Adab Mengunjungi Kenduri Kahwin

Elak jatuhkan air muka sendiri.

Jemputan kenduri kahwin kian rancak saban minggu sebelum menjelang bulan puasa. Kenduri kahwin memang mengujakan kerana lauk pauk atau menu di tempat kenduri sudah semestinya enak dan mempunyai keistimewaan tersendiri. Lebih menggembirakan, sudahlah dapat makan, tuan rumah menyediakan pula buah tangan untuk dibawa pulang. Seronok bukan?

Sumber gambar: 123RF

Namun, bukan buah tangan yang kita burui, apa yang penting menghargai jemputan tuan rumah demi memeriahkan keriangan mereka yang menerima menantu selain meraikan pasangan pengantin itu sendiri. Jadi apabila dijemput, elok kiranya anda hadir sebagai menghargai jemputan.

Antara tiga perkara penting yang perlu diberi penekanan ialah berpada-pada bila makan, fikirkan orang lain juga dan berbuat baiklah pada tuan rumah.

1. Ambil makanan yang anda mahu makan saja

Kini sudah menjadi kebiasaan apabila kenduri kahwin, tuan rumah mempraktikkan hidangan buffet dan tetamu bebas mengambil makanan yang disediakan. Ada yang mencedok sehingga pinggan penuh dengan makanan dan ada juga sekadar sesenduk nasi dan lauk menimbun. Selera masing-masing, tidak salah mengambil makanan dalam jumlah yang banyak sekiranya anda mampu menghabiskannya. Namun, apa yang sering berlaku ialah ada yang menunjukkan sikap tamak dengan mengambil hidangan dalam jumlah yang banyak dan penyudahnya, makanan bersisa di dalam pinggan. Tidak ada siapa yang akan menolong anda menghabiskan makanan berkenaan. Akhirnya ia dibuang dan pembaziran berlaku. Sedangkan ramai lagi yang tidak berpeluang menikmati hidangan mewah di kenduri itu. Lagipun, agama melarang umatnya melakukan pembaziran.

2. Ingat orang di belakang anda

Lazim juga tempat kenduri menjadi medan pertemuan sahabat mahupun rakan lama. Jadi, sambil makan sambil bercerita kisah lama dan berlarutan satu kisah kepada satu kisah lain. Mungkin disebabkan ralit bercerita, anda tidak sedar ada tetamu baru tiba dan meninjau ruang kosong di meja hidangan untuk duduk dan mengambil makanan mereka. Sekiranya anda selesai makan, beredarlah demi memberi peluang kepada tetamu lain untuk duduk dan makan. Mungkin sikap baik begini akan menjadi ikutan di kalangan tetamu lain. Malah tidak mustahil sikap mulia begini akan membuatkan anda lebih dihormati.

3. Berbuat baik dengan tuan rumah dan tetamu

Apabila tiba di majlis kahwin, anda sepatutnya berjumpa dahulu tuan rumah untuk mengucapkan tahniah dan bertanya khabar. Elakkan daripada meluru masuk ke dalam majlis terus ke tempat menjamu selera. Pastikan niat anda mengunjungi kenduri kahwin itu ikhlas serta untuk memenuhi jemputan, malah hukum menghadiri jemputan majlis kahwin juga adalah wajib dalam Islam. Selain itu, jaga percakapan anda ketika di majlis tersebut, hindari daripada berkata yang tidak baik mengenai majlis. Jaga perasaan tuan rumah dan tetamu yang lain.

Ingat satu perkara, jika anda memudahkan kerja atau urusan orang lain, banyak kebaikan yang akan datang kepada anda!

Lihat juga: Ajar Si Kecil Beradab Bila Berkunjungan