Cuti Sekolah Lebih Menyeronokkan Di Big Bad Wolf

Tambahkan bahan bacaan anak sempena cuti sekolah di Big Bad Wolf.

Cuti sekolah tahun ini pasti lebih menyeronokkan kerana jualan buku Big Bad Wolf kembali lagi. Lebih besar dan hebat berbanding sebelumnya, jualan bertemakan Karnival ini dijayakan dengan kerjasama rakan perbankan OCBC Bank. Pesta jualan buku ini akan berlangsung selama 264 jam tanpa henti sepanjang tempoh 11 hari bermula 6 hingga 16 Disember 2019 di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC).

Menawarkan 4.5 juta buku dengan potongan harga antara 75 peratus hingga 95 peratus berbanding harga runcit yang disyorkan, lebih 50,000 judul buku disediakan dan masuk adalah PERCUMA. Sesuai dengan musim cuti sekolah, anda boleh bawa anak-anak ke pesta buku ini.

Menawarkan hanya 100,000 buku pada jualan pertama dan terus berkembang sehingga lebih 4.5 juta buku, Big Bad Wolf yang diiktiraf sebagai Jualan Buku Terbesar di Dunia ini telah berkongsi keriangan membaca bersama jutaan pencinta buku di 32 ibu kota di 10 negara. Susulan kejayaan siri jelajahnya ke seluruh negara sepanjang tahun ini, Jualan Buku Big Bad Wolf kembali ke Kuala Lumpur bagi meraikan ulang tahunnya yang ke-10 dengan tawaran dan ganjaran hebat sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan semua rakyat Malaysia selama ini.

Menarik di pesta jualan buku ini, ia turut menyediakan ruangan khusus untuk makanan dan minuman bagi membolehkan pengunjung menjamu selera yang dilengkapi dengan perkhidmatan meletak troli. Terdapat pelbagai aktiviti lain yang dianjurkan oleh OCBC termasuklah sudut rehat dan santai di mana para pengunjung dapat memulihkan kembali tenaga dengan berurut, menikmati perkhidmatan tatarias kuku yang disediakan dan berehat di ruangan hiburan selepas penat seharian mencari buku.

Turut disediakan adalah sudut kesihatan dan kesejahteraan yang menawarkan pemeriksaan kesihatan dan mata serta khidmat perundingan peribadi percuma bersama-sama pakar dalam pelbagai bidang. Akhir sekali, yang menjadi kesukaan ibu bapa adalah sudut riang ria dan permainan untuk kanak-kanak turut disediakan, padat dengan pelbagai bengkel seperti kraf kreatif, melukis serta mewarna dan juga bengkel G-Clay yang pasti membuatkan si kecil sentiasa sibuk.

Berpegang kepada matlamat untuk membolehkan semua orang dapat membaca dan memerangi masalah buta huruf terutamanya di kalangan penduduk kawasan pendalaman, Jualan Buku Big Bad Wolf menerusi sayap Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Red Readerhood (RRH) sentiasa bekerjasama dengan penerima bantuan tempatan dalam menjayakan inisiatifnya itu. Tahun ini, RRH akan bekerjasama dengan Friend to Mankind, sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan antarabangsa. Semua buku yang didermakan akan diserah bagi menjayakan projek mereka, The Book Effect yang menyasarkan untuk mengumpul 10,000 buku bagi membina perpustakaan di beberapa sekolah anak yatim serta pelarian di seluruh Lembah Klang.

Bagi memulakan inisiatif berkenaan, Jualan Buku Big Bad Wolf berjanji untuk mendermakan 1,000 buku dan para pengunjung boleh turut sama menjayakan usaha murni ini dengan membeli dan mendermakan buku di sepanjang tempoh jualan selama 11 hari menerusi suduh khas Red Readerhood.

Untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai aktiviti utama dan pertandingan yang disediakan di sepanjang jualan berkenaan, anda boleh muat turun aplikasi Wolf Pack di sini dan ikuti laman sesawang Big Bad Wolf Books, Facebook atau Instagram.