[Titik Hitam] Mental Diasak Rakan Sekerja

Dia dibuli oleh rakan sekerja sehingga pengsan.

Perbuatan buli bukan sekadar di sekolah, malah ada berlaku di pejabat hingga mengganggu ketenteraman jiwa dan kesihatan sang mangsa.

Intro: Tidak terlalu dihebahkan berbanding buli di kalangan kanak-kanak dan remaja Malaysia tetapi hakikatnya, buli di kalangan dewasa lebih memakan hati terutama jika mangsa jenis lebih gemar berdiam diri atau hanya memutuskan untuk menukar kerja. Gejala ini mampu merebak bak api dalam sekam dan mungkin sukar dibendung. Itulah yang dilalui *Fauziah Razif, 29, yang pernah dibuli rakan sekerja di sebuah syarikat swasta di Selangor.

Fauziah mengimbau semula kejadian yang sudah hampir tiga tahun sudah berlalu namun dia masih belum mampu untuk melupakan perkara berkenaan. Tekanan yang dihadapi dirinya ketika itu hampir menyebabkan dia keguguran anak pertama.

Segalanya bermula apabila dia diterima bekerja di syarikat berkenaan di bahagian pentadbiran selepas tamat belajar. Ini antara impian setiap graduan untuk mendapat kerja sejurus habis belajar namun bukan semuanya indah belaka.

AMBIL KESEMPATAN

“Bulan pertama saya di tempat kerja semuanya berjalan seperti biasa, rakan sekerja masih belum menunjukkan belang mereka. Bulan kedua bekerja saya mula disuruh melakukan kerja yang bukan di bawah skop kerja. Pada mulanya, saya hanya menganggap suruhan mereka dan mendapat kerja yang banyak adalah perkara biasa, tetapi saya seperti orang suruhan kerana dipaksa menyiapkan kerja orang lain,” katanya.

Seorang daripada rakan sekerja mengambil kesempatan di atas kebaikan Fauziah. *Nina nama rakan sekerja berkenaan. Jawatannya sama seperti Fauziah tetapi dia telah berkhidmat lebih lama maka ketua jabatan meminta pertolongan Nina untuk membimbing Fauziah. Mulanya Nina melayannya dengan baik namun rupanya ada udang disebalik batu.

“Pernah satu hari Nina ada memberikan saya tiga fail kerjanya. Dia memberi alasan yang dia mahu pulang awal dan fail berkenaan perlu dihantar pada hari berkenaan juga. Saya hanya menurut kerana pada ketika itu saya masih baru dan membuatnya atas dasar ingin menolong kerana kasihan akan Nina,” tambahnya.

Menurut Fauziah pada hari berkenaan dia pulang ke rumah pada jam 11 malam dek kerana pulun menyiapkan kerja berkenaan. Nina memberitahunya hanya ada beberapa perkara yang perlu disiapkan namun ia bukan seperti diperkatakan. Dia berasa tertipu tetapi tidak berani menyuarakan kerana masih baru. Dua minggu kemudian Nina melakukan perkara yang sama mengatakan dia mempunyai kecemasan namun Fauziah melihat di laman sosialnya dia keluar bersama rakan lelakinya menonton wayang.

“Pada ketika itu, saya hanya menurut sahaja namun selepas lima bulan Nina masih melakukan perkara yang sama kepada saya. Keadaan berkenaan membuatkan saya tertekan kerana sering pulang lewat akibat menyiapkan kerja orang lain. Saya tidak pernah menyuarakan perkara ini kepada sesiapa pun termasuk suami kerana bimbang dia akan risau pada saya. Saya juga menyedapkan hati dengan mengatakan bahawa ini lumrah bekerja,” kata Fauziah.

PERLEKEHKAN PENAMPILAN

Bukan sahaja menyuruh melakukan kerjanya, Nina juga sudah pandai memperlekehkan penampilan diri Fauziah. Dia sedar dia tidak memiliki bentuk badan seperti Nina yang menarik perhatian. Dia lebih selesa memakai baju labuh dan menutup aurat kerana dia sudah bersuami dan ingin menjaga pandangan orang.

“Saya memiliki tubuh yang agak berisi sedikit jadi saya lebih selesa memakai baju yang sedikit besar bagi memudahkan pergerakan. Solekan di wajah juga tidak tebal cukup bedak dan gincu di bibir. Nina sering kali bergosip bersama rakan sepejabat mengenai penampilan saya. Pernah sekali saya terdengar dia berkata, saya gemuk dan bagaimana suami saya boleh terpikat dengan saya. Pada ketika itu Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaan dan tekanan ditertawakan sedangkan pada ketika itu saya sedang mengandung,” katanya lagi.

Menurut Fauziah lagi, dia tidak pernah memberitahu rakan sekerja yang dirinya sedang berbadan dua. Hanya pihak sumber manusia dan ketua jabatan sahaja yang tahu. Nasib baik juga ada rakan rapat bernama *Maya yang arif akan keadaan dirinya malah rakannya itu sering menasihatkan agar dia tidak terlalu bekerja kuat kerana perlu menjaga kebajikan kandungan. Walaupun hatinya tabah dan lebih suka mendiamkan diri, perangai Fauziah makin menjadi-jadi.

“Maya ada menyuruh saya untuk memberitahu kepada pihak atasan mengenai Nina, namun saya menolak kerana bimbang akan melibatkan kerjaya saya. Sehinggalah pada suatu hari, saya pulang lewat kerana menyiapkan kerja Nina dan saya jatuh pengsan kerana ingin ke pantri mengambil air. Mujur pada ketika itu Maya masih berada di pejabat dan terus membawa saya ke hospital. Sedar daripada pengsan saya lihat suami dan Maya berada di sisi. Doktor memberitahu saya terlalu penat dan ia hampir meragut nyawa kandungan saya,” katanya lagi.

PERLAKUAN TERBONGKAR

Sekembali ke pejabat, Fauziah dipanggil ketua jabatan dan bertanya mengapa dia kerap pulang lewat kerana menurut ketuanya, Fauziah telah menyiapkan kerja yang diberikan. Fauziah kemudian berasa serba salah untuk memberitahu perkara yang sebenar sehinggalah Maya masuk dan mendedahkan perbuatan Nina yang gemar mengambil kesempatan.

Hanya selepas itu Nina dipanggil ketua jabatan dan diberi amaran kerana telah membahayakan nyawa pekerja lain. Selepas diteliti, pihak sumber manusia meminta Nina menghantar surat berhenti atau diberhentikan pihak syarikat. Perkara ini sampai ke pengetahuan pemilik syarikat dan dia telah mengeluarkan amaran keras kerana tidak mahu perkara ini berulang.

“Nina sangat menyesal dengan perbuatannya. Dia ada datang meminta maaf kepada saya kerana tidak tahu mengenai kandungan saya. Saya memaafkannya tetapi saya tidak mampu melupakan bagaimana saya didera secara mental oleh rakan pejabat. Nina tidak lagi bekerja di syarikat berkenaan dan ketua jabatan mengesyorkan saya mengambil jawatan Nina. Saya masih lagi bekerja dengan syarikat itu dan tidak lagi mempunyai masalah dengan rakan sekerja,” katanya.

Fauziah memberitahu lagi, kejadian buli di tempat kerja tidak wajar berlaku kerana ia satu bentuk deraan mental dan fizikal dan jika sudah tidak tertahan, mungkin berlaku tindakan luar jangkaan seperti bunuh diri.

Jika anda ada ciri menjadi mangsa buli di pejabat, pastikan anda buat laporan ke jabatan sumber manusia syarikat atau kepada Jabatan Buruh.

*bukan nama sebenar
Sumber Gambar: Depositphotos