[Titik Hitam]: Trauma Mangsa Pedofilia

Insan yang seharusnya melindungi dirinya adalah syaitan bertopengkan manusia.

Rahsia dinoda lelaki yang dipercayai masih lagi digenggam kemas daripada pengetahuan keluarga. Nasib malang bertambah apabila keluarga porak peranda akibat sikap baran bapanya.

Diduga dengan pelbagai perkara bukanlah sesuatu yang asing buat Nur Umaira, 28*, yang kini hidup bersendirian tanpa hadirnya sesorang yang bernama lelaki. Menjadi mangsa pedofilia seawal usia lima tahun membuatkan dia menjadi seorang yang pendiam dan takut akan lelaki.

Dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sederhana. Bapa bekerja sebagai anggota polis dan ibunya membuka perniagaan kecil. Ini menyebabkan Umaira menjadi seorang gadis yang sangat berdikari sejak usia muda. Zaman kanak-kanaknya ditelusuri dengan gembira bermain bersama rakan sebaya dan sepupu. Tetapi segalanya musnah pada hari dia dinoda darah daging sendiri iaitu bapa saudaranya yang berumur 23 tahun.

“Walaupun masih kecil, kejadian itu cukup jelas dalam fikiran. Ajakannya untuk masuk ke sebuah bilik, langsung tidak buat saya sangsi sekelumit pun kerana dia keluarga saya. Dia memberitahu bahawa dia ingin bermain bersama saya. Saya yang naïf pada ketika itu hanya menurut sahaja perilaku dia. Dia menyuruh saya membuka baju dan kemudian saya dirogol. Kemudian, dia minta saya bersumpah untuk menutup mulut dan mengugut untuk memukul saya jika rahsianya terbongkar,” katanya.

Selepas kejadian, Umaira tidak lagi berani tinggal di rumah berseorangan kerana jarak rumah bapa saudaranya yang dekat. Umaira memberitahu, lelaki durjana itu seperti tidak mempunyai rasa bersalah apabila berdekatan dengan keluarganya yang lain. Kejadian itu berulang-ulang sehingga dia menginjak usia tujuh tahun. Pelbagai cara yang dilakukan lelaki itu untuk mengumpan Umaira. Setelah beberapa bulan kemudian, bapa saudaranya menghilangkan diri. Dia tidak lagi berjumpa dengannya selepas itu.

DIROGOL GURU

Menurut Umaira, dia merasakan kesengsaraannya akan berakhir dengan kehilangan bapa saudara. Namun sangkaannya meleset sama sekali. Ketika dia berumur lapan tahun, dia kemudian dirogol guru lelaki yang sepatutnya mendidik dan memberi ilmu. Guru yang dihormati dan disanjung tanpa malu melakukan perbuatan terkutuk terhadapnya.

“Guru lelaki berkenaan mengajar saya subjek pendidikan jasmani. Pada hari kejadian, dia mengajak saya untuk mengambil barang di stor sekolah. Tanpa mengesyaki niatnya, saya hanya mengikut sahaja.  Sampai saja di stor dia terus menarik saya ke dinding dan saya cuba untuk melepaskan diri. Namun, saya akhirnya tewas dan tidak berdaya untuk melawan nafsu serakah guru lelaki berkenaan,” katanya.

Pada usia semuda itu, dia dirogol dua lelaki yang sepatutnya memberi perlindungan kepada dia. Seawal usia 10 tahun, dia mula menunjukkan simptom kemurungan. Kejadian itu benar-benar menghantui diri Umaira menyebabkan dia menjadi seorang yang pendiam. Pada tahun berkenaan juga dia mengetahui dia adalah mangsa pedofilia kerana kebetulan dia membaca buku ilmiah bergenre sains.

Menurutnya lagi, guru bernafsu syaitan itu bukan hanya melakukan perbuatan terkutuk itu kepada dia tetapi juga kepada murid yang lain. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua apabila guru berkenaan ditangkap dan dibuang daerah atas tuduhan merogol murid lain. Tiada siapa mengetahui mengenai kejadian yang menimpa hidup Umaira. Ibu bapa terlalu sibuk bekerja dan menguruskan dua adiknya yang masih kecil.

BAPA BERUBAH SIKAP

Penderitaan yang dialami Umaira bertambah apabila ayah dan ibu sering bertengkar. Ketika itu dia berumur 12 tahun. Bapanya mula berubah sikap dan menjadi seorang yang panas baran. Dia memberitahu bahawa ibu pernah dipukul dan ditendang bapanya sehingga pengsan dan keguguran. Dia dan adiknya juga turut menjadi mangsa kemarahan kedua ibu bapanya.

“Ibu pernah memukul saya dengan  teruk sehingga saya ke sekolah dengan  lebam di bahagian paha dan juga tapak kaki. Ibu geram kepada ayah kerana tidak membantu perniagaan tetapi kemarahannya dilepaskan kepada kami adik-beradik. Guru juga ada bertanya kepada saya kenapa saya tidak aktif seperti dulu. Saya hanya mendiamkan diri dan tidak memberitahu cikgu,” kata Umaira.

Penderaan secara mental dan fizikal kepada dia telah merubah perwatakan Umaira. Akibat mempunyai masalah keluarga, kesihatannya langsung tidak dihiraukan. Dia kerap mengalami pendarahan di hidung dan mudah pengsan. Ayah dan ibu langsung tidak kisah akan kesihatan Umaira. Mereka berfikir Umaira hanya mahukan perhatian.

Setahun kemudian, ayahnya dibuang kerja akibat kes salah guna kuasa. Untuk menutup malu, keluarganya telah berpindah ke utara tanah air untuk meneruskan kehidupan. Ayah menjadi lebih baran dan semakin kerap memukul ibunya. Ibunya juga dipaksa untuk melakukan kerja berat dan berniaga tanpa bantuan ayah. Umaira dan adiknya yang banyak membantu perniagaan ibunya sehingga dia melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan.

Kesihatan Menjadi Teruk

Selepas melanjutkan pelajaran ke universiti, kesihatan Umaira menjadi lebih teruk kerana tekanan hidup yang dihadapi. Ayahnya menjadi separuh gila akibat tekanan perasaan yang melampau. Ibu masih tabah berniaga walaupun perniagaan semakin merosot. Umaira belajar sepenuh hati  meskipun ketika kesihatannya semakin merosot. Dia akhirnya berjaya mengenggam segulung ijazah dan bekerja membantu keluarga di kampung.

Pada hujung 2016, kesihatannya semakin merosot. Dia kerap pengsan dan mengalami batuk berdarah. Selepas didiagnosis, dia disahkan menghidap barah tekak tahap tiga. Allah sahaja yang mengetahui perasaannya pada ketika itu. Diuji dengan pelbagai dugaan namun Allah masih memberikan rezeki yang melimpah ruah kepada Umaira. Dia tidak lupa langsung kepada ibu dan ayah yang banyak membesarkannya.

“Keluarga di kampung tidak mengetahui bahawa saya mempunyai barah. Kini saya hanya mendekatkan diri kepada Allah dan membuka sebuah taska yang diidamkan setelah sekian lama. Kehidupan saya kini hanyalah kepada taska dan juga menjelajah ke merata tempat bagi menghadapi detik terakhir saya sebagai pesakit barah,” ujar Umaira.

Umaira menyatakan dia bersyukur kepada Allah walau ujian yang diberikan kepadanya sangat besar. Dia merasakan seperti dia insan yang terpilih untuk menghadapi ujian Allah. Paling utama dia kini hanya ingin menunaikan tanggungjawab sebagai seorang anak dan kakak supaya ahli keluarganya dapat menjalani kehidupan baru yang lebih baik.

*bukan nama sebenar
Artikel disiarkan dalam Majalah Jelita edisi Julai 2017
Sumber Gambar: Depsositphotos