Kenapa Anda Harus Eksfoliasi?

Tambah langkah ini dalam rutin cantik anda.

Tambah langkah eksfoliasi dalam rutin penjagaan wajah anda untuk kulit yang lebih sihat dan berseri.

Lazimnya, ramai yang mengetahui dan hanya melakukan rutin penjagaan wajah yang  asas, iaitu membersih, menyegar dan melembap. Salah satu rutin cantik yang harus anda ambil peduli dan lakukan ialah eksfoliasi.

Eksfoliasi wajah ialah langkah yang mana ianya proses menyingkirkan sel kulit mati dari permukaan kulit menggunakan pupur atau skrub. Tahukah anda, kulit ‘bekerja’ untuk menyingkirkan sel kulit mati untuk pertumbuhan sel kulit baru setiap 30 hari? Adakalanya, sel kulit mati tidak berjaya dikeluarkan, lantas inilah penyebabnya kulit menjadi kering, liang pori tersumbat dan tidak berseri.

Selain daripada menyingkirkan sel kulit mati, ini ialah lima sebab kenapa anda harus eksfoliasi kulit.

MENGELAKKAN GARIS HALUS DAN KEDUTAN

Eksfoliasi menyingkirkan sel kulit mati dan lama, itu bermaksud ia akan menjana sel kulit baru yang lebih sihat dan menyegarkan. Apabila kulit lama sudah tiada, kedutan dan garis halus juga semakin berkurang.

MENINGKATKAN PENYERAPAN TEKSTUR PRODUK

Bayangkan apabila permukaan kulit penuh dengan kotoran degil. Bagaimana ia mampu untuk menerima produk lain dan bekerja pada kulit jika tiada ruang yang bersih dan sel kulit juga tidak aktif bekerja. Jika pemukaan kulit sudah bersih, barulah tekstur dan bahan rumusan produk mampu meresap dan berfungsi baik pada kulit wajah.

MENCEGAH CELA DAN BINTIK HITAM

Sel kulit mati ialah seperti ruang untuk bakteria dan kotoran. Kotoran yang tersumbat inilah punca mengapa kulit akan mudah berjerawat, adanya cela dan bintik hitam. Jika kotoran disingkirkan, maka kulit juga bebas bernafas!

MELANCARKAN PEREDARAN DARAH

Apabila tiada lagi kotoran dan sel kulit mati, peredarah darah juga lebih lancar. Toksin pada kulit juga tiada. Ini penting untuk memberi efek kulit yang lebih cerah, berseri dan tampak segar.

MENGHALANG PORI DARIPADA TERSUMBAT

Sel kulit mati bukan sahaja boleh menyumbatkan liang pori, malah liang pori kelihatan lebih besar. Kulit juga akan menjadi kasar dan kusam.