Ini 5 Keburukan Jika Ibu Bapa Terlalu Manjakan Anak

Jika dibiarkan, anda mungkin akan menghancurkan hidup mereka.

Setiap ibu bapa mahukan yang terbaik untuk anak, jadi tidak salah untuk memanjakan mereka. Namun awas, jangan sampai anak-anak tidak boleh berdikari.

Jelita kongsikan lima keburukan jika anda terlalu manjakan anak.

Tidak Pandai Buat Apa Pun

Tindakan memanjakan anak ini boleh menyebabkan mereka tidak mampu berdikari dan buat apa pun dengan sendiri. Mereka juga tidak boleh melakukan kerja rumah kerana anda sendiri yang melakukannya untuk mereka. Sebaiknya ajar mereka untuk membuat kerja rumah.

Terlalu Mengharapkan Orang Lain

Ibu bapa yang selalu buat segalanya untuk anak akan menyebabkan mereka terlalu bergantung kepada orang lain untuk membuat segala pekerjaan. Mereka tidak tahu hendak buat sendiri kerana tidak pernah diajarkan caranya. Dan ini akan menyebabkan mereka ditertawakan oleh orang lain kerana tidak pandai menyelesaikan masalah.

Memiliki Sikap Yang Tidak Elok

Ini apa yang akan berlaku apabila ibu bapa tidak menegur kesalahan yang mereka lakukan. Bahkan, ada sesetengah ibu bapa yang akan memarahi orang lain jika ada yang cuba menegur kesalahan anak. Ini biasanya dilihat ketika di sekolah apabila ibu bapa menyaman atau memarahi guru yang menghukum anaknya. Tindakan ini akan membuatkan anak merasakan semua yang dilakukannya adalah betul walaupun sebenarnya ia salah.

Malas

Bila dah semua benda disiapkan di depan mata oleh ibu bapa dan tidak pernah dididik untuk membuat kerja rumah, anak akan mula menjadi malas. Sikap ini akan berterusan sehinggalah dewasa yang akhirnya akan memusnahkan diri mereka dan juga menyusahkan orang lain di sekeliling mereka.

Cepat Marah

Anak yang terlalu dimanjakan oleh ibu bapa selalunya akan mudah marah. Ini selalunya terjadi apabila permintaan mereka tidak dipenuhi. Mereka akan menangis atau meraung di depan khayalak ramai jika tidak dapat apa yang diinginkan. Apabila dewasa, sikap ini boleh menghancurkan kehidupan mereka.

Gambar: Depositphotos