5 Cara Uruskan Anak Yang Gagal SPM

Lakukan sekarang demi masa depan kelak!

Setiap ibu bapa sememangnya inginkan berita gembira daripada anak lebih-lebih lagi dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru sahaja keluar minggu lalu.

Namun, apa perasaan anda bila tahu anak gagal dalam peperiksaan tersebut? Adakah anda ingin menghukum mereka? Mendera mereka? Atau sebaliknya?

Jelita kongsikan lima cara uruskan anak yang gagal SPM.

Tenangkan Anak

Kebanyakan anak takut untuk pulang ke rumah setelah mendapat tahu yang mereka gagal dalam SPM. Malah ada juga segelintir daripada mereka mengambil keputusan untuk membunuh diri kerana merasakan diri sudah tidak berguna lagi. Justeru, bagi menangani masalah ini, anda sebagai ibu bapa perlulah memainkan peranan dengan menenangkan hati mereka. Peluklah anak anda sambil mengucapkan tahniah kerana mereka sudahpun berusaha. Ingat! Kejayaan bukanlah terletak pada keputusan SPM semata-mata, malah ada lagi cara yang terbaik untuk anak anda berjaya dalam hidup.

Ambil SPMU 2020

Anda boleh sarankan kepada anak untuk membuat pendaftaran calon persendirian Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) 2020 melalui online. SPMU ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada anak anda mengambil semula peperiksaan SPM. Kebiasaannya ia akan diadakan dua kali setahun iaitu pada bulan Jun dan November. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari portal rasmi https://www.infoupu.com/pendaftaran-calon-persendirian-spmu-spm-ulangan/ Jadi, tunggu apa lagi? Daftarlah anak anda sekarang!

Bantu Anak Cari Minat Mereka

Ibu bapa sepatutnya tahu apa minat anak anda yang sebenarnya. Juruskan anak anda yang kurang cemerlang itu kepada minatnya untuk mengambil kemahiran. Jika anak minat akan kursus-kursus teknikal, anda boleh menghantar mereka ke kolej vokasional, politeknik ataupun kolej teknik. Di sini mereka boleh belajar pelbagai kemahiran seperti elektrik, kimpalan atau mekanikal. Insya-Allah dengan kemahiran yang ada ini anak anda boleh berjaya.

Bagi Sokongan Sepenuhnya

Hari ini anak anda mungkin gagal dalam peperiksaan SPM, tetapi tidak mustahil mereka boleh berjaya pada masa akan datang. Jadi, jangan sesekali perlekehkan kelemahan mereka. Beri mereka semangat untuk terus berjaya. Letakkan harapan yang tinggi dan sentiasa beri motivasi. Sesungguhnya, kata-kata daripada anda boleh menaikkan semula semangat mereka untuk terus berjaya kerana mereka yakin yang anda masih lagi sayangkan mereka.

Bimbing Anak Untuk Terus Berdoa

Seperti yang kita ketahui, doa itu adalah senjata bagi orang mukmin. Jadi, anda sebagai ibu bapa perlulah membimbing anak supaya teruskan berdoa. Mungkin hari ini bukan rezeki mereka untuk berjaya dalam SPM, tetapi dengan doa dan usaha yang berpanjangan mereka pasti akan berjaya kelak. Perlu diingatkan bahawa jika anak anda tergolong daripada mereka yang kurang cemerlang dalam akademik, mereka pasti mempunyai kekuatan yang lain. Sentiasa yakin dengan kebolehan anak anda kerana mereka adalah anugerah terindah!

Sumber Gambar: Depositphotos