Kereta Tersekat Dalam Banjir Kilat, Ini Tip Yang Boleh Anda Cuba

Berhati-hati memandu ketika banjir

Memandu dalam cuaca hujan lebat memang menakutkan kerana selain daripada menyebabkan kesesakan jalan raya, ia juga boleh menjejaskan tahap penglihatan pemandu. Lebih parah lagi, jika memandu dalam kawasan bandar besar yang berpotensi untuk mengalami banjir kilat dalam masa kurang sejam.

Gambar: Depositphotos

Jika cuaca menjadi semakin teruk, anda disarankan untuk berhenti di kawasan yang selamat namun jika anda tersekat dalam banjir kilat, ini tip yang boleh anda cuba. Selamat memandu!

1. Elakkan daripada meredah banjir jika anda tidak pasti kedalaman air. Jadikan kaki lima, pembahagi jalan dan papan tanda di tepi jalan sebagai petunjuk anda.

2. Pastikan anda lalui jalan yang lebih tinggi.

3. Jika anda memandu menggunakan kereta manual, elakkan daripada menukar gear ketika meredah banjir. Bagi yang memandu kereta auto, rendahkan gear ke D atau satu tahap di bawah D. Gunakan gear rendah pada kelajuan yang tetap dan jangan lepaskan minyak. Letakkan pada gear D selepas anda berjaya meredah banjir.

4. Jangan panik dan cuba memandu laju. Ini kerana tayar akan hilang cengkaman dan boleh menyebabkan aquaplaning, situasi di mana tayar kenderaan tidak jejak permukaan jalan kerana terdapat lapisan air di antara kedua-duanya.

5. Jika terjadi aquaplanning, pegang kuat stereng kereta dan lepaskan pedal minyak sehingga tayar capai permukaan jalan raya.

6. Jangan memandu melepasi air atau banjir yang sedang mengalir laju. Anda mungkin berisiko untuk diseret air.

7. Pandu dalam jarak yang selamat dengan kenderaan di hadapan.

8. Selepas berjaya mengharungi banjir, uji brek terlebih dahulu. Tekan brek sampai anda yakin bahawa brek itu berfungsi dengan baik. Selepas itu, pegang stereng kereta dengan kuat dan tekan brek perlahan-lahan untuk beberapa kali dengan tujuan untuk mengeringkan brek anda.

9. Jika enjin kereta mati, jangan cuba untuk menghidupkan semula enjin kerana kerosakan teruk boleh berlaku. Cuba minta bantuan pihak insurans untuk menghantar trak tunda atau hubungi pihak yang bertanggungjawab.

10. Jika kereta sudah dikelilingi air, tinggalkan kereta dan terus ke tempat yang lebih tinggi untuk menyelamatkan nyawa anda.