[Titik Hitam]: Padah Terlalu Mengejar Cinta

Dia butakan dirinya kerana cinta!

Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna; pepatah yang sesuai digunakan untuk menggambarkan kehidupan silam *Aisyah Amri, 30, yang membuatkannya menyesal sehingga sekarang. Menurutnya, masa lampau itu memberi kesan kepada kehidupannya sehingga kini namun dia berharap ia menjadi pengajaran buat anak muda sekarang yang terlalu ghairah dibuai perasaan cinta.

cinta

“Saya dilahirkan dalam keluarga yang menekankan tentang agama. Sejak kecil saya dididik dengan agama dan seawal tujuh bulan telah dipakaikan tudung untuk menutup aurat. Bapa saya seorang yang tegas dan warak jadi dia mahu semua anaknya belajar mengenai agama daripada kecil sehingga dewasa. Dulu, saya seorang yang rajin menghafaz a-Quran namun apabila berada di sekolah menengah segalanya berubah,” kata Aisyah.

TAKSUB CINTA DUNIA

Menurut Aisyah, bapa mendaftarkannya di sebuah sekolah agama berasrama penuh di selatan tanah air. Tanpa pengawasan ibu bapa dan jauh pula daripada keluarga, Aisyah mula berubah, pendek kata dia dilanda kejutan budaya apabila melihat rakan sebaya bermain dengan cinta. Darah muda membuak keinginan untuk turut sama merasai kasih seorang insan bergelar lelaki.

“Ketika itu, saya cemburu melihat rakan-rakan yang memiliki teman rapat dan mereka keluar berpegangan tangan tanpa segan silu. Sejak itu, saya nekad untuk mencari teman rapat walaupun pada ketika itu baru berada di tingkatan dua. Beberapa bulan selepas itu, rakan saya memperkenalkan dengan seorang lelaki bernama *Hakim Hasyim, senior di sekolah agama berkenaan. Kami hanya berkawan beberapa bulan dan saya mula tertarik dengan kebaikan Hakim. Kami mula menjalinkan hubungan cinta ketika saya berada di tingkatan tiga,” tambahnya.

Awal percintaan semuanya indah belaka. Sikap Hakim yang memahami membuatkan Aisyah semakin sayang kepada lelaki itu. Menurutnya, dia sanggup melakukan apa saja, asal dapat berjumpa dengan Hakim. Aisyah mengakui, ketika itu dia hanya memikirkan keseronokan bercinta, baik buruk bagai dikaburi oleh perasaannya ketika itu.

TERLANJUR KERANA CINTA

Selepas setahun mengenali Hakim, perwatakan lelaki itu semakin berubah. Dia sudah pandai menyentuh di tempat yang tidak sepatutnya dan Aisyah hanya membiarkannya kerana baginya, itulah bukti kasihnya terhadap lelaki itu. Dia sudah mula rajin ponteng sekolah dan keluar malam serta pelajaran mula terabai. Mereka berdua sering berjumpa di tempat yang sunyi sehingga kedua-duanya terlanjur.

“Kali pertama kami melakukan hubungan terkutuk itu, saya tidak hamil. Jadi, saya dan Hakim tidak risau untuk mengulanginya buat beberapa kali. Jika saya enggan, Hakim akan mengugut mahu meninggalkan saya. Mana mungkin saya mahu kehilangan lelaki yang sudah bertakhta di hati itu,” tambahnya.

Suatu hari, ketika Aisyah cuba untuk keluar asrama pada waktu malam untuk berjumpa dengan Hakim, dia ditangkap warden. Ibu bapanya dipanggil ke sekolah dan pengetua telah memberitahu tentang perangainya yang gemar ponteng sekolah dan mengabaikan pelajaran. Aisyah dibawa pulang kemudian dipukul bapanya di rumah. Tetapi, itu tidak menginsafkannya malah kejadian dipukul menjadikan sikapnya semakin teruk.

“Pada ketika itu, saya langsung tidak mempedulikan perasaan ibu bapa dan hanya mementingkan diri kerana terlalu sayangkan Hakim. Hari silih berganti, Hakim akhirnya menamatkan persekolahan. Sejak itu, saya semakin liar dan lebih kerap memonteng sekolah untuk berjumpa dengan Hakim sehingga akhirnya bapa mengambil keputusan untuk menyuruh kami berkahwin,” tambahnya.

KAHWIN USIA MUDA

Biarpun ahli keluarga terkejut dengan keputusan bapa Aisyah, tetapi itu adalah langkah sebaiknya sebagai menangkis rasa malu. Apatah lagi, bila ditegah, Aisyah lebih berani bertindak malah sanggup melarikan diri untuk bertemu lelaki berkenaan.

Bila disuruh berkahwin, Aisyah enggan pada mulanya, tetapi dek kerana desakan kedua-dua keluarganya dan Hakim, mereka disatukan dalam usia serba mentah.

“Pada hari pernikahan kami, ibu tidak hadir kerana terlalu kecewa dan sedih kerana saya satu-satunya anak perempuan dalam keluarga. Saya akui ketika itu, masih tidak mengerti tentang kehidupan. Selepas akad nikah, bapa menangis sepuasnya dan kemudian terus pulang tanpa melihat ke belakang lagi,” katanya sambil menangis.

Hakim yang hanya mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa bekerja sebagai seorang buruh selepas tamat sekolah. Hasil pendapatan begitu kecil untuk menampung kehidupan mereka suami isteri. Bapa Aisyah yang masih ada rasa belas, turut membantu Hakim mencari pekerjaan lain.

Tambah Aisyah, bapanya sering menolong daripada segi kewangan dan akhirnya Aisyah mengajak Hakim untuk pindah ke rumah bapanya bagi memujuk semula hati ibu bapanya. Setelah setahun, ibu dan bapa mula menerima Hakim namun, tohmahan daripada orang kampung dan saudara mara masih tidak berhenti.

DICERAIKAN AKIBAT JUDI

“Masuk tahun kedua perkahwinan, Hakim mula menunjukkan belangnya. Dia sering pulang lewat dan mabuk. Ketika ini saya dan Hakim sudah pindah ke rumah sewa jadi bapa tidak tahu mengenai perangai Hakim. Apabila saya meminta wang untuk membeli barang rumah, dia memarahi saya dan memberitahu bahawa dia tidak mempunyai wang.

“Suatu hari, rahsia Hakim sering pulang lewat terbongkar apabila saya menjumpai resit nombor ekor dalam seluarnya. Saya cuba dapatkan penjelasannya semasa dia pulang namun sebaliknya saya diceraikan dan akhirnya ditinggalkan sehelai sepinggang. Ketika itu, saya sangat malu dengan bapa kerana tidak pernah menjaga hati mereka berdua sebelum ini. Dalam keadaan sudah dicerai, merekalah yang hadir untuk membawa saya pulang,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, mungkin ini adalah balasan Tuhan kepadanya kerana menderhaka terhadap kedua ibu bapanya. Dia sangat menyesal kerana terlalu mengikut perasaan dan mengejar cinta dunia. Kini Aisyah sudah berubah dan mahu membalas jasa ibu bapanya.

Walaupun keputusan SPM tidak begitu baik, Aisyah berusaha untuk mengambilnya kali kedua dan kini sedang menyambung pelajarannya di peringkat ijazah di sebuah universiti tempatan. Dia nekad untuk meneruskan hidup dan tidak mahu kisah lampaunya menjadi penghalang kejayaan.

 *bukan nama sebenar
Sumber Gambar: Freepik