#Covid19: Eratkan Hubungan Bersama Keluarga Sepanjang Tempoh #PKP Dengan 6 Aktiviti Ini

Jangan biarkan masa berlalu begitu sahaja.

Seperti semua sedia maklum, tempoh pelaksanan Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP kini dilanjutkan lagi sehingga 28 April. Inilah peluang anda untuk mengeratkan lagi hubungan bersama keluarga.

Jelita kongsikan enam aktiviti menarik yang boleh anda cuba bersama keluarga sekali gus mengeratkan hubungan bersama mereka.

Menyiapkan Kerja Sekolah

Sepanjang tempoh ini, selain guru, ibu bapa juga berperanan untuk mendidik anak ketika berada di rumah. Anda boleh membantu mereka menyiapkan kerja sekolah yang diberi atau memberikan buku latihan untuk mereka lakukan. Dengan cara ini mereka boleh menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan kemahiran membaca, menghafal sihir atau mengaji.

Projek DIY

Anda boleh mendapatkan idea projek DIY mudah melalui YouTube. Gunakan bahan kitar semula yang ada di dalam rumah. Aktiviti ini dapat membantu mengalihkan perhatian anak daripada kebosanan sepanjang tempoh PKP. Selain itu, ia juga dapat membantu menyelamatkan alam sekitar.

Menonton Televisyen Bersama

Manfaatkan waktu terluang ini dengan menonton televisyen bersama anak. Lebih menarik jika anda sediakan snek ringan seperti keropok atau gula-gula untuk buat suasana seperti sedang menonton wayang di pawagam. Aktiviti ini dapat membantu mengukuhkan hubungan antara ibu bapa dan anak.

Memasak

Ambil kesempatan ini untuk mengajar anak kemahiran asas memasak. Mulakan dengan resipi yang ringkas seperti mengoreng telur atau masak nasi. Ia bukan sahaja menyeronokkan tetapi kemahiran ini akan berguna untuk mereka suatu hari nanti.

Mengemas Rumah

Sepanjang tempoh ini juga, anda boleh mendidik anak untuk membantu mengemas rumah. Tugas mengemas rumah bersama sebenarnya lebih menyeronokkan. Selain itu, ia juga dapat mengurangkan pelbagai risiko penyakit akibat kuman yang terdapat di dalam rumah.

Berkebun

Inginkan aktiviti yang mengeluarkan peluh, anda boleh cuba berkebun. Anak anda boleh belajar bercucuk tanam dan secara langsung akan membuatkan tubuh mereka lebih sihat selepas mengeluarkan peluh. Selain itu, ia juga boleh menjimatkan wang kerana anda boleh menggunakan tanaman yang ditanam seperti cili, kubis dan sebagainya untuk memasak hidangan buat seisi keluarga.

Sumber Gambar: Depositphotos