Jaga Kulit Wajah Biarpun Kerja Dari Rumah

Jangan culas dengan langkah yang utama ini!

Bekerja dari rumah atau work from home bukan alasan untuk anda mengabaikan soal kecantikan dan penampilan diri.

Dek kerana penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan di negara kita, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan perintah Kawalan Pergerakan bemula 18 Mac sehingga 14 April 2020. Justeru, banyak sektor pekerjaan mengambil inisiatif dengan membenarkan para pekerjanya bekerja dari rumah.

Tentunya suasana ini sangat berbeza kerana apabila anda bekerja dari rumah, banyak cabarannya. Jelita senaraikan beberapa tip atau panduan yang anda boleh cuba untuk memantapkan lagi rutin penjagaan wajah agar kulit kekal sihat, segar dan yang penting bersih.

KRIM TABIR SURIA

Walaupun anda tidak terdedah dengan sinaran UV kerana berkurung di dalam rumah, krim tabir suria ini wajib pakai setiap hari pada waktu siang. Ini kerana proses penuaan bukan sahaja semata-semata dari cahaya matahari, tetapi dalam anda tidak sedar, cahaya biru yang keluar daripada telefon pintar, televisyen dan komputer turut menyebabkan penuaan wajah. Lantas menyebabkan kulit semakin kusam, kering. munculnya bintik pigmentasi  dan garisan halus. Pilih pelindung UV yang bertekstur ringan dan tidak melekit, supaya ia selesa pada kulit wajah anda.

Cuba: Dermalogica Prisma Protect SPF30, RM298

KRIM MATA 

Inilah langkah yang paling ramai wanita culas dan malas, bukan? Jangan malas kerana aplikasi krim mata membantu merawat masalah seperti lingkaran gelap, kedutan dan mata yang letih. Apatah lagi sekarang ini mungkin ada di antara kita yang harus berjaga malam menyiapkan tugasan. Bukan itu sahaja sering menggunakan telefon atau cahaya daripada  skrin komputer dan  komputer riba turut menyebabkan mata penat, anda sahaja yang tidak tahu.

Cuba: It Cosmetics Bye Bye Under Eye Cream, RM196

SERUM 

Walaupun di rumah, jangan lupa oles serum wajah ya. Serum berfungsi untuk menyuburkan kulit, menjana semula sel kulit agar kulit kekal terhidrat dan anjal sepanjang hari. Anda akan dapat melihat kesan dan manfaatnya pada kulit jika anda rajin menggunakannya setiap hari. Terdapat pelbagai jenis serum di pasaran, ada yang khusus untuk memperlahankan proses penuaan wajah, mencerah dan melembapkan kulit wajah. Tipnya, anda harus tahu apa yang kulit anda perlukan. Sebagai contoh, jika kulit anda kering, maka solusinya adalah mencari produk yang hebat untuk mengembalikan kelembapan pada kulit wajah.

Cuba: Kiehl’s Powerful Strength Line Reducing Concentrating Serum, RM299

TOPENG WAJAH 

Inilah masanya untuk anda belai kulit. Apatah lagi, anda banyak masa terluang dan tidak terkejar-kejar dengan rutin harian seperti sebelum ini. Sebelum tidur, luangkan masa selama 20 minit untuk pakai topeng wajah. Ini boleh mengembalikan kesegaran dan kelembapan kulit wajah anda. Tipnya:

  1. Anda boleh sejukkan dulu topeng wajah sebelum guna dengan meletakkannya sebentar di dalam peti sejuk. Lebih dingin, dan best!
  2. Boleh juga pakai pada siang hari, ketika anda sedang buat kerja atau sambil-sambil tengah layan drama Korea!

Cuba: Dr. Jart+ Dermask Vital Hydra Solution Facial  Mask, RM95

Ini adalah empat rejim penjagaan wajah yang anda harus guna secara konsisten untuk keserian dan lembapan kulit wajah sepanjang hari. Cubalah!