5 Cara Mudah Kejutkan Anak Untuk Bersahur

Sesi kejutkan anak bangun bersahur kini lebih mudah!

Bulan Ramadan ini, ramai ibu bapa yang pasti ingin melatih anak untuk menjalani ibadah berpuasa. Salah satu cabaran yang mungkin akan dihadapi adalah mengejutkan anak bangun untuk bersahur.

Ia tidak mudah kerana anak mungkin tidak terbiasa dengan rutin tersebut namun dengan cara yang betul, ia boleh dilakukan. Oleh itu, Jelita kongsikan lima cara mudah yang boleh dipraktikkan.

Jelaskan Makna Puasa Dan Pentingnya Bersahur

Bagi memudahkan anak untuk bangun sahur, anda harus jelaskan kepadanya kepentingan puasa dan bersahur. Beritahu masa yang harus mereka bangun untuk bersahur dan jelaskan juga kepada mereka kesan jika tidak bersahur. Terangkan dengan cara yang mudah difahami anak.

Aturkan Waktu Tidur Mereka

Ajar anak untuk tidur awal sepanjang bulan Ramadan ini. Sebaik sahaja mereka selesai menyiapkan tugasan atau kerja rumah, ajak mereka untuk masuk tidur. Kalau buat setiap hari, mereka akan terbiasa dengan rutin tersebut dan mudah untuk bangun sahur.

Sediakan Makanan Kegemaran Mereka

Anak akan lebih bersemangat untuk bangun sahur sekiranya anda menyediakan makanan kegemaran mereka. Cara ini memang berkesan.

Kejut Dengan Suara Lembut

Jangan tengking atau kejut dengan suara yang kuat. Cara ini memang tidak akan berkesan. Cuba gunakan suara yang lembut kerana anak sukakan kelembutan. Mereka akan mudah bangun dengan cara itu.

Beri Penghargaan

Tidak salah jika anda berikan ganjaran kepada mereka untuk usaha yang dilakukan. Berilah benda yang ringkas seperti belikan mainan kegemaran atau membenarkannya untuk bermain permainan video. Cara itu akan membuatkan mereka tidak akan tidur semula selepas dikejutkan.

Sumber Gambar: Depositphotos