Cara Untuk Pastikan Anak Minum Air Yang Mencukupi

Sebagai ibu bapa anda harus pastikan anak anda minum air yang mencukupi. Anda boleh cuba cara yang Jelita kongsikan ini.

Air adalah sangat penting untuk penghidratan dan fungsi badan yang lain tidak kira untuk orang dewasa atau kanak-kanak. Cara paling mudah untuk kekal hidrat adalah dengan minum sejumlah air yang mencukupi setiap hari. Jadi, sebagai ibu bapa anda harus pastikan anak anda minum air yang mencukupi. Anda boleh cuba cara yang Jelita kongsikan ini.

Minum Air

Gambar: Shutterstock

Tunjukkan Contoh Yang Baik

Ini adalah antara cara yang paling penting. Anda perlu jadi model contoh dan memimpin anak anda melalui teladan yang baik. Amalkan apa yang anda arahkan. Kanak-kanak belajar dengan mengikuti apa yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. Jadi apabila anda mengamalkan minum air yang mencukupi, maka mereka akan mengikuti anda dengan minum air yang mencukupi.

Memperkenalkan Pelbagai Jenis Cecair Kepada Anak Anda

Terdapat beberapa sumber cecair yang sesuai untuk penghidratan yang betul:

Air minuman biasa: Ini adalah pilihan yang paling penting.

Air minuman yang dicampur: Jika anak anda tida suka air kosong yang biasa, anda boleh cuba menambahkan hirisan lemon, limau atau oren untuk memberikan rasa semula jadi kepada air tersebut.

Sup: Sup adalah antara makanan yang berkhasiat dan kebanyakan kanak-kanak menyukai sup.

Susu: Jika anak anda tidak mempunyai sebarang alergi terhadap susu lembu, susu adalah pilihan terbaik tetapi hadkan pengambilannya kepada 16 hingga 24 auns sehari.

Jus Buahan Buatan Sendiri: Antara pilihan terbaik adalah jus buatan sendiri tanpa menambah gula ke dalamnya.

Buahan Dan Sayuran Segar: Ia mengandungi 90 hingga 99 peratus air. Antara buah yang boleh anda berikan kepada anak anda adalah tembikai, tomato ceri, oren, pir, timun atau strawberi.

Pastikan Air Sentiasa Sejuk

Anda boleh menyimpan air sejuk di dalam peti sejuk atau anda boleh buat ais atau aiskrim pop menggunakan buahan segar. Hanya perlu masukkan ais buah ke dalam segelas air biasa apabila anak mahu minum.

Buat Peraturan Wajib Minum Air Selepas Makan

Ini adalah cara terbaik untuk memupuk kebiasaan minum air dalam diri anak anda. Ia harus bermula dari usia muda, konsisten dan berterusan. Dengan mengulangi peraturan ini, anak anda akan dapat mengamalkan minum air yang mencukupi.

Memudahkan Akses Kepada Air Minuman

Simpan botol air dalam jangkauan yang mudah untuk anak anda seperti di dapur, ruang tamu, bilik tidur dan ruang makan. Ini akan memudahkan mereka untuk mengambil botol minuman apabila mereka dahaga. Meletakkan unit dispenser air di rumah juga adalah antara pilihan terbaik.

Berikan Anak Kebebasan Untuk Memilih Botol Minuman

Kanak-kanak boleh menjadi obses. Oleh itu, anda boleh biarkan mereka untuk memilih sendiri botol minuman mereka dengan watak kartun kegemaran mereka. Anda juga boleh menyuruh anak untuk mengisi botol dengan air untuk diminum. Mereka akan mematuhinya dengan senang hati.