul tak?