[Titik Hitam] Meringkuk Dalam Penjara Dek Sebat Anak Buah Hati

Tidak dapat mengawal marah, diri menerima padah buruk.

Hanya kerana marah yang tidak terkawal, *Nur Hamizah menjalani hukuman penjara 15 bulan selepas didapati bersalah mendera anak teman wanitanya. 

Di Sebalik Tirai Besi 
Sebagai orang luar, pengalaman dibenarkan memasuki kawasan penjara menjadi suatu ingatan yang tidak dapat dilupakan. Sebelum melangkah masuk, perasaan debar itu menguasai diri. Terpengaruh dengan fikiran biasa bahawa penjara itu adalah tempat yang menakutkan, semua itu rupanya tidak seperti yang dibayangkan. Dibawa masuk melawat sekitar Penjara Wanita Kajang dan melihat sendiri penghuninya telah mengubah persepsi selama ini yang bertapak di fikiran. Hakikatnya, penjara berkenaan dijaga dengan rapi dan sangat bersih. Melangkah masuk ke seksyen pendaftaran dan pemeriksaan, kemudian dibenarkan memasuki Blok C Penjara Wanita Kajang, kelihatan beberapa banduan wanita sedang mengelap tingkap, mengagihkan makanan dan ada juga sekumpulan banduan yang sedang khusyuk di dalam kelas. – Ayu Nadirah, Penulis Jelita

Hanya kerana satu kesilapan yang dilakukan, Nur Hamizah kini meringkuk di dalam Penjara Wanita Kajang selama 15 bulan atas kesalahan mendera. Sewaktu pertemuan ini, dia baru sebulan berada di penjara. Raut wajahnya tampak tenang dan bersahaja bila melangkah masuk ke bilik wawancara, tetapi separuh jalan penceritaan, air matanya tidak dapat diseka lagi. Ayuh dekati luahan hati banduan ini.

Pandangan Serong
“Saya seorang pengkid dan telah menjalin hubungan dengan seorang wanita selama tujuh tahun. Teman wanita saya itu mempunyai anak hasil hubungan sebelum ini dengan seorang lelaki, namun mereka sudah berpisah. Kini, kami sama-sama membesarkan anak yang berusia tujuh tahun itu. Saya dan kekasih adalah pengawal keselamatan di sebuah sekolah. Ramai pihak memandang serong terhadap kami dan beranggapan saya si pengkid ini tidak layak dan tidak mampu membesarkan dan mendidik anak itu dengan baik.

Detik Hitam Bermula
Akibat pandangan serong yang dilemparkan orang sekeliling kepada saya, saya mula berasa tertekan. Tambahan pula, anak itu memiliki rupa hampir seiras dengan bekas kekasih teman wanita saya. Apabila saya melihatnya, perasaan cemburu akan muncul serta-merta kerana teringatkan bekas kekasih teman wanita saya itu. Bila perasaan tertekan memuncak, saya akan menghisap dadah jenis syabu dan heroin, dengan harapan dapat melupakan masalah. Hinggalah satu hari anak itu berdegil dan tidak mahu ke sekolah dan entah kenapa saya jadi berang dengan tiba-tiba, apatah lagi saya memang jenis cepat baran. Tanpa sengaja, saya merotan anak tersebut sebelum memaksanya ke sekolah seperti biasa.

Perbuatan saya terbongkar apabila guru sekolah si anak terlihat bekas dirotan pada badannya, sewaktu sedang menukar pakaian untuk subjek pendidikan jasmani. Ternyata nasib tidak menyebelahi saya apabila anak itu telah menceritakan hal sebenar yang terjadi kepadanya. Sejurus selepas itu, polis menghubungi saya untuk memberikan keterangan, namun saya tidak berbuat apa-apa sehinggalah hari itu juga polis tiba ke rumah dan ingin membawa saya ke balai polis untuk disoal siasat.

Ketika di mahkamah, saya mengaku bersalah. Atas sebab itu saya dijatuhkan hukuman penjara selama 15 bulan. Bukan tak sayang, saya sayang dia. Saya sudah anggap anak itu seperti anak kandung saya sendiri. Tetapi, baran yang tidak dapat menahan amarah telah mengakibatkan saya terpisah daripada orang-orang yang saya sayang dan paling menyedihkan perlu pula meringkuk di dalam penjara. Ketika tamat perbicaraan di mahkamah, saya sempat menoleh melihat wajah anak yang turut hadir di situ. Dia seolah-olah sedih kerana kami terpaksa berpisah, namun saya berjanji padanya yang suatu hari nanti saya akan mengambilnya semula. Selepas kejadian, anak itu dijaga oleh keluarga angkat dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat demi memberikan dia peluang membesar dan mendapatkan pendidikan yang lebih sempurna.

Mahu Mulakan Hidup Baru
Biarpun baru sebulan di Penjara Wanita Kajang, banyak perkara baru dan berguna yang saya belajar di sini. Kekesalan atas kesilapan yang dilakukan memang tebal di dalam hati, namun nasi sudah menjadi bubur. Kalaulah saya mampu menahan marah… Jika saya tak membiarkan perasaan marah itu menguasai dan menghantui diri, sudah pasti tidak jadi sebegini. Tetapi perkara sudah berlaku.

Apa yang perlu saya lakukan buat masa ini adalah terus kuat melalui hari-hari mendatang. Saya sangat berharap agar saya dapat bersatu semula dengan teman wanita dan anaknya setelah saya keluar dari penjara kelak.”

*Bukan nama sebenar