Pastikan Anak Selamat Ketika Melayari Internet Dengan Tip Ini

Pastikan mereka sentiasa selamat walaupun dalam talian.

Dengan sekolah ditutup kerana Perintah Kawalan Pergerakan, anak menghabiskan lebih masa melayari internet. Tetapi dalam masa yang sama, ibu bapa perlu ambil perhatian akan risiko yang hadir bersama internet.

Oleh itu, berikut adalah tip mudah untuk ibu bapa boleh cuba untuk pastikan anak sentiasa selamat ketika melayari internet.

Berbincang dengan anak dan dapatkan kepercayaan mereka

Anak memiliki sikap ingin tahu yang sangat tinggi. Mereka mungkin tidak dapat membezakan antara yang betul dan salah atau palsu dan benar. Luangkan masa untuk memerhatikan mereka dengan menyertai aktiviti dalam talian yang mereka lakukan. Bina kepercayaan anak dengan menunjukkan minat terhadap apa yang mereka lakukan dalam talian, aplikasi yang digunakan dan siapa rakan mereka dalam talian. Jelaskan kepada mereka kemungkinan senario dan risiko yang mungkin mereka hadapi di internet.

Tetapkan peraturan dan rutin bersama

Kanak-kanak yang berada di rumah cenderung untuk menghabiskan lebih banyak masa berada dalam talian. Ambil kesempatan ini untuk menetapkan peraturan berapa lama masa yang mereka boleh gunakan untuk melayari internet dan hanya boleh mengakses kandungan yang baik dengan menggunakan penanda halaman, menetapkan penapisan atau senarai halaman yang telah diluluskan. Tetapkan peraturan untuk anak meminta izin terlebih dahulu sebelum memuat turun sebarang aplikasi pada peranti.

Galakkan mereka menghabiskan masa berkualiti dalam talian

Tidak dapat keluar rumah dan bermain dengan rakan, sedikit sebanyak boleh memberikan kesan kepada anak. Penting untuk mereka menjaga hubungan sosial yang dapat dilakukan menerusi media sosial. Ajar mereka menggunakan panggilan video secara bertanggungjawab untuk terus berhubung dan bantu mereka untuk ketahui perkara yang tidak boleh dilakukan.

Manfaatkan masa dengan mengeratkan hubungan bersama keluarga

Jika anda lihat situasi sekarang dengan pandangan positif, anda akan sedar bahawa banyak masa yang boleh diluangkan bersama insan tersayang. Manfaatkan masa ini untuk berehat daripada skrin dan cari aktiviti yang menyeronokkan untuk dilakukan bersama.

Baca Juga: Eratkan Hubungan Bersama Kelaurga Sepanjang Tempoh #PKP Dengan 6 Aktiviti Ini

Sumber Gambar: Depositphotos