Resipi Gulai Kawah Raja Berangkat

Menu warisan anda kena tahu!

Gulai kawah antara tradisi kenduri di Pantai Timur.

Bagi anda yang ingin  merasainya sendiri, bolehlah buat untuk juadah berbuka puasa. Mana tahu selera anda makin bertambah?

Walaupun namanya gulai kawah, anda boleh sahaja menggunakan periuk besar. Apa yang membezakan gulai menggunakan kawah dan periuk besar bergantung pada warna gulai dan masa untuk daging empuk. Tetapi rasa tetap sama.

Mungkin anda juga tertanya-tanya kenapa ia dipanggil ‘Raja Berangkat’ bukan? Ini kerana, Raja itu lambang kaum kerabat, lebih-lebih lagi di Kelantan ramai yang berketurunan Raja. Berangkat pula kerana, gulai yang dimasak tidak menggunakan minyak dan tanpa perlu ditumis.

BAHAN-BAHAN:

10 kg daging

4 kg santan

1 kg bawang merah

2 labu bawang putih

2 inci halia

200 g cili kering

700 g serbuk kari daging (timbang)

3 keping gula melaka

Asam jawa

Garam secukup rasa

150/200 g gula

1 sudu besar ajinomoto

 CARA PENYEDIAANNYA:

  1. Masukkan daging yang sudah dicincang. (Boleh juga campur sedikit tulang rusuk, organ dalaman lembu seperti perut, limpa, hati dan bahagian lemak).
  2. Masukkan serbuk kari daging. Kalau nak lagi sedap, guna serbuk kari daging yang diimport dari Kelantan.
  3. Masukkan garam dan sedikit ajinomoto.
  4. Masukkan kepingan gula melaka.
  5. Masukkan perahan air asam jawa.
  6. Masukkan bawang merah, bawang putih, halia, dan cili kering yang sudah dikisar.
  7. Setelah masukkan kesemua bahan tadi, gaul sehingga sebati.
  8. Masukkan sedikit gula dan gaul. Kemudian, tunggu sehingga air daging kering dan bau aroma serbuk kari. (lebih kurang satu jam)
  9. Tuangkan santan dan campurkan sedikit air. (Kalau nak lagi sedap, masukkan mumban nyior dari kelapa muda. Pastikan ia sudah direndam ke dalam air garam terlebih dahulu agar gulai tidak kelihatan agak hitam).
  10. Gaul lagi sehingga daging betul-betul empuk dan menggelegak. Biasanya akan masak lebih kurang satu jam.
  11. Sedia untuk dihidang.

Sumber gambar: Raja Nur Faznie Aida

Sumber Resipi: Tengku Ibrahim Tengku Lah (Pokku), asal Kelantan.

 

Baca juga: Resipi Nasi Aruk