L’Oréal Malaysia Bantu Wanita Bina Hidup Berkualiti Menerusi Kecantikan

Beri peluang kepada wanita muda asah bakat

Selepas menjalani latihan selama 12 bulan, 24 orang wanita berusia antara 16 dan 20 tahun daripada kelas 2019, kini lulus dari program Beauty for a Better Life (BFBL) L’Oréal Foundation. Mereka kini adalah pendandan rambut dan jururias yang diiktiraf, dan bersedia untuk mengorak langkah dalam industri kecantikan.

Program  ini mula dilaksanakan oleh L’Oréal Malaysia sejak 2016 sebagai sumbangan syarikat dalam memainkan peranan untuk memperkasakan wanita muda di negara ini melalui pendidikan. Ia menyediakan wanita muda dengan latihan berkualiti tinggi tanpa bayaran dalam sektor dandanan rambut dan kecantikan profesional. Dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) menerusi Pusat Peluang Latihan Vokasional YWCA (VTOC), program ini bertujuan untuk mendidik wanita muda Malaysia yang tidak berpeluang mendapat akses pendidikan yang baik untuk memperoleh pensijilan yang diiktiraf dalam bidang dandanan rambut dan kecantikan. Dengan kemahiran ini, kumpulan wanita muda ini memperoleh motivasi dan berkeyakinan serta berintegrasi secara profesional ke dalam komuniti masing-masing.

Acara graduasi dimeriahkan  dengan kehadiran Tetamu Kehormat, Yang Berhormat Puan Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat. Menurutnya, program Beauty for a Better Life ini melengkapkan usaha kementerian untuk membangunkan wanita yang kurang bernasib baik dengan menyediakan peluang latihan vokasional.  Beliau juga menekankan bahawa latihan percuma ini mampu mengatasi rintangan bagi wanita muda dari keluarga yang miskin mendapatkan kemahiran profesional, dan yang lebih penting meningkatkan gaya hidup melalui pekerjaan atau memulakan perniagaan perkhidmatan selepas itu.

Yang Berhormat Puan Hannah Yeoh juga menekankan bahawa kerajaan sendiri tidak boleh atau mampu menyediakan latihan vokasional seperti ini tanpa berkerjasama dengan organisasi yang berjaya dalam industri tersebut seperti L’Oréal untuk memberi panduan dan membimbing wanita muda menempatkan mereka dan kekal relevan dalam pasaran ini.

 

Pengarah Komunikasi Korporat L’Oréal Malaysia, Zaireen Ibrahim menegaskan bahawa L’Oréal adalah peneraju global dalam kecantikan dengan semangat komuniti untuk memberi bantuan kepada yang memerlukannya. “Di Malaysia, kami komited untuk memberi balik kepada komuniti melalui pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan salah satunya adalah program Beauty for a Better Life. Dengan program ini, visi kami adalah untuk membantu mengubah hidup wanita muda dengan memberi inspirasi dan pembelajaran kualiti tinggi untuk kerjaya dalam sektor kecantikan dan dandanan rambut, agar mereka berupaya untuk menjana pendapatan. Sejak bermulanya program ini, kami telah membantu dengan menubuhkan pusat latihan yang baru, melatih jurulatih, menyediakan latihan motivasi, mengadakan latihan kelas master bersama L’Oréal Professionnel dan padanan kerja bagi pelatih selepas tamatnya program ini,” katanya lagi.

Para graduan tahun ini termasuk empat wanita muda dari kaum asli di Gua Musang, Kelantan. Mereka memiliki prestasi cemerlang sepanjang latihan mereka dan tiga daripadanya telah mendapat pekerjaan sebelum tamat pengajian mereka.

Amisha A/P Rudin yang berusia 18 tahun dari Gua Musang, Kelantan, menerima Anugerah Prestasi Terbaik bersyukur dengan peluang ini. “Saya tidak pernah menjangka untuk menerima penghormatan ini. Saya bersyukur dengan peluang yang diberikan oleh L’Oreal ini saya mampu mengejar impian menjadi pendandan rambut profesional. Selepas tamat PT3, saya berpindah ke Melaka untuk mencari peluang yang lebih baik sebelum diperkenalkan kepada program Beauty for a Better Life oleh paderi gereja saya. Sepanjang program tersebut, saya mendapat banyak pengalaman dan mengenali ramai kawan baharu. Walaupun latar belakang kami berbeza, saya menjadi sangat rapat dengan rakan sekelas saya, pengalaman yang  tidak pernah saya alami di tempat lain.”

Pada ketika ini, Amisha menjalani latihan kerja di sebuah salon kecantikan di Seputeh, Kuala Lumpur  berharap mempunyai peluang untuk terus bekerja selepas tamat pengajian, dan seterusnya dapat membuka salun sendiri di Kuala Lumpur pada masa hadapan.

Penerima Anugerah Pelatih Cemerlang, Ramapriya Ramarao, 20, dari Selekoh, Perak, berkongsi  hidupnya berubah menjadi lebih baik sejak menyertai program Kecantikan untuk Kehidupan yang Lebih Baik.  Dia yang suka melukis, mula berlatih membuat mehendi (inai) pada adik-beradik dan ibunya sejak berusia sembilan tahun. Dibesarkan oleh ibunya yang juga ibu tunggal, dia mendapat tahu tentang program ini melalui seorang guru di VTOC selepas menamatkan SPM. Melalui program Kecantikan untuk Kehidupan yang Lebih Baik, Ramapriya belajar berdikari. Menurutnya, dia akan menggunakan kemahirannya untuk tujuan baik sebagai seorang artis kecantikan dan henna dan menjadikan ini sebagai kerjayanya.