5 Tip Penjimatan Wang Untuk Ibu Bapa Baru

Berikan masa depan yang terbaik untuk anak anda.

Kelahiran si kecil mampu mengubah kehidupan seseorang.

Sebagai ibu bapa baru, anda perlu memikir semula setiap aspek kehidupan anda – dari segi emosi hingga ke status keadaan kewangan. Malah, perkara mudah seperti perabot juga perlu dipertimbangkan – adakah ia selamat untuk bayi anda? Adakah ia mempunyai bucu yang tajam?

Saya tidak berhasrat untuk menakutkan anda, tetapi ini kenyataan yang tidak boleh diabaikan. Lebih awal anda menghadapinya, lebih bersedialah anda untuk menanganinya.

Salah satu cabaran paling besar yang anda alami dengan ketibaan si kecil dalam kehidupan anda ialah isu kewangan. Mempunyai seorang bayi akan menelan belanja yang besar. Si kecil akan menggunakan lampin dengan begitu cepat, bahkan sebelum anda sempat berkata, “Apa bau pelik tu?” Mereka memerlukan susu, pemvaksinan, pakaian, mainan dan sudah tentunya kasih sayang anda. Selain kasih sayang, kesemua yang lain memerlukan wang.

Walau bagaimanapun, ini tidak sepatutnya menghalang anda daripada menyimpan wang. Malah, ia lebih penting lagi untuk anda menabung. Seorang bayi bukan sahaja memerlukan belanja besar, ia juga membawa ketidakpastian dalam hidup anda. Jadi, anda tidak tahu bila anda akan memerlukan wang tambahan.

Berikut adalah lima cara anda boleh mengurangkan perbelanjaan sambil menjimatkan wang, walaupun baru dikurniakan seorang cahaya mata.

1) Beli hanya barangan asas

Ibu bapa biasanya akan berbelanja lebih apabila membeli-belah untuk bayi pertama mereka. Ini mungkin disebabkan anda tidak mendapat semua yang diingini sewaktu masih kecil, jadi anda mahu memastikan anak anda memiliki segalanya. Namun walaupun mampu, ini tidak bermakna anda perlu membelinya.

Apabila saya mempunyai anak pertama, saya hanya membeli dua set pakaian baru, satu beg lampin, dan sebotol susu baru. Anda tidak perlu mengikut contoh saya yang sangat tidak bersedia untuk kehadiran bayi pertama.

Maksud saya ialah, walaupun terdapat pelbagai maklumat daripada ibu bapa yang lain, anda tidak akan tahu apa yang anak anda perlukan sehingga dia lahir. Seorang bayi perlu tidur, minum susu, mandi, ditukar lampin dan pakaian, oleh itu, jadikan ini sebagai panduan apabila anda membeli-belah.

Si kecil tidak akan muat ke dalam pakaiannya dalam beberapa bulan sahaja. Oleh itu, mereka tidak memerlukan banyak pilihan pakaian. Lagipun, mereka lebih banyak tidur.

Lebih baik juga untuk membeli pakaian dalam warna neutral jantina, terutamanya jika anda membeli-belah sebelum kelahiran bayi anda. Banyak contoh dapat dilihat di mana seorang ibu melahirkan anak lelaki dan bukannya anak perempuan seperti yang dijangka. Selain itu, warna neutral jantina juga membolehkan anda mengguna semula untuk anak anda yang seterusnya.

 

2) Susu ibu adalah pilihan pertama

Menyusu anak baru lahir mestilah sentiasa menjadi pilihan pertama apabila sedang menyediakan makanan berkhasiat untuk bayi anda. Ini amat digalakkan oleh doktor dan ibu bapa di seluruh dunia. Selain pilihan paling berkhasiat untuk bayi baru lahir, ia juga menjimatkan wang anda.

Walaupun anda jimat wang dan tidak membeli susu formula, anda masih perlu berbelanja untuk membeli peralatan yang akan memudahkan penyusuan bayi anda. Jika anda tidak boleh berada bersama bayi anda sepanjang hari, anda perlu melabur untuk membeli pam susu.

Secara amnya, pam susu memang mahal tetapi ia merupakan perbelanjaan sekali sahaja yang dapat menjimatkan banyak wang berbanding membeli susu formula bayi dalam jangka masa panjang.

Anda mempunyai beberapa pilihan tersedia untuk pam susu, iaitu anda boleh meminjam daripada rakan atau saudara, membeli pam susu terpakai daripada ibu lain (lebih lanjut mengenai perkara ini dalam tip berikutnya), atau menyewanya daripada hospital terpilih.

Pam susu elektrik terpakai dengan semua peralatannya hanya berharga RM300, manakala pam susu baru dengan jenama yang sama berharga RM550. Ini bermakna anda boleh menggunakan simpanan RM250 tersebut untuk barangan lain.

Menyusu bayi mungkin suatu perkara yang sukar, dan setengah orang tidak berupaya menghasilkan susu yang mencukupi untuk suapan makan kepada bayi. Oleh itu, jangan tergesa-gesa membeli pam susu atau pakaian yang memudahkan proses penyusuan kerana ada kemungkinan anda tidak dapat menyusukan bayi anda.

3) Beli barangan terpakai jika boleh

Bukan sahaja pam susu terpakai boleh dibeli, malah anda juga boleh membeli katil bayi, pakaian, mainan, buaian, kerusi tinggi, dan banyak lagi barangan terpakai. Ini keputusan mudah bagi ibu bapa yang ingin menjimatkan wang.

Selain membeli-belah dalam talian melalui kumpulan Facebook, mudah.my, atau Carousell, anda boleh mempertimbangkan jualan garaj. Jualan garaj boleh menjadi tempat kegemaran anda bermula  sekarang.

Sebuah kereta sorong bayi jenama Quinny Zapp Xtra 2.0 berharga RM1,599 dalam talian manakala yang terpakai berharga RM799. Ini adalah penjimatan sebanyak RM800!

Saya membuat kesilapan membeli barangan baru apabila mempunyai anak pertama saya. Saya dikurniakan anak kedua hanya selepas enam tahun. Ini bermakna kebanyakan barangan yang saya beli untuk anak pertama sudah ketinggalan zaman apabila saya mendapat anak kedua.

Untuk anak kedua saya, kebanyakan barangan mahal yang saya belikan adalah terpakai. Mempunyai lebih banyak pengalaman turut membantu saya memutuskan apa yang diperlukan oleh saya dan bayi saya, dan bukannya membeli semua yang kelihatan comel.

Jika anda ingin membeli barangan mahal seperti buaian atau katil bayi, carilah barangan terpakai yang berkualiti baik. Ini bermakna anda boleh menggunakannya semula untuk anak anda yang seterusnya, atau dijual kembali apabila anda selesai menggunakannya.

Walau bagaimanapun, jika anda merancang untuk mempunyai lebih daripada seorang anak, ia masih berbaloi dari segi kewangan untuk membeli barangan baru, terutama jika anda ingin barangan tersebut bertahan beberapa tahun untuk kegunaan beberapa orang anak.

4) Sediakan makanan bayi anda sendiri

Si kecil kini berumur 6 bulan dan ini merupakan detik amat penting bagi kebanyakan ibu bapa baru. Inilah waktunya untuk bayi anda mencuba makanan pejal, termasuk puri buah-buahan atau sayur-sayuran.

Satu paket makanan puri prabungkus berharga kira-kira RM7. Itulah hidangan makanan untuk bayi anda. Daripada membelanjakan jumlah ini setiap hari, anda boleh menyediakan sendiri puri sayur-sayuran atau buah-buahan yang segar dan sihat untuk anak anda.

Anda hanya perlu membeli buah-buahan dan sayur-sayuran dari pasar raya atau pasar basah, kemudian mengukus dan mengisar kesemuanya. Itupun dia! Anda telah menjimat wang lagi.

Si kecil tidak banyak makanpun, oleh itu, jika anda merupakan ibu bapa bekerja yang kesuntukan masa, anda boleh membeku dan menyimpan puri makanan tersebut dalam peti sejuk untuk dimakan pada hari lain. Makanan puri yang anda sediakan boleh bertahan sekurang-kurangnya seminggu!

Menyediakan makanan bayi anda sendiri adalah lebih sihat dan lebih lazat, apatah lebih murah lagi.

5) Jangan kedekut beli lampin

Kesemua empat tip di atas adalah berkenaan cara mengurangkan perbelanjaan anda. Tip terakhir ini mungkin dianggap agak pelik.

Lampin yang berjenama mungkin berharga mahal, tetapi terdapat sebab-sebabnya.

Lampin berkualiti baik bermakna anda tidak perlu bangun beberapa kali setiap malam untuk menukar lampin bayi anda (ini bermakna lebih masa untuk tidur, sesuatu yang anda tentu perlukan).

Lampin berkualiti baik bermakna anda tidak perlu risau untuk menggantikan permaidani, sofa, tilam dan pelbagai barangan lain di rumah apabila sesuatu kemalangan berlaku. Percayalah, ini pernah berlaku.

Lampin berkualiti baik bermakna anda tidak perlu membeli begitu banyak krim ruam lampin yang mahal atau mengunjungi doktor apabila bayi anda menghadapi masalah ruam lampin yang teruk.

Jangan kedekut untuk membeli barang yang boleh menjejaskan kesejahteraan anak anda, seperti ubat-ubatan dan lampin. Walaupun membeli lampin berkualiti baik, anda masih boleh menjimatkan wang apabila membeli lampin tersebut secara pukal semasa waktu promosi di pasar raya besar. Anda juga boleh menggunakan lampin yang lebih murah pada siang hari dan bertukar kepada yang berkualiti baik pada waktu malam.

Kehadiran si kecil dalam kehidupan anda akan meningkatkan perbelanjaan isi rumah, tetapi anda masih boleh mencari jalan untuk mengurangkan perbelanjaan tersebut supaya ia lebih mudah diuruskan. Ingat, apabila anda ingin membeli sesuatu untuk bayi anda, tanyalah diri anda: adakah ia untuk kesejahteraan bayi atau adakah kerana ia kelihatan comel?

Sumber Gambar: Depositphotos