#COVID19: USAH TERJEBAK SEBAR BERITA PALSU!

Tak pasal anda pula kena tangkap!

Jangan sesekali kongsikannya, jika tidak pasti kesahihannya.

Dengan perkembangan teknologi yang semakin canggih sekarang ini, ramai daripada anda mudah terjebak dengan penyebaran berita palsu di laman media sosial khususnya mengenai penularan Covid-19 yang berlaku sekarang. Keadaan menjadi lebih teruk lagi apabila berita tersebut membabitkan beberapa pihak yang berkepentingan.

Hal ini bukan sahaja menjejaskan pihak tersebut, malah turut memberi kesan kepada keamanan dan keharmonian sejagat.

Sekiranya penyebaran ini terus berleluasa, maka tindakan undang-undang akan dikenakan kepada anda di bawah Seksyen Akta 233 Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Berikut merupakan penafian dan penjelasan tentang berita yang tular di laman media sosial.

  1. PDRM menafikan dakwaan ia telah mengeluarkan perintah berkurung dari jam 6.00 petang hingga 7.00 pagi dengan arahan tangkap terhadap sesiapa yang melanggar arahan tersebut. PDRM meminta orang ramai mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
  2. KKM menafikan bahawa kawasan Batu Pahat diisytihar sebagai Zon Merah Covid-19.
  3. DBKL menafikan ada mengeluarkan poster memohon sumbangan barangan asas untuk penghuni Perumahan Awam (PA) dan penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR).
  4. Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang menafikan dakwaan seorang lelaki positif Covid-19 telah melarikan diri dari Hospital Pulau Pinang.
  5. Pihak Public Health Malaysia menafikan dakwaan bahawa dengan meminum rebusan daun Semambu boleh memulihkan keadaan mereka yang mempunyai simpton Covid-19 seperti demam, sakit tekak dan sesak nafas.
  6. KKM menafikan ada mengiklankan kerja kosong bagi Pembantu Perawatan Kesihatan Gred U11 di portal Kerjakosong.co.
  7. KKM menafikan mengeluarkan sebarang S.O.P Pembelian Barangan Keperluan Harian bagi Musim Covid-19.
  8. Pihak Hospital Kluang menafikan fasiliti hospital lama digunakan bagi menempatkan pesakit-pesakit bukan Covid-19 dari Hospital Kluang yang baharu.
  9. Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor menafikan keadaan wabak Covid-19 di Kuala Selangor semakin parah seperti didakwa oleh satu kenyataan yang dikeluarkan di Mukim Tanjong Karang.
  10. KKM menafikan pelajar tahfiz bakal menjadi cluster baharu Covid-19 selepes Kluster Tabligh.
  11. Pos Malaysia menafikan seorang pekerjanya positif Covid-19.
  12. KKM menafikan mengeluarkan senarai semak simpton-simpton Covid-19 walaupun senarai senarai semak itu menggunakan logo KKM.
  13. KLN menafikan dakwaan bahawa rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari India menaiki pesawat hanya terdiri daripada ahli MIC sahaja. KLN memaklumkan akan terus berusaha membawa balik rakyat Malaysia yang masih terkandas di India.
  14. Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan dakwaan bahawa Hospital Permai memohon bantuan/sumbangan bekalan untuk ‘Protection Clothing’ atau Personal Protective Equipment (PPE) dan melantik agen untuk menguruskan pembelian.
  15. Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking menafikan berita bahawa Ketua Menteri Sabah, Timbalan Ketua Menteri dan Ahli Parlimen dari Parti Warisan dikuarantin kerana bergaul dengan pemimpin DAP yang positif Covid-19.
  16. MKN menafikan berita dalam 4 nota suara yang mendakwa darurat akan diisytiharkan.
  17. PDRM menjelaskan berita melalui nota suara yang mengatakan mayat dalam kereta Myvi di R&R Hulu Bernam arah utara di Kuala Kubu Baru merupakan mangsa wabak Covid-19 adalah tidak benar.
  18. PDRM menjelaskan klip video yang menunjukkan sepasukan anggota polis menangkap seorang lelaki yang disyaki positif Covid-19 dengan menggunakan pistol perenjat elektrik hanyalah latihan PDRM.
  19. PDRM menafikan dakwaan empat orang lelaki India positif Covid-19 lari dari Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang.
  20. Pihak Hospital Dungun menafikan kesemua staf hospital tersebut telah dikuarantin. Walaupun terdapat kes positif Covid-19 di hospital tersebut, arahan kuarantin tidak melibatkan kesemua staf seperti yang didakwa.
  21. KKM menafikan bahawa hilang selera makan dan hilang deria bau antara simpton baharu Covid-19 yang dikesan.
  22. Pejabat Menteri Besar Selangor menafikan dakwaan beberapa lokasi panas wabak Covid-19 meliputi kawasan Sungai Lui, Sungai Ramal Dalam, Sungai Merab dan Jalan Kebun yang kononnya dikeluarkan oleh MKN Selangor.
  23. PDRM menafikan dakwaan:
  1. Saman RM300 jika menaiki kereta lebih daripada seorang; dan
  2. Saman RM200 jika tidak memakai penutup mulut dan hidung (mask).

 

Justeru, bagi mengurangkan atau mengelakkan berita palsu itu daripada terus menular di laman media sosial, Jelita ingin menegaskan kepada anda supaya melakukan tiga langkah ini.

  1. Semak kebenaran sesuatu berita yang ingin dikongsi di laman https://sebenarnya.my/.
  2. Sahkan sesuatu berita itu dengan bertanya kepada orang yang lebih layak seperti pihak berkuasa.
  3. Sentiasa berfikir dan bertanggungjawab terhadap apa jua berita yang dikongsi.

Maka, bertindaklah sekarang demi kepentingan bersama!

Sumber: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)

Sumber gambar: Freepik