Anak Menangis Pada Hari Pertama Sekolah, Ini 6 Cara Atasinya

Tiada lagi masalah anak menangis.

Anak menangis, inilah masalah yang sering dihadapi oleh ibu bapa sebaik sahaja hari pertama persekolahan bermula. Sudah menjadi kebiasaan anak menangis dan meraung pada hari pertama sekolah kerana suasana baru dan resah apabila tidak nampak ibu bapa di depan mata.

Jelita kongsikan lima cara yang boleh anda guna untuk atasi masalah ini.

Cerita Tentang Keseronokan Di Sekolah

Sebelum memulakan sesi persekolahan, dedahkan anak dengan cerita mengenai sekolah barunya supaya mereka lebih bersedia. Mungkin anda boleh ceritakan tentang suasana seperti kawan baru, guru yang baik, dapat bermain bersama kawan dan sebagainya.

Komunikasi Bersama Guru

Kongsikan perasaan anda dengan guru sekolah. Guru pasti akan dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mereka lebih berpengalaman dalam menenangkan anak yang menangis. Tidak salah untuk bertanyakan keadaan anak pada guru cuma anda perlu bersabar jika mereka mengambil masa untuk menjawab soalan. Jika ingin menelefon, pastikan anda lakukannya selepas waktu sekolah.

Main Cikgu-Cikgu atau ‘Role Play’

Gunakan imaginasi untuk membantu anak bersedia. Lakonkan semula watak sebagai guru dan murid untuk memastikan mereka sentiasa bersedia menghadapi situasi sebenar. Ajari mereka apa yang perlu dilakukan, apa yang perlu dikatakan, ke mana harus mereka pergi dan sebagainya.

Jangan Tunggu AnakĀ 

Ibu bapa mana yang tidak risaukan anak namun dalam hal seperti ini, anda perlu cekal apabila menghantar dan meninggalkan anak kerana emosi anda akan mempengaruhi emosi mereka. Elakkan menunggu anak dalam kelas terlalu lama kerana ini akan menyukarkan mereka untuk menyesuaikan diri. Usah takut untuk tinggalkan anak di sekolah kerana mereka akan mula bergaul dengan kawan lain.

Jangan Lewat Ambil Anak Dari Sekolah

Pastikan anda tidak lewat mengambil mereka pulang dari sekolah terutama pada minggu pertama persekolahan. Ini kerana mereka mudah menjadi takut apabila melihat kesemua kawan lain sudah pulang.

Beri Kata Perangsang

Berikan sokongan kepada anak agar mereka lebih bersemangat untuk ke sekolah. Nyatakan sebab mengapa mereka perlu ke sekolah dan berikan ganjaran kepada mereka sebagai usaha anak ke sekolah.

Sumber Gambar: Depositphotos