[Titik Hitam] Mangsa Suami Gila Seks

Dia terpaksa melayan nafsu gila seks suaminya dua kali sehari.

Disangka panas sampai ke petang, tapi rintik pula hujan di tengahari. Demikian perjalanan rumah tangga yang mengimpikan bahagia, tetapi terpaksa pula menelan racun cinta.

Membuka lembaran memegang status isteri, setiap wanita mahukan yang indah sehingga ke akhir hayat. Begitu juga dengan Wawa, 30*, yang menyimpan impian sama bila berkahwin dengan lelaki pilihan hatinya.

Harapan ingin hidup bahagia di samping suami tercinta kecundang di tengah jalan apabila si suami berubah sikap dan mula menunjukkan belangnya.

Rumah tangga yang dibina hampir enam tahun akhirnya berantakan apabila Wawa mula tidak tahan dengan perangai suaminya. Perjalanan perhubungan mereka pada awalnya biasa sahaja, sama seperti pasangan lain. Namun, semuanya berubah seratus peratus apabila suami mula terpengaruh dengan rakan-rakannya.

Wawa mendirikan rumah tangga bersama suami atas dasar saling mencintai. Pada awalnya mereka hidup bahagia berdua. Biarpun tidak dikurniakan zuriat, hubungan mereka berjalan dengan baik dan suaminya juga tidak pernah mempersoalkan mengenai cahaya mata.

“Tiga tahun pertama menjadi suami isteri semuanya indah belaka. Disebabkan kasihan melihat suami asyik terperap di rumah, saya membenarkan dia untuk sekali sekala keluar berjumpa dengan rakannya. Saya tidak mahu dia kebosanan. Sekali seminggu dia akan keluar dan selalunya akan pulang sebelum jam 11 malam,” katanya.

Tetapi lama kelamaan, suaminya mula berubah. Dia lebih kerap keluar dan pulang awal pagi. Tidak tahan dengan keadaan itu, dia memberanikan diri bertanya. Alasan yang diberikan dia terima dengan hati yang terbuka dan meminta si suami supaya tidak lagi keluar bersama temannya. Bukan niat ingin mengongkong tetapi Wawa khuatir suaminya ada agenda tersendiri. Paling merisaukannya sudah tentulah suaminya mempunyai teman istimewa.

Keinginan seks yang melampau

Akur dengan permintaan si isteri, si suami tidak lagi kerap berjumpa teman dan kembali kepada rutin biasa menemani Wawa di rumah. “Saya sangat lega apabila suami tidak lagi pulang lewat dan banyak meluangkan masa di rumah. Namun, perubahan sikapnya ini disusuli dengan tabiat barunya yang amat memeranjatkan saya. Dia gemar menonton video lucah dan mengajak saya meniru aksi yang ditontonnya. Malah telefonnya juga penuh dengan koleksi video dan gambar tidak senonoh,” akui Wawa.

Pada awalnya dia akur dengan kemahuan si suami kerana sedar akan tanggungjawabnya sebagai isteri. Namun, apabila si suami mula menyuruhnya melakukan aksi yang di luar batasan dia sudah tidak mampu untuk memenuhinya.

Pernah si suami mengajak dia melakukan seks di ruang tamu dan merakam aksi mereka. Malah, si suami juga sering mengikatnya pada katil atau tiang dan melakukan hubungan intim tanpa kerelaannya. Biarpun si suami tidak pernah mencederakannya, namun Wawa tidak sanggup diperlakukan sedemikian rupa.

“Dia seperti ketagihan seks. Saya perlu melayan nafsunya sekurang-kurangnya dua kali sehari. Jika tidak dipenuhi dia mengugut mahu melakukannya dengan wanita lain. Paling menyedihkan saya pernah melakukan hubungan seks diluar tabii bersama suami. Saya tiada pilihan biarpun tahu ia dilarang di dalam Islam,” ujarnya sambil menitiskan air mata.

Kata Wawa dia tidak mahu suaminya melakukan dosa besar kerana bersetubuh dengan wanita yang tidak dinikahi. Disebabkan itu dia mengorbankan dirinya melayan nafsu si suami yang tidak pernah puas. Setiap kali bersama pasti ada sahaja aksi pelik yang dilakukannya. Biarpun sakit, dia tahan demi kasihnya kepada suami.

Temui jalan buntu

Pernah beberapa kali dia mengajak suami untuk menghadiri sesi kaunseling bagi mengubati ketagihan seks yang dialaminya. Namun si suami menolak. Tidak mahu memaksa dia biarkan sahaja. Dia juga pernah meluahkan rasa hatinya kepada suami dan meminta dia berubah. Namun semuanya sia-sia. Sikap suaminya masih sama malah semakin menjadi-jadi.

Pernah terlintas di fikiran Wawa mahu mengadu kepada keluarga atau rakan baiknya, tetapi dia malu. Lagipun tidak elok bercerita hal ini kepada orang luar. Disebabkan sudah tidak mampu menanggung sendiri, akhirnya dia membuat aduan di pejabat agama tanpa pengetahuan suaminya.

“Selepas beberapa kali menghadiri sesi kaunseling dan pelbagai usaha dilakukan bagi memulihkannya gagal, akhirnya saya membuat keputusan untuk memohon fasakh. Walaupun saya masih sayangkan dia tetapi saya sudah tidak sanggup menjadi isterinya lagi. Saya tidak rela dijadikan mangsa untuk memenuhi kemahuan seksnya yang keterlaluan,” katanya.

Tambah Wawa, cukuplah hampir tiga tahun dia menjadi mangsa dan membiarkan sahaja diperlakukan sedemikian rupa. Dia kini sudah berputus asa dan mahu hidup bahagia sendiri. Biarlah si dia melepaskan nafsunya kepada wanita lain, Wawa sudah tidak peduli.

Bagi Wawa, kebahagiaan dirinya lebih utama kini. Lagipun dia tidak mahu hidup dibelenggu dosa dan terus menderita. Si suami langsung tidak mahu berubah dan dia juga sudah tidak betah hidup di sampingnya.

“Kehidupan saya semakin tenang kini. Selepas berpisah, ada beberapa kali dia datang memujuk saya untuk bersama semula. Tetapi saya menolak. Cukuplah sekali saya menjadi isteri dan pemuas nafsunya. Saya ingin memulakan kehidupan baru dan cuba melupakan peristiwa hitam itu. Biarpun ia masih menghantui, saya akan cuba untuk menghakisnya,” katanya.

Disebabkan pernah menjadi mangsa suami sendiri, tidak dinafikan Wawa kini seakan trauma dengan lelaki. Ada kalanya dia menganggap semua lelaki adalah sama. Tidak boleh dipercayai dan mempunyai nafsu seperti binatang. Buat masa sekarang dia tidak mahu memikirkan soal jodoh. Paling utama kini dia mahu membina kehidupan baru.

*Bukan Nama Sebenar

Sumber Gambar: Depositphotos