Bebas Plastik Menjelang 2023, The Food Purveyor Galakkan Guna Beg Eko

Setiap kali anda membawa beg eko, dapatkan ganjaran "terima kasih" 20 sen.

Tahukah anda, bumi kini sedang menghadapi ancaman serius daripada sisa yang disebabkan oleh penggunaan plastik yang tidak terkawal. Pada masa ini, dunia telah menghasilkan 300 juta tan plastik setiap tahun yang bersamaan dengan berat keseluruhan populasi manusia. Lebih parah, Malaysia menduduki tempat kelapan di antara 10 negara terburuk di dunia yang menghasilkan 0.95 juta tan sisa plastik yang tidak diuruskan dengan baik.

Menyedari ancaman plastik untuk kegunaan tunggal kepada alam sekitar, The Food Purveyor (TFP), syarikat yang menguruskan Village Grocer dan Ben’s Grocer Independent (BIG) telah mengambil langkah proaktif dengan mensasarkan untuk menghentikan penggunaan plastik tunggal pada akhir tahun 2023.

Pada tahun 2019, TFP telah memberi kepada pelanggan lebih empat juta beg plastik, 13 juta keping pembungkus plastik untuk barangan segar dan enam juta dulang plastik untuk ikan dan daging. Syarikat mengakui bahawa tindakan ini telah menyumbang kepada masalah semasa dan komited untuk menghapuskan plastik kegunaan tunggal di kedai bawah naungan syarikat tersebut. Melalui komitmen bebas penggunaan beg plastik pada tahun 2023, syarikat tersebut mahu menjadi pemangkin dalam menggalakkan pembekal dan pelanggan untuk menyertai usaha penggunaan bungkusan yang boleh dikitar semula di seluruh Malaysia.

Hari ini, kedua Village Grocer dan B.I.G melancarkan beg eko pelbagai guna bersama dengan ganjaran 20 sen tanda “terima kasih” kepada pelanggan setiap kali mereka membawa beg eko untuk mengisi pembelian mereka. Ganjaran ini dibayar dalam bentuk 20 mata daripada program kesetiaan BITES. Pada masa yang sama, TFP akan menukarkan semua bungkusan roti ke kertas kitar semua, mengurangkan penggunaan plastik untuk buahan dan sayuran dan mencuba pembungkusan produk alternatif seperti daun pisang, kertas coklat dan kotak cardboard.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif The Food Purveyor, Geoff King, kelestarian alam sekitar adalah satu isu yang memberi kesan kepada semua orang anda sebagai sebuah syarikat besar, The Food Purveyor ingin memainkan peranan dengan mengambil langkah proaktif untuk memastikan penggunaan plastik tunggal dapat dihapuskan tanpa menjejaskan kualiti dan kesegaran produk daripada syarikat tersebut.

Sepanjang empat tahun akan datang, TFP akan membawa penyelesaian inovatif untuk menukar penggunaan plastik tunggal kepada pembungkusan yang lebih mesra alam sekitar. Seperti yang telah diterapkan oleh TFP dalam dekad baru ini, syarikat itu mempunyai rancangan untuk memperkenalkan lebih banyak barangan mesra alam ke dalam kedainya seperti penyedut minuman yang boleh digunakan semula, tumbler dan beg mesh yang boleh digunakan semula.

Syarikat itu juga merancang untuk secara aktif memudahkan usaha untuk melestarikan alam sekitar seperti kitar semula dan proses pengomposan. TFP akan menonjolkan penyelesaian mesra alam ini kepada pelanggan menggunakan logo promosi berikut.

Menerusi misi untuk menghentikan penggunaan plastik menjelang tahun 2023, TFP menyokong sepenuhnya dan turut terlibat secara aktif dalam pelan hala tuju negara yang ditetapkan oleh kerajaan ke arah penggunaan sifar plastik menjelang tahun 2030.