Bina Dan Kuatkan Otot Dengan Rawatan Emsculpt

Rawatan emsculpt ini tidak menyakitkan dan sangat cepat!

Semua wanita ingin memiliki bentuk badan idaman. Namun, ia bukanlah sesuatu yang mudah, kerana ramai wanita di luar sana yang tidak mempunyai masa untuk diluangkan di gimnasium disebabkan kekangan waktu dan tuntutan kerja.

Bentuk badan idaman di dalam erti kata lainnya bukanlah semata-mata kurus dan langsing, tetapi juga tidak menggeleber dan yang penting kelihatan fit dan cergas. Untuk itu, anda boleh cuba satu rawatan alternatif yang kian popular malah selebriti terkenal seperti Kim Kardashian juga turut menggunakannya, iaitu rawatan Emsculpt.

Apakah itu Emsculpt? Jelita berpeluang menemu bual Dr Anjalee Mohandas Nair, Cosmetic Dermatologist di Lyfe Clinic, Damansara Intan dan mencuba sendiri rawatan Emsculpt.

Apakah itu Emsculpt dan bagaimana ia berfungsi?

Emsculpt ialah satu rawatan alternatif yang berfungsi untuk membina otot dan membakar lemak secara serentak melalui tenaga intensif yang bertumpu tinggi menggunakan stimulasi elektromagnetik dengan kontraksi otot supramaximal. Setiap satu sesi rawatan ini hanya mengambil masa selama 30 minit dan ia akan memberikan kontraksi pada otot anda sehingga 20,000 kali. Bayangkan jika anda melakukan push up sendiri, betapa besar dan kuatnya tenaga yang harus diletak untuk melakukannya. Namun, dengan rawatan ini, ia seperti ‘ada mesin yang lakukan untuk anda, tanpa anda mengeluarkan tenaga yang banyak, dan memberikan impak yang lebih berkesan serta cepat.’ Rawatan Emsculpt diluluskan oleh FDA (Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan, Amerika Syarikat).

Siapakah yang boleh mencubanya? 

Ia sesuai untuk lelaki dan wanita yang ingin membakar lemak dan menguatkan otot badan. Selain itu, ia juga sesuai untuk anda yang mencari solusi selamat  tanpa melakukan pembedahan merbahaya. Namun, ingin saya jelaskan, rawatan ini akan lagi berkesan buat anda yang mengamalkan gaya hidup sihat dan seimbang iaitu rajin melakukan senaman dan makan secara sihat. Dan diingatkan, rawatan Emsculpt ini bukanlah  rawatan khusus untuk menguruskan badan.

Adakah ia menyakitkan? 

Tidak, ia hanya terasa seperti ada  seseorang yang sedang mengetuk bahagian perut anda.

Reviu oleh Penulis Jelita:

Sesi dimulakan dengan pembantu klinik  mengambil gambar pada bahagian badan yang ingin dilakukan rawatan. Seperti saya, rawatan dilakukan pada bahagian perut. Gambar diambil dari semua sudut, sehingga 360 darjah. Selepas selesai, pembantu klinik meminta saya berbaring, pastikan kedudukan dan posisi di dalam keadaaan selesa. Seterusnya, doktor memasang kelengkapan mesin pada bahagian perut. Selepas semuanya tersedia, doktor akan mengawal mod dan kadar pada mesin mengikut masa yang telah ditetapkan.

Pada tahap pertama, mod dan kadar ‘tarikan’ atau kontraksi tidaklah terlalu kuat. Namun ia semakin kuat apabila mod dinaikkan dan pada masa ini anda mungkin akan terasa sedikit tidak selesa akibat otot yang telah meregang dan ditarik. Dan ini berterusan selama 30 minit. Selepas rawatan, saya merasakan ia adalah satu rawatan alternatif yang boleh dicuba bagi anda yang ingin membina dan menguatkan otot badan agar bentuk tubuh kelihatan lebih fit dan kemas.