Vivy Yusof & Fadza Anuar Bantu Kutip Dana Covid-19

Anda juga boleh ringankan beban sistem kesihatan negara.

Enggan duduk diam, pemilik FashionValet ini usaha gunakan pengaruh untuk kutip dana bagi membantu meringankan keperluan sistem kesihatan negara.

Menerusi Islamic Medical Association of Malaysia Response & Relief Team (Imaret), Vivy bersama suaminya, Fadza sejak awal minggu ini menerusi akaun Instagram mengajak rakyat Malaysia untuk menghulurkan bantuan.

“Bagaimana kami mampu mendiamkan diri di rumah sementara kakitangan hospital terpaksa bekerja shif berganda dan lebih masa untuk menjaga pesakit yang dijangkiti yang jumlahnya makin lama, makin bertambah. Inilah masanya untuk anda semua lakukan sesuatu,” kata Vivy.

Menerusi kempen FV Covid19 Support Fund ini, anda boleh menyalurkan derma, ataupun sama-sama menyebarkan berita mengenainya bagi meningkatkan usaha untuk menambah jumlah dana.

Selain itu, Vivy dan Fadza sendiri secara peribadi telah menyalurkan derma sejumlah RM100,000 untuk kempen ini. Dana yang diraih akan digunakan untuk:

  1. Menghantar sukarelawan bagi membantu tugasan di kemudahan kesihatan.
  2. Membantu rakan dan mereka di barisan depan yang dirawat atau dikuarantin.
  3. Menyalurkan bekalan perubatan dan keperluan am kepada hospital.

Jika anda berminat untuk hulurkan bantuan dan memainkan peranan, klik di sini.

Imaret adalah satu pasukan yang dikuasakan oleh Persatuan Perubatan Islam Malaysia (Imam) yang menawarkan bantuan kemanusiaan sebagai maklum balas kepada sebarang bencana semula jadi atau dilakukan manusia selain melakukan program outreach bagi komuniti yang memerlukan.

*Jika derma anda melebihi RM500, ia layak menerima pengecualian cukai.

 

BACA JUGA: Takut Keluar Rumah Tapi Hendak Beli Barang Keperluan? Ini Penyelesaiannya!