#Covid19: Cara Kekal Positif, Masa Untuk Refleksi Diri

Dua ibu ahli kecergasan kongsi pengalaman dan pandangan.

Menghampiri minggu ketiga rakyat Malaysia menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mungkin ada yang mampu menyesuaikan diri.

Imej: Freepik.com

Namun, ada juga yang sukar menerima rutin terperuk di rumah sepanjang hari. Justeru, Jelita mendapatkan pandangan Tahira Najmunisaa Muhammad Zaid, 31, dan Karen Siah, 34, keduanya adalah jurulatih kecergasan Garmin Squad untuk kongsikan cara kekal positif dan aktif walaupun duduk di rumah.

Tahira sebelum ini pernah menyertai beberapa pertandingan larian manakala Karen seorang triathlete yang meraih banyak pencapaian. Selain itu, kedua-dua wanita berinspirasi ini juga seorang ibu.

Ikuti soal jawab Jelita bersama mereka:

Bagaimana hendak kekal positif (dan waras) di kala PKP?

Karen: Sepanjang PKP ini, semua orang akan berada di rumah dan biasalah, akan terasa sedikit kecewa selepas beberapa ketika kerana ruang peribadi berkurangan (ya, walaupun bersama ahli keluarga sendiri), dan kurang pula dapat keluar mendapatkan udara segar dan cahaya matahari.

Karen Siah

Tetapi, memberi fokus pada diri sendiri dan memastikan orang tersayang rasa selamat dan sihat mengikut kemampuan diri adalah penting. Saya cuba ambil ini sebagai peluang untuk merapatkan hubungan dengan keluarga dan cuba miliki hobi baru yang sudah lama anda teringin buat, tetapi tak berkesempatan.

Selain itu, makan hidangan sihat, tidur cukup dan amalkan senaman harian agar kekal cergas. Saya gunakan Garmin Fenix 5S bersama aplikasi Garmin Connect bila bersenam setiap hari. Ia akan berhubung dengan jam tangan Garmin untuk memantau senaman harian supaya saya boleh perbaiki kecergasan diri dan cuba pertingkatkan cabaran mingguan. Semua ini akan buat hormon gembira iaitu endorfin mengalir dalam tubuh.

Tahira: Saya rasa, anda perlu kekal relaks dan bertenang, peka yang kita semua perlu memainkan peranan dalam keadaan sekarang. Lebih baik selamat daripada menyesal kemudian hari. Bersenam dan kekal cergas akan bantu kurangkan tekanan dan buat anda rasa lebih bagus.

Jenis aktiviti aktif yang anda dan keluarga (terutama anak) boleh buat bersama?

Karen: Ramai influencer kongsikan video di media sosial bila mereka melakukan senaman di rumah, jadi ia antara cara bagus untuk anda seisi keluarga lakukannya bersama. Saya juga ada kongsikan live videos, senaman di rumah menerusi Instagram @Karensiahfitnesscoach, malah saya bersenam dengan anak kecil! Jika masanya tak sesuai, ada banyak video Youtube yang anda boleh ikuti. Jika rumah anda dua tingkat, gunakan tangga sebagai alat senaman.

Tahira Najmunisaa

Tahira: Saya akan pasang muzik, dan mulakan timer pada jam Garmin selama 30 minit dan mula lakukan lompat bintang, high knees takpun menari mengikut rentak bersama keluarga. Kami akan ketawa dan jadi ‘gila-gila’ sambil berseronok. Kami juga akan lakukan aktiviti mudah seperti flutter kicks, squats, malah saya akan cabar mereka lakukan planking!

Makanan perlu elak bila PKP? Ramai yang sukar berhenti makan!

Tahira: Sudah tentu yang tinggi kandungan gula kerana ia akan buat anda rasa tak senang duduk dan buat anak pula, mereka jadi hyper. Penting untuk anda makan secara sihat kerana pada masa ini, anda perlu kekal sihat supaya tubuh boleh melawan apa jua jenis virus. Lagi satu sebab untuk makan secara sihat, supaya tubuh boleh membersih dan mendetoks dengan baik kerana anda kurang bergerak dan kurang menggunakan tenaga.

Karen: Saya pun suka makan, sama seperti rakyat Malaysia yang lain! Tetapi saya rasa, PKP adalah masa sesuai untuk teroka skil kulinari dan memasak. Inilah cara paling senang nak kekal sihat, kerana anda akan kawal apa yang anda makan. Lagipun, makanan yang ‘berdosa’ biasanya kaya rasa dan mahal atau susah disiapkan, jadi anda boleh masak hidangan sihat dan lebih mudah. Walaupun ada banyak pilihan tapau dan penghantaran, jika dikira balik ianya akan jadi mahal. Jadi saya galakkan anda cuba masak sendiri.

Cara hentikan rasa ‘mengidam?’ (Manalah tahu asyik teringat makanan segera!)

Tahira: Makan buah boleh singkir rasa ‘mengidam’ dan kudap makanan ringan boleh dilakukan secara sederhana dengan mengawal diri. Minum kopi dan teh juga membantu. Saya akan kira kalori sasaran untuk dibakar menggunakan Garmin Forerunner 945, jika saya terlebih makan. Jadi tidaklah rasa terlalu teruk selepas itu.

Karen: Cuba lukis jadual dan isikan dengan aktiviti senaman juga menu minggu itu supaya anda boleh kawal rutin. Kena disiplin diri dan ajak keluarga pun ikut sama. Timbang tubuh sebelum dan selepas PKP dan lihat jika anda makin fit dan telah turun beberapa kilogram.

Adakah tubuh yang aktif akan bantu tubuh melawan kemungkinan jangkitan Covid-19?

Karen: Saya bukan pakar perihal ini tetapi apa yang saya faham, tubuh dan sistem imunisasi yang sihat boleh membantu badan bebas daripada kesakitan (selesema, batuk…) jadi peluang untuk melawan Covid-19 mungkin lebih bagus.

Tahira: Saya percaya akannya, kerana kekal aktif akan membina sistem imunisasi lebih kuat. Anda bukan saja akan jadi lebih cergas dan sihat tetapi secara emosinya, anda akan rasa lebih seimbang dan lebih mampu mengawal fikiran dan perasaan yang memainkan peranan penting bila perlu melawan apa jua jenis penyakit dalam jangka masa panjang.

Baca juga: 8 Cara Mudah Untuk Anda Kurangkan Stres Di Rumah