Pentingkah Perbincangan Baligh Bersama Anak?

Ada teknik yang betul untuk bincang mengenai baligh dengan anak

Masih dianggap tabu dan diselindungi daripada pengetahuan anak yang meningkat dewasa. Namun, ada caranya untuk anda sampaikan mesej yang betul.

Baligh perlu dianggap sesuatu yang normal dan akan dilalui setiap insan yang bergelar manusia. Biarpun pengalaman baligh adalah berbeza bagi setiap orang, sehingga kini masih terdapat negara yang masih menganggap ia sebagai sesuatu pantang larang atau tabu lebih lagi jika melibatkan haid. Contohnya, di India, jika seorang wanita sedang haid, dia tidak dibenarkan untuk memasuki dapur atau melakukan amalan keagamaan.

Menurut Dr Yong Junina Fadzil, Konsultan Pediatrik, baligh atau puberty bermaksud fasa kematangan di mana badan seseorang akan mengalami perubahan fizikal, dan emosi disebabkan hormon tertentu. Perbincangan mengenai baligh ini sentiasa menjadi tanda tanya bagi ibu bapa kerana mereka sentiasa memikirkan waktu yang sesuai untuk membincangkan mengenai perkara ini.

“Tiada umur yang spesifik tetapi kebiasaannya apabila seorang kanak-kanak mula bertanya soalan mengenai anggota badannya dan juga mengenai orang lain maka perbincangan mengenai topik ini harus dilakukan supaya kanak-kanak itu akan memahami perubahan yang sedang dialaminya,”katanya.

Pasti anda bertanya, mengapakah perbincangan dan perbualan mengenai topik baligh ini perlu dilakukan? Adakah perbualan ini penting dan menjadi keperluan untuk dibincangkan? Jelita utarakan beberapa soalan penting mengenai pengenalan baligh kepada Dr Yong Junina bagi menjawab persoalan ini.

Mengapa penting untuk memberitahu anak tentang baligh?

Hal ini sangat penting untuk diberitahu kerana pertukaran pada tubuh seperti pembentukan buah dada untuk perempuan, pertumbuhan bulu di bawah lengan dan kemaluan, pasti akan menimbulkan persoalan di minda anak anda. Bagi kanak-kanak perempuan tanda ini akan disusuli dengan haid dan bagi mereka yang belum bersedia mereka pasti akan berasa terkejut serta takut. Mereka tidak tahu sama ada pertukaran ini adalah normal ataupun sejenis penyakit. Lebih lagi jika mereka pasti tidak akan memahami perubahan emosi yang melanda ketika itu kerana mereka tidak pernah terdedah serta diberitahu mengenai hal ini.

Adakah perbincangan megnenai topik ini sesuai dibincangkan secara bersendirian ataupun bersama anak perempuan yang lain?

Ini bergantung pada keadaan. Sekiranya dalam sebuah keluarga terdapat beberapa adik-beradik perempuan yang lebih tua, kemungkinan si adik telah pun terdedah pada perubahan yang akan berlaku semasa kakaknya mengalami. Namun, sekiranya anak berasa kurang selesa untuk berbincang secara berkumpulan lebih baik dilakukan secara sendirian termasuk tanpa bapa.

Apakah langkah yang boleh diambil untuk menerangkan kepada anak mengenai apa itu baligh?

Perama sekali ibu bapa boleh bermula dengan bertanyakan kepada mereka perkara yang mungkin merunsingkan fikiran. Tanya mengenai rakan mereka dan masalah yang dihadapi dalam pelajaran. Bagi anak perempuan pula, boleh teruskan dengan berbincang mengenai pertumbuhan buah dada disebabkan baligh dan keperluan untuk membeli pakaian dalam. Jika mereka masih tidak selesa untuk berbincang mengenai topik ini maka cuba untuk sambung apabila mereka lebih bersedia.

Adakah benar kejahilan membuatkan ramai gadis terlalu berani untuk mengadakan hubungan seks tanpa tahu kesan sehingga melahirkan anak luar nikah?

Hubungan seks dalam kalangan remaja berpunca daripada sifat ingin tahu, ingin disayangi dan juga hormon. Apabila menempuh baligh, tahap hormon seperti estrogen bagi perempuan dan testosterone untuk lelaki akan meningkat justeru ini akan meningkatkan keinginan seks. Tanpa didikan dan tunjuk ajar yang betul daripada ibu bapa ataupun orang dewasa, pastinya mereka akan mula berpaling pada rakan dan internet untuk mendapatkan informasi.

Maklumat yang mungkin diterima ialah fakta yang salah mengenai seks dan akhirnya berlaku perbuatan yang tidak diingini seperti membuang bayi.

 Tanda selepas Mencapai Baligh

Fizikal

  • Pertumbuhan buah dada, testis (untuk lelaki)
  • Pertumbuhan bulu di bawah lengan
  • Pertumbuhan bulu di kemaluan
  • Bentuk badan berubah
  • Jerawat pada bahagian muka, dada dan belakang
  • Kulit jadi berminyak
  • Badan mengeluarkan bau

Emosi

  • Lebih peka tentang penampilan diri
  • Sensitif pada pendapat orang lain
  • Berasa takut dan keliru dengan perubahan yang berlaku
  • Perubahan mood

Artikel ini disiarkan dalam Majalah Jelita edisi Julai 2019