Band & Artis Gempak untuk Festival Rockaway 2020!

Senarai penuh band gempak dan bertenaga.

Perayaan rock terbesar, Rockaway Fest 2020 mengumumkan barisan lengkap festival tersebut dengan nama besar kumpulan antarabangsa, legenda tempatan serta band baru yang sedang mencipta nama. Festival rock legenda ini telah mengetengahkan 51,000 rockers, 92 artis, 11 persembahan dan lima festival sepanjang sepuluh tahun yang lalu. Festival muzik terbesar di Malaysia ini kembali dengan beberapa tambahan menarik dan akan berlangsung pada 14 hingga 15 Mac 2020 di kawasan letak kereta B, Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kumpulan heavy metal dari Jepun, Crossfaith menjadi antara barisan awal yang diumumkan sebagai ‘headliners’ untuk festival ini. Kumpulan ini memang terkenal sebagai persembahan live mereka yang bertenaga dengan gabungan progresif dan metal ekstrem. Group rock dari Amerika, Atreyu akan membuat persembahan bertenaga dengan gabungan vokal unik serta dentuman dram yang akan menghangatkan genre metalcore khas.

Juga tidak dilupakan karnival dua hari yang disediakan di Rockaway 2020:

Zon Gem-Park tambahan terbaru kepada Rockaway 2020 – Memberi peluang kepada peniaga mengetengahkan produk mereka. Selain itu, pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai pilihan makanan di gerai yang mengambil bahagian. Zon Gem-Park akan dibuka kepada orang ramai secara percuma selama dua hari.

Zon Rockaway Live – Bermula pada jam 2 petang pada 15 Mac 2020 dengan penampilan pemuzik tempatan, diikuti persembahan artis luar negara yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

Semenjak penganjuran pertama pada 2009, Rockaway sentiasa mengutamakan barisan artis rock tempatan. Sebelum ini, fasa pertama ‘line up’ ini telah diumumkan bermula dengan band rock Australia, Hands Like Houses, yang bakal mengegarkan pentas utama buat pertama kali di Asia. Dengan penjualan rekod melebihi 150,000 di seluruh dunia, lebih 15 siri jelajah muzik di America Syarikat dan 10 jelajah di UK, lagu Hand Like Houses yang berakarkan post-hardcore dengan dipengaruhi oleh R&B telah menyuntikkan versi baru rock’n’roll untuk industri muzik.

Seterusnya bakal menampilkan persembahan daripada band yang tidak asing bagi peminat muzik tanah air. Hujan, bakal hadir dengan kompilasi lagu hit yang terdiri daripada koleksi album terdahulu dan juga album terbaru mereka.

Band seterusnya ini, baharu sahaja menyambut ulang tahun ke-10 mereka. Pernah menjadi band pembuka untuk Death Cab For Cutie dan The Smashing Pumpkins, persembahan Kyoto Protocol juga tidak patut dilepaskan. Tidak ketinggalan, pentas utama akan digegarkan dengan persembahan rock gabungan gitaris legenda yang pernah menyertai kumpulan Search dan Cromok, Hillary Ang bersama Mad August, AIM Chinese Award Winner, yang juga telah menyambut ulang tahun ke-8 mereka pada tahun ini.

Masih utuh mencipta nama dalam industri muzik selama 40 tahun, Datuk M Nasir adalah sebuah nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Datuk M. Nasir bakal menggamatkan lagi pentas dengan persembahan lagu popular beliau yang menjadi siulan ramai. Turut menggegarkan pentas kali ini adalah persembahan daripada kugiran Masdo, Project E.A.R, Toko Kilat dan kumpulan XPDC.

Kemeriahan festival rock terbesar Malaysia ini tidak hanya terhenti di sini, lebih banyak lagi persembahan daripada nama besar termasuk artis antarabangsa akan diumumkan menjelang festival.