#Covid19: Makanan Sihat Untuk Imunisasi Badan dan Kecantikan Kulit

Ini bagus untuk badan dan kulit anda!

Selain daripada mengutamakan soal kebersihan terutamanya penjagaan tangan, menguatkan sistem pertahanan diri atau imunisasi amat penting sebagai langkah berjaga-jaga bagi menghadapi wabak Covid-19.

Menjaga kesihatan sangat penting apatah lagi di dalam situasi sekarang ini. Amalkan pemakanan yang sihat, ia bukan sahaja boleh menguatkan sistem imunisasi badan malah boleh mencegah anda daripada mudah jatuh sakit.

Jelita kongsi  beberapa makanan superfoods  yang anda boleh beli untuk kesihatan tubuh dan juga bagus untuk kecantikan kulit. Manfaatnya berganda, untuk kesihatan dan kecantikan.

SITRUS 

Banyakkan pengambilan buah-buahan sitrus kerana ia kaya dengan kandungan Vitamin C yang membantu meningkatkan penghasilan sel darah putih yang berfungsi untuk melawan sebarang jangkitan. Bukan itu sahaja, Vitamin C juga boleh membantu melembap dan mencerahkan kulit. Antara buah yang tergolong di dalam kategori sitrus ialah oren, limau gedang, tangerine dan lemon.

LADA BENGGALA

Ia mengandungi dua kali ganda kandungan Vitamin C berbanding sitrus. Ia juga kaya dengan beta karotena, yang bukan sahaja menguatkan imunisasi badan malah mengekalkan kecantikan dan kesihatan kulit terutamanya untuk merawat mata.

HALIA 

Halia banyak digunakan di dalam bahan masakan anda. Mempunyai rasa yang tajam dan hangat. Halia dikatakan mampu mengurangkan inflamasi atau sakit-sakit seperti sakit tekak dan rasa mual.

BADAM

Jika anda terasa ingin mengunyah, apa kata kunyah snek sihat iaitu badam. Ia juga kaya dengan kandungan Vitamin E dan Vitamin C. Dari segi kecantikan kulit pula, ia mampu mengurangkan proses penuaan wajah dan mengurangkan iritasi.

YOGURT 

Sebaiknya mulakan sarapan dengan yogurt. Ia mengandungi Vitamin D, bagus untuk mengawal imunisasi badan dan pertahanan badan bagi mencengah daripada sebarang penyakit. Ia juga banyak manfaatnya untuk penjagaan kulit wajah antaranya melembap, merawat jerawat dan membuang sel kulit mati.

Antara tip lain yang anda boleh amalkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan ini untuk meningkatkan imunisasi badan adalah:

  • Pastikan tidur mencukupi. Walaupun mungkin ada antara kita yang akan terlebih tidur, sebaiknya cuba ikut rutin yang anda amalkan sebelum ini iaitu bangun awal pagi dan tidur awal.
  • Senaman ringkas perlu untuk memastikan badan anda sentiasa cergas dan tidak lemau. Walaupun anda tidak dibenarkan untuk ke gimnasium dan taman, anda masih boleh melakukan senaman di dalam rumah. Tidak perlu lama, cukup 15 minit setiap hari, jika anda amalkan setiap hari, pasti anda dapat melihat kesannya.