Cara Latih Anak Tidur Awal Pada Waktu Malam

Masalah bangun pagi sering berlaku kepada anak apabila bercuti sekolah terlalu lama

Teks: Fara Adilla 

Rutin tidur anak pasti berubah apabila tiba waktu cuti panjang. Namun, jika ia dibiarkan berterusan ia akan mengganggu jadual tidur apabila tiba masa untuk bersekolah semula. Pasti bukan mudah untuk ibu bapa mengembalikan rutin tidur anak anda kepada yang asal. Menurut Reut Gruber, Penyelidik di Universiti McGill Kanada, tidur awal dapat memberi manfaat kepada kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak kerana ia adalah waktu untuk merehatkan otak dan badan. Selain itu, minda menjadi lebih berkembang!

Kajian yang dilakukan oleh Institut Kebangsaan Kesihatan Kanak-kanak dan Pembangunan Manusia Amerika (NICHD) menunjukkan bahawa kanak-kanak yang tidur awal mempunyai lebih banyak rehat dan tidak mengalami masalah tidur seperti bangun di tengah malam atau susah untuk tidur. Jadi adalah penting untuk mereka mempunyai tidur yang cukup untuk meningkatkan prestasi dan perkembangan minda di sekolah. Berikut adalah tiga panduan untuk anda:

  1. Kembali Kepada Rutin

Apabila waktu cuti sudah hampir tamat, ibu bapa perlu menggalakan anak untuk kembalikan rutin tidur awal seperti hari persekolahan. Mulakan dua minggu sebelum sekolah bermula seperti memberus gigi sebelum tidur dan sudah berada di bilik tidur masing-masing sebelum jam 10 malam.

  1. Alihkan Sebarang Teknologi (Termasuk Telefon Pintar)

Ini adalah perkara utama yang perlu dilaksanakan. Jangan benarkan mereka memegang sebarang teknologi apabila sudah tiba waktu malam termasuk bermain permainan di telefon pintar. Televisyen juga perlu dipadam sebelum jam 10 malam. Jadi, pastikan anda mengalihkan segala gangguan yang boleh menyebabkan mereka terjaga.

  1. Anda Sendiri Tidur Awal

Sebagai ibu bapa, anda adalah individu yang paling dekat dengan anak. Jadi mereka akan perhatikan dan mengikut tingkah laku ibu bapa. Tidak salah jika anda sendiri menunjukkan contoh dan tidur awal. Ia akan memberi lebih banyak kebaikan kerana kajian menunjukkan mereka yang tidur awal tidak akan menghidapi kemurungan atau cenderung memikirkan tentang bunuh diri.

WAKTU TIDUR CUKUP

Akademi Perubatan Tidur di Amerika (AASM) mendedahkan jumlah tidur yang mencukupi untuk kanak-kanak:

  • Bayi (empat hingga 12 bulan) perlu tidur sebanyak 12 hingga 16 jam.
  • Kanak-kanak (satu hingga dua tahun) perlu 11 hingga 14 jam.
  • Kanak-kanak (tiga hingga lima tahun) perlu 10 hingga 13 jam.
  • Kanak-kanak (enam hingga 12 tahun) perlu sembilan hingga 12 jam.
  • Remaja (13 hingga 18 tahun) perlu lapan hingga 10 jam.

Baca juga: Tip Jaga Diri Dalaman Dan Luaran

Sumber gambar utama: Shutterstock