5 Prinsip Makanan Berkhasiat Untuk Anak Anda

Elak anak jadi obes dari kecil!

Anak yang masih kecil seeloknya diberi gizi berkhasiat dan seimbang. Ini penting bagi mengelakkan mereka berhadapan dengan masalah berlebihan berat badan atau obesiti.

Berikut adalah lima prinsip makanan berkhasiat yang disarankan pakar nutrisi.

Makan Mengikut Konsep Myplate

Pilihlah makanan yang mengandungi pelbagai nutrisi dan khasiat untuk tubuh. Seeloknya, setiap hidangan haruslah mengandungi 30 peratus bijirin dan tenusu, 30 peratus protein, 40 peratus sayur serta 10 peratus buah. Pilihan yang betul mampu membuatkan si anak kekal sihat.

Makanan Warna Pelangi

Perkenalkan si anak dengan makanan yang berwarna-warni. Bukan sahaja kelihatan menarik, malah makanan berwarna mempunyai khasiat tersendiri.

  • Merah (Tomato, Lobak dan Epal) – Kaya dengan vitamin A yang baik untuk kesihatan mata.
  • Jingga dan Kuning (Pisang, Oren dan Lemon) – Tinggi kandungan vitamin C yang baik untuk membantu sistem tubuh berfungsi dengan sempurna.
  • Hijau (Brokoli, Sawi dan Epal Hijau) – Mampu menguatkan otot, tulang dan gigi.
  • Ungu dan Biru (Beri biru, terung, anggur dan kobis ungu) – Sangat baik untuk otak dan menguatkan daya ingatan.

Jangan Memilih

Pelbagaikan masakan yang ingin diberikan kepada si anak supaya nampak menarik dan mempunyai rasa yang lazat. Ibu perlu bijak menarik minat anak untuk makan dan jangan sesekali biarkan dia memilih makanan. Ini kerana setiap makanan mengandungi pelbagai nutrisi yang berbeza. Jadi, anak harus makan setiap makanan bagi memastikan dia mendapat nutrisi yang lengkap.

Buat Pilihan Yang Bijak

Elakkan memberi anak makan makanan yang diproses seperti gula putih, tepung putih dan roti putih. Sebaliknya beri mereka makanan yang mengandungi bijiran penuh dan kaya dengan serat.

  • Kurangkan pengambilan makanan lemak trans seperti kentang goreng, burger, dan kerepek kentang. Makanan jenis ini mengakibatkan anak menjadi obes.
  • Elakkan makanan mengandungi gula tambahan seperti gula-gula, kek dan minuman ringan. Gula berlebihan menyebabkan anak menjadi terlalu aktif dan meningkatkan risiko gemuk.
  • Beri snek yang sihat seperti kekacang dan buahan.

Fokus Ketika Makan

Jangan sesekali biasakan anak untuk menonton atau bermain ketika makan. Anak seharusnya memberi sepenuh perhatian dan tumpuan sewaktu makan. Seeloknya, galakkan anak untuk mengunyah sebanyak 44 kali sebelum menelan. Ini baik untuk memudahkan makanan dicerna dan meningkatkan penyerapan nutrien.

Sumber Gambar: Depositphotos