Aplikasi Messenger Kids Kini Tersedia Di Malaysia

Turut direka khas buat anak anda yang berusia 13 tahun ke bawah.

Bagi membolehkan anak kekal berhubung dengan guru dan rakan sebaya dengan selamat, cuba aplikasi baru ini!

Kini Facebook melancarkan ‘Messenger Kids’ secara percuma, dan ia dicipta khas buat anak anda yang tidak memiliki akaun Facebook sendiri. Malah, membolehkan anak anda berhubung melalui panggilan video ataupun teks.

Ia pertama kali diperkenalkan untuk pasaran Amerika Syarikat (AS) dan kini penawarannya diperluaskan lagi ke 70 buah negara, termasuklah Malaysia.

Aplikasi ini dibangunkan bagi mengurangkan risiko ancaman keselamatan terhadap anak anda, terutamanya daripada pihak luar yang tidak dikenali.

Berbeza dengan aplikasi Facebook Messenger biasa, akaun Messenger Kids boleh dipautkan dengan akaun anda secara terus. Malah, membolehkan anda memantau dengan siapa, dan apa topik perbualan yang dibincangkan oleh anak anda.

Anda juga boleh mengawal kenalan anak anda melalui Dashboard Messenger Kids Parents.

Aplikasi ini juga hadir dengan ciri-ciri khas bagi menjadikan panggilan video lebih menarik dan menyeronokkan ketika digunakan oleh anak anda. Antaranya:

  • Penggunaan topeng, emoji dan kesan bunyi yang menyeronokkan.
  • Selain pangggilan video, anak anda juga dapat menghantar gambar, video, ataupun teks kepada rakan-rakan dan juga ahli keluarga yang lain.
  • Mempunyai koleksi GIF, bingkai, pelekat, dan juga alat lukisan yang bersesuaian dengan anak anda. Malah, mereka boleh menghiasi kandungan kegemaran dan menggambarkan ciri-ciri keperibadian mereka.

Anda juga boleh memuat turun aplikasi ini daripada Apple App Store ataupun Google Play Store mulai 22 April sehingga akhir minggu ini.

Baca juga: Pastikan Anak Anda Selamat Ketika Melayari Internet Dengan Tip Ini.