Apa Anda Cari Bila Membeli Baju Renang Muslimah?

Semak senarai ini agar anda buat pilihan tepat.

Sejujurnya, saya bukanlah jenis pandai berenang. Tetapi masih perlu miliki pakaian renang yang sesuai kerana ada anak untuk ditemani bila berpeluang ke kolam renang.

Justeru, memilih dan memiliki pakaian renang yang benar-benar menepati kehendak hati sebenarnya boleh buat anda terasa cerewet. Banyak faktor perlu diambil kira.

Antaranya:

  1. Disebabkan saya bertudung, kenalah elakkan yang ketat, melekap ke tubuh (dan tidak menyerlahkan perut kerana sudah beranak empat!).
  2. Tidak mahu memakai serkup kepala, kerana yang mana saya tinjau di kedai, kebanyakannya terlalu kecil. Bila dipakai, boleh sakit kepala dek terlalu ketat.
  3. Kain yang digunakan, idealnya, tidak terasa berat. Sudahlah perlu gunakan banyak kain, kalau berat di dalam air, sudah tentu merimaskan.
  4. Bila di dalam air, tidaklah menjadi ‘payung terjun menggerbang’ atau bajunya ternaik ke atas. Satu hal pula hendak menolaknya turun, takut ternampak apa yang patut.
  5. Ideal sekali kalau sudah dilengkapi coli, jadi tidak perlu memakai coli biasa kala berenang. Pastikan tidak ternampak apa yang tak patut ya…
  6. Ini adalah selera peribadi, saya tak perlu rekaan atau corak yang meriah kala berenang sebab usia saya bukannya enam tahun.
  7. Kenalah tahan lasak, tahan lama dan berbaloi dengan pelaburan kerana pakaian renang Muslimah biasanya tinggi harganya.

Pakaian renang untuk Muslimah atau sesetengahnya digelar Burkini sudah ada di pasaran tetapi pilihannya tidak pelbagai. Banyak ciri yang mungkin tidak bersesuaian dengan kehendak. Tetapi, baik gunakannya daripada memakai kemeja-T dan seluar trek sukan masuk ke dalam kolam renang. Itu langsung tidak bersesuaian!

Pada 8 Mac lalu, Nike Women telah melancarkan koleksi renang Nike Victory yang hadir dalam pelbagai rekaan termasuk Full-Coverage Swimsuit (RM2,500), Swim Hijab (RM165), Tunic Top (RM330) dan Swim Leggings (RM280).

Sesuatu yang mengujakan kerana pasaran wanita Muslim memang masih mencari-cari pilihan baju renang yang pratikal.

Apa yang saya suka mengenainya:

  1. Tidak perlu berlebihan, ia hadir dalam rona hitam yang sememangnya identiti Nike sebenar. Ada kala, less is more dan tidaklah terlalu menarik perhatian, cukup sekadar logo ikonik Swoosh pada tempat tertentu.
  2. Swim Hijab adalah helaian pertama saya cuba. Kerana hendak tahu jika ia terletak elok pada kepala, saya mencubanya dan terbukti ia terpaut kemas di kepala ketika berenang dan labuhnya tidak berlebihan.
  3. Tunic Top dalam koleksi ini mempunyai labuh yang elok, mampu melindungi apa yang patut dilindungi dan tidak ditonjolkan. Paling saya suka adalah ia disisipkan dengan coli yang kemas dan tidak menonjolkan sosok payudara. Tetapi, biarpun ia labuh, bajunya ada kala ternaik ke atas dan kerap kali perlu ditolak turun supaya tidak ternampak tubuh. Mungkin perlu disematkan dengan tali pada baju dan seluar agar ia boleh diikat bersama untuk elak baju menggelembung ke atas.

 

Coli disemat dalam baju inspirasi daripada Nike Shape Zip Bra yang memberikan pengedaran udara baik dan sokongan diperlukan kala berenang.

4. Walaupun namanya Swim Leggings, tetapi ia tidak memeluk kaki seperti yang disangka. Ia memberikan siluet santun yang mencukupi.

5. Menariknya, bila dibandingkan dengan baju renang yang saya miliki sebelum ini, terasa kain Nike Victory Swim ini lebih ringan. Menurut siaran medianya, ia diperbuat daripada fabrik warp-knit yang menjadikannya ringan, boleh bernafas dan cepat kering.

Berminat? Selain ke stor Nike berdekatan, anda juga boleh ke Nike.com.

 

BACA JUGA: Keselesaan Maksima Untuk Wanita Berhijab