Disahkan Hamil, Ini Panduan Penting Yang Anda Perlu Tahu

Trik mudah untuk melalui saat bahagia bergelar ibu.

Bagi pasangan suami isteri, tiada yang lebih menggembirakan apabila mendapat khabar yang kalian bakal menimang cahaya mata.

Kehadiran cahaya mata sudah tentu akan menyerikan lagi rumah tangga yang dibina. Namun, banyak perkara yang akan berubah setelah disahkan hamil.

Ibu hamil mungkin menjadi lebih sensitif disebabkan perubahan hormon. Oleh itu, amat penting untuk si ibu menjaga kesihatan dan pemakanan. Jelita kongsikan tip dan panduan berguna untuk anda.

Mengucapkan Syukur

Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan kerana menganugerahkan rezeki yang tidak ternilai. Berdoa kepadaNya agar segala urusan dipermudahkan sepanjang tempoh mengandung sehingga bersalin dan mohon agar diberikan kesihatan sempurna kepada anda serta bayi.

Jangan Lupa Buku Merah

‘Buku Merah’ yang dimaksudkan ialah buku rekod kesihatan ibu. Hanya perlu pergi ke klinik atau pusat kesihatan kerajaan dan beritahu bahawa anda hamil. Segala butir peribadi, kesihatan, ujian pemeriksaan antenatal dan sebagainya akan dicatat di dalam buku tersebut. Ia sangat penting kerana pelbagai pemeriksaan seperti ujian daran dan air kencing  juga dicatat dalam buku berkenaan. Sentiasa mengikuti tarikh temu janji untuk memastikan kesihatan bayi dan ibu.

Rahsiakan Sehingga Melepasi Tempoh Trimester Pertama

Beritahu kepada ahli keluarga terdekat sahaja mengenai kehamilan dan jangan hebahkan dulu sehingga selepas trimester pertama tamat. Agak sukar untuk tidak memberitahu kerana bimbang ada yang berkecil hati. Sebab utama tidak digalakkan memberitahu orang luar adalah kerana bimbang jika berlaku keguguran. Tempoh kritikal bagi mereka yang hamil ialah pada minggu 12 hingga 13. Dianggarkan sebanyak tiga perempat daripada semua telur yang disenyawakan akan gugur dalam minggu awal kehamilan.

Dokumenkan Kehamilan

Mulakan jurnal kehamilan sendiri untuk merakamkan perasaan dan kehidupan sepanjang kehamilan. Boleh dapatkan buku nota atau diari di kebanyakan kedai alat tulis. Jadi sepanjang kehamilan anda boleh menulis apa sahaja perubahan yang berlaku mengenai kehamilan seperti tendangan pertama anak dan sebagainya. Ini boleh dijadikan sebagai rujukan jika anda hamil anak kedua atau perbandingan perbezaan setiap kehamilan yang tidak mahu dilupakan.

Pakai Losen Di Awal Kehamilan

Ibu hamil digalakkan untuk memakai losen di awal kehamilan untuk mengurangkan tanda rengangan pada kulit. Ia boleh muncul pada bahagian tertentu seperti perut, dada, paha dan punggung. Jadi, dapatkan jenis losen yang sesuai dengan kulit kerana mungkin ada yang mengalami kulit sensitif.

Mulakan Pengambilan Vitamin Atau Suplemen 

Si ibu digalakkan mengambil makanan tambahan untuk mendapatkan nutrisi yang mencukupi tetapi pastikan ia sesuai untuk kehamilan. Antara suplemen tambahan yang sering diberikan kepada ibu hamil ialah asid folik, kalsium dan zat besi untuk keperluan nutrisi bayi dalam kandungan. Jika sukar untuk menelan pil, si ibu boleh mengambil dalam bentuk cecair atau jus. Namun, dapatkan nasihat doktor pakar sebelum anda mengambil apa-apa suplemen.

Banyak Membaca Bahan Ilmiah

Jadikan membaca sebagai hobi. Dapatkan bahan bacaan yang boleh membantu sepanjang kehamilan anda. Ia akan menjadi panduan yang amat berguna suatu hari nanti. Selain itu, ia membantu mengenali diri sendiri semasa mengandung kerana bukan semua mempunyai pengalaman hamil yang sama. Bukan hanya buku tetapi aplikasi kehamilan di telefon pintar juga selalunya berkongsi tip yang menarik.

Berehat dan Bersenam

Memang setiap ibu hamil perlu rehat yang cukup untuk menjaga kandungan di awal kehamilan. Senaman juga perlu dilakukan untuk memudahkan perjalanan ketika bersalin. Tidak perlu mencuba semua senaman yang ada. Hanya pilih satu dan lakukan selama 20 minit sepanjang kehamilan anda. Senaman yang paling  mudah ialah berjalan atau berenang.

Hentikan Tabiat Tidak Sihat

Amalkan pemakanan sihat dan hentikan tabiat yang tidak baik untuk kesihatan anda dan bayi seperti merokok. Jangan mengambil makanan segera dan ringan kerana ia boleh membantutkan pertumbuhan janin. Elakkan buat sementara waktu dan amalkan gaya hidup sihat dan positif.

Sumber Gambar: Depositphotos