NORA ARIFFIN WAJAH PRETTIAN MALAYSIA

Miliki kulit idaman dengan Prettian

K-Beauty sering mendominasi dunia kecantikan global dengan barisan jenama solekan dan produk penjagaan wajah yang terkini dan menarik.

Ia menjadi fenomena dan sebutan ramai. Tipu jika anda tidak terpukau dengan kemulusan kulit wajah para pelakon tatkala menonton K-Drama kegemaran, bukan? Kulit wajah mereka licin, halus, dan cerah berseri membuatkan kita tertanya apakah rahsia dan rejim kecantikan mereka. Dikatakan, rutin penjagaan wajah bagi K-Beauty sememangnya banyak, sehingga mencecah 10 langkah utama yang harus diaplikasikan setiap hari.

Kini anda boleh miliki kulit idaman seperti wanita Korea dengan seleksi produk daripada jenama baru, Prettian. Ia adalah rangkaian produk penjagaan wajah dari Korea yang menggunakan bahan semula jadi dari Pulau Jeju, tempat ikonik terhasilnya pelbagai rumusan hebat untuk produk kecantikan Korea.

Lebih menarik, Prettian menggunakan bahan asas alami tanpa bahan kimia yang membantu memberikan kecantikan natural kepada pengguna yang mengamalkannya.

Prettian Malaysia diasaskan oleh Noor Alhan Ismail yang sudah memasuki pasaran Malaysia sejak setahun lalu dengan siri produk seperti Triple Oil Cleanser, Moisturizer, Silky Brightening BP Cream dan Silky Brightening Cream.

Pada majlis pelancaran yang diadakan baru-baru ini, Prettian memperkenalkan Nora Ariffin, penyanyi terkenal Malaysia sebagai wajah rasmi mereka. Menurut Pengarah Prettian Malaysia, Fauziah Abdul Aziz berkata, pemilihan Nora dibuat berdasarkan penampilan dan kecantikan semula jadi penyanyi itu yang tidak dimamah usia biarpun sudah menginjak 46 tahun.

“Pada permulaannya, pihak kami ada mendekati Nora dan dia memilih untuk mencuba dahulu produk ini bagi melihat sendiri keberkesanannya sebelum memberikan kata putus untuk menjadi sebahagian daripada kami. Bagi kami, Nora mempunyai kualiti paling signifikan dengan Prettian Malaysia iaitu asas kecantikan semula jadi,” katanya.

Mengenai kolaborasi dengan Nora, pelbagai aktiviti sedang dirancang termasuk siri jelajah di empat lokasi utama seluruh Malaysia serta aktiviti bersama pelanggan.