Jangan Terlepas Temu Janji Imunisasi Anak Sepanjang #PKP

Jangan ambil risiko.

Jangan biarkan ketakutan terhadap Covid-19 mendedahkan anak kepada penyakit cegahan vaksin yang membawa maut.

Ibu bapa mana yang tidak bimbang akan kesihatan anak dan dengan wabak pandemik yang melanda di seluruh dunia, ia sudah cukup untuk menakutkan sesiapa sahaja. Dan ketakutan pada Covid-19 ini juga telah meyebabkan sesetengah ibu bapa berhenti atau menangguhkan daripada membawa bayi dan anak ke klinik untuk mendapatkan suntikan imunisasi.

Kebanyakan ibu bapa khuatir dengan keselamatan klinik dan takut akan risiko untuk mendapat wabak itu ketika melawat ke klinik. Namun begitu, ibu bapa juga harus ingat akan risiko penyakit merbahaya (penyakit cegahan vaksin) seperti tuberkulosis, hepatitis B, difteria, tetanus, batuk kokol (pertussis), polio, haemophilus influenzae B, campak, beguk, rubela, ensefalitis Jepun (JE), dan pelbagai kanser yang disebabkan oleh virus papiloma manusia (HPV).

Kesemua vaksin, kecuali HPV, perlu diberikan dalam tempoh 18 bulan pertama kelahiran. Adalah penting bagi ibu-bapa untuk memastikan bayi diberikan kesemua dos yang diperlukan untuk setiap vaksin pada waktu yang ditetapkan. Ini bagi memastikan bayi mendapat perlindungan sepenuhnya. Sekiranya jadual pemberian imunisasi tidak dipatuhi, bayi akan terdedah kepada bahaya dan mereka tidak akan berupaya mempertahankan diri daripada pelbagai jenis kuman yang cuba menjangkiti tubuh badannya.

Menurut Datuk Dr Zulkifli, Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik, keputusan KKM untuk meneruskan perkhidmatan imunisasi rutin semasa PKP adalah selaras dengan cadangan WHO. Bagaimanapun, jangkitan COVID-19 di negara kita adalah masih terkawal dan kapasiti sistem kesihatan kekal utuh.

Tip Keselamatan Ketika Membawa Anak Ke Temu Janji Imunisasi

Dr Rozita Binti Ab Rahman, Ketua Penolong Pengarah Kanan di Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia, berkongsi beberapa pandangan dan petua tentang bagaimana ibu bapa boleh membawa bayi mereka ke klinik dengan yakin dan selamat.

  • Ibu bapa perlu mematuhi tarikh temu janji imunisasi yang telah ditetapkan. Pihak klinik akan menetapkan temu janji secara berperingkat untuk semua pesakit. Anda digalakkan untuk sampai tepat pada waktunya untuk membolehkan kakitangan menjarakkan lawatan ke klinik seterusnya mengelakkan daripada berlaku kesesakan pada satu-satu masa.

  • Sebelum bergerak ke klinik, pastikan anda membawa buku rekod imunisasi bayi. Sekiranya anda ditahan polis ketika dalam perjalanan, tunjukkan kepada mereka buku sebagai bukti tujuan perjalanan. Pihak polis akan membenarkan anda melepasi sekatan jalan raya.
  • Sebagai langkah pencegahan, anggota kesihatan akan melakukan saringan untuk anda dan bayi. Kakitangan juga akan bertanya sama ada anda atau bayi mempunyai gejala seperti influenza (seperti demam, selesema, batuk, sakit tekak) dan sesak nafas. Tambahan, mereka juga akan bertanya sama ada anda mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara atau pernah berhubung dengan mana-mana pesakit Covid-19. Sila jawab dengan jujur semasa saringan ini.

  • Bagi pesakit yang punya gejala, mereka akan dirujuk ke tempat yang dikhaskan untuk saringan dan pengurusan rawatan seterusnya. Jika anda melepasi peringkat saringan ini, anda akan dibenarkan masuk ke klinik. Sila nyahjangkit tangan dengan bahan pencuci tangan (sanitizer). Sila pastikan anda menjaga jarak fizikal sekurang-kurangnya satu meter daripada pesakit berhampiran ketika menunggu giliran.
  • Hanya satu orang- sama ada ibu atau bapa- yang dibenarkan untuk membawa bayi ke dalam bilik imunisasi. Ini adalah penting untuk mengekalkan jumlah orang yang hadir pada tahap minimum dan mengelakkan kesesakan.
  • Ibu atau bapa yang membawa bayi akan dibawa masuk ke dalam bilik rawatan, dapatkan suntikan dan pulang.
  • Bagi ibu bapa yang terlepas tarikh temu janji, hubungi klinik kesihatan masing-masing bagi mendapatkan tarikh temu janji yang baru.
  • Ibu bapa yang masih di kampung, boleh bawa anak ke klinik kesihatan kerajaan yang berdekatan bagi mendapatkan suntikan imunisasi.
Sumber Gambar: Depositphotos dan Siaran Media