Resipi Mudah Onde-Onde Melaka Untuk Juadah Berbuka Puasa

Terubat rindu mahu ke bazar.

Ada hikmah dicsebalik Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan sehingga lebih sebulan. Rata-rata rakyat Malaysia berkongsi aktiviti kekeluargaan di media sosial, terutamanya aktiviti memasak. Ada yang daripada tak tahu memasak sampai boleh mahir!

Bulan Ramadan tahun ini tentu sekali berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini. Tiada bazar Ramadan, tiada sesi berbuka puasa beramai-ramai dan tentu sekali menu berbuka dimasak sendiri. Jelita lihat ramai yang mengidam mahu menjamah kuih-kuih tradisional Melayu yang sebenarnya anda boleh sediakan sendiri di rumah.

Antara juadah kuih tersebut ialah onde-onde melaka. Jelita kongsikan resepi mudah yang anda boleh sediakan dalam masa satu jam sahaja.

ONDE-ONDE MELAKA

Bahan-bahan (15-20 biji)

1 cawan tepung pulut
1 sudu besar tepung beras
5-6 helai daun pandan – kisar dengan secawan air dan tapis untuk airnya sahaja.
Gula melaka – potong kecil
1/2 biji kelapa parut – ambil bahagian putih sahaja
Sedikit garam – untuk digaul dengan kelapa parut
Pewarna hijau (jika ada dan hanya letak dua titis untuk menaikkan warna)

Cara Penyediaan:

1. Bancuh tepung beras dan tepung pulut bersama air pandan sedikit demi sedikit. Gaul sehingga doh menjadi tidak melekit.

2. Ambil doh dan bentukkan menjadi seperti bola kecil. Lenyekkan guna jari dan masukan ketulan gula melaka dan bulatkan semula.

3. Pastikan tangan anda tidak basah kerana ia boleh mebuatkan doh tadi cair. Kemudian panaskan periuk dengan air sehingga mendidih.

4. Masukkan onde-onde dan rebus sehingga terapung. Onde-onde telah cukup masak jika ia terapung.

5. Gaulkan dengan kelapa parut yang digaul dengan garam tadi dan sedia untuk dimakan selepas disejukkan.

Foto kredit: Azhan.co