[Titik Hitam] Jiran Dari Neraka

Tanpa sebarang sebab, jirannya mula bertindak ganas terhadap dia sekeluarga.

Keseronokan hidup berjiran tercemar apabila’orang sebelah’ yang selama ini ramah dan baik bertukar sikap sehingga mengancam keselamatan hidup mereka sekeluarga.

Kemesraan Berjiran

Memang tidak disangka setelah lima tahun hidup aman damai dengan jirannya, wanita yang berkhidmat dengan institusi perbankan ini terpaksa menjual rumahnya kerana masalah yang dihadapinya dengan jiran tertangga. Dia sesungguhnya tidak pernah menyangka hubungan baik dengan jiran sebelah akhirnya berantakan dan putus begitu sahaja. Berikut adalah luahan hati *Anita, 35, yang sehingga hari ini masih tidak tahu apa punca jiran memusuhi dirinya sekeluarga.

“Saya dan suami sepakat untuk membeli rumah setelah lima tahun menyewa apartmen. Lagi pula anak kami sudah mula bersekolah. Sudah tentu kami mahu ada halaman sendiri untuk mereka bermain. Kebetulan, saya suka berkebun dan sudah mula membayangkan taman kecil yang penuh dengan bunga memenuhi halaman rumah kami,” kata Anita membuka lembaran ceritanya.

Setelah membuat pencarian, akhirnya mereka membeli sebuah rumah teres setingkat di kawasan perumahan tidak jauh dari tempatnya bekerja. Setelah proses membeli rumah selesai, mereka sekeluarga bersemangat menghias rumah baharu meski belum ada bajet untuk membuat ubah suai terutama bahagian dapur yang dirasakan agak sempit.

Keseronokan masuk rumah baharu berganda apabila jiran sebelah mereka baik orangnya. Hari pertama mereka pindah, jiran baharu menghulurkan salam perkenalan dengan menghantar kuih untuk mereka sekeluarga. Bermula daripada hari itu kata Anita, perhubungan dengan jiran yang lebih kurang baya mereka menjadi tambah akrab.

“Jiran sebelah rumah saya seorang suri rumah tangga. Justeru, dia mempunyai banyak masa di rumah sedangkan waktu saya agak terbatas. Kami hanya bertegur sapa apabila saya pulang kerja tetapi hujung minggu dia biasanya akan singgah ke rumah dan duduk di halaman rumah sambil bercerita. Ada masanya saya menggoreng cucur atau pisang sambil berbual-bual mengenai hal keluarga,” cerita Anita seterusnya.

Jiran Bertandang Minta Makanan

Hubungan baik dua jiran ini semakin hari semakin terserlah apabila suri rumah sebelah kerap datang ke rumahnya membawa mangkuk kosong. Kebetulan Anita bukan sahaja gemar berkebun tetapi handal di dapur. Boleh dikatakan setiap hujung minggu dia akan melayan selera suami dan anak dengan menyediakan menu lazat dan tidak lokek menghantar sepinggan pada jiran sebelah.

“Apabila saya kerap menghantar pada jiran, dia akhirnya tidak segan untuk minta masakan saya. Setiap kali dia terhidu bau sedap dari dapur, orang sebelah pasti menjenguk dari pintu dapur dengan membawa mangkuk kosong. Sejujurnya saya memang tidak berasa apa-apa bahkan mengalu-alukan dia kerana seronok apabila dia suka masakan saya. Lagi pula saya rasa dia baik orangnya. Jika saya pulang kampung dia akan tolong tengok-tengokkan pokok bunga saya,” kenang Anita lagi.

Kemesraan antara dua jiran ini kejap terjalin sehingga pada suatu hari, jirannya tidak lagi membalas senyuman yang dilemparkan Anita kala dia pulang kerja. Memikirkan jirannya tidak perasan dia menegur pula tetapi teguran tersebut juga tidak dibalas. Pelik juga dia memikirkannya tetapi hatinya bersangka baik mengatakan jiran itu  tidak mendengar atau ketika itu fikirannya menerawang ke mana-mana.

Rupa-rupanya kedinginan tersebut berlarutan sehingga sebulan dan dia telah menyuarakan  hal ini pada suaminya. Sebenarnya bukan dia sahaja yang perasan keadaan demikian tetapi suami turut berasa pelik dengan sikap jiran mereka.

“Seminggu lamanya saya memikirkan masalah ini, bertanya-tanya pada diri apakah kesilapan yang kami buat malah saya turut bertanya anak-anak apakah mereka berbuat sesuatu yang membuat jiran sebelah marah atau menegur mereka. Tetapi kedua-duanya hanya menggelengkan kepala.”

Tetapi kata Anita, apa yang dia perasan jirannya berhenti senyum dan menegur sejak dia mula membuat sedikit renovasi pada bahagian dapur dan halaman depan. Dia pula tidak sempat untuk memberitahu jirannya sekali gus memohon maaf jika bunyi bising tukang rumah tersebut mengganggu mereka.

“Saya memang berniat nak memberitahu mereka tetapi apabila teguran saya sudah tidak dibalas saya mula serba salah untuk memberitahunya atau tidak. Apa yang menyedihkan saya sebulan setelah tidak bertegur sapa suatu hari jiran telah menuangkan sampah yang berupa daun-daun kering ke halaman rumah. Saya hanya diamkan sahaja tetapi minda ligat berfikir kenapa hal seumpama ini terjadi,” Anita mengungkapkan sikap pelik jirannya yang selama ini baik dengnanya.

Jiran Baik Berubah Ganas

Selang beberapa bulan setelah peristiwa buang sampah yang dilakukan beberapa kali, sikap pelik jirannya sampai ke kemuncaknya. Suatu hari, balik kerja Anita melihat pokok bunga di depan rumahnya patah-patah seperti kesan dirosakkan. Dia bergegas masuk ke dalam, menukar pakaian dan kemudian ke depan semula. Semasa ralit mengangkat semula pasu-pasu, membersihkan tanah-tanah yang berselerak dia mendengar suaminya menjerit namanya dan dia pantas menoleh dalam keadaan terkejut. Lebih terkejut apabila melihat jiran sebelah berada di belakangnya memegang kayu.

“Saya terkejut apabila suami menjerit dan bila menoleh melihat suami jiran sebelah berada dekat dengan saya memegang kayu. Kata suami, dia melihat orang sebelah sudah menghayun kayu untuk memukul saya. Jiran sebelah bergegas masuk ke rumah. Suami saya cuba masuk ke rumahnya tetapi dia terlebih dahulu mengunci pintu. Setelah diberitahu suami mengapa dia menjerit tubuh saya tiba-tiba menggigil ketakutan. Kami terpaksa membuat laporan polis kerana bimbang saya akan dicederakan,” sambung Anita.

Menurut cerita Anita lagi, jirannya dipanggil ke balai untuk beri penerangan tetapi mereka menafikannya dan mengatakan mereka hanya membuat cerita. Polis sekadar memberi amaran kepada mereka. Bimbang perkara berulang dan dia tidak mahu keadaan menjadi semakin tegang Anita terus menjual rumahnya. Syukur rumahnya dapat dijual sebulan selepas itu. Semenjak hari itu dia tidak lagi bertemu dengan jirannya dan tidak pernah mendapat khabar berita lagi mengenai mereka. Serik rasanya berjiran dengan orang seumpama itu. Dia kini lebih berhati-hati dengan jiran sebelah rumah. Meski dia dan suami ramah menyapa jiran baru tetapi mereka sepakat untuk tidak terlalu rapat keluar masuk rumah. Keduanya cuak pisang berbuah dua kali.

*Bukan Nama Sebenar

Sumber Gambar: Depositphotos