[Titik Hitam] Ibu Tiri Kaki Sihir

Luaran nampak baik tetapi suka buat kerja terkutuk

Setelah menggunakan sihir untuk menundukkan suami, anak tiri dan menantu; si ibu tiri akhirnya ditangkap polis kerana terbabit kes menipu duit orang.

Sukar untuk mempercayai wanita yang menjadi ibu tiri, moden dan berbicara lembut itu rupanya kuat mengamalkan ilmu hitam. Namun, setelah menyaksikan sendiri wanita usia hujung 50-an itu terbongkok-bongkok jam empat pagi menabur pasir di sekeliling pagar rumah , Zarida* akhirnya percaya dan sejak itu sangan berhati-hati dengan wanita tersebut.

Menurut cerita Zarida, sejak ibu mentuanya meninggal dunia, dia melihat keadaan ayah seakan tidak terurus. Meskipun ayah mentuanya berduit dan berpangkat besar, hidup ayahnya dilihat kosong dan tidak bermakna. Kehilangan isteri tercinta yang dinikahi hampir 40 tahun itu memberi kesan yang sangat besar dalam hidupnya. Akhirnya, dia berbincang dengan suaminya serta dua lagi adik beradik suaminya untuk mencarikan jodoh untuk ayah mereka. Sebenarnya belum sempat mereka menguratakan pendapat pada ayah, si ayah terlebih dahulu memberitahu niatnya untuk berkahwin. Rupa-rupanya sewaktu bermain golf dengan teman, ada sahabat ayah mentuanya yang membuat kira; mencari isteri baru sebagai teman hidup sekali gus ‘membunuh’ kesepian ayah mentuanya setelah setahun ditinggalkan isteri ke negeri abadi.

Semua anak bersetuju. “Alhamdullilah majlis nikah berjalan secara sederhana. Ibu tiri kami juga seorang balu dengan dua orang anak. Ibu baru kami cantik, pandai bergaya dan peramah orangnya. Cuma entah kenapa saya berasa seperti tidak sedap hati setiap kali berpeluang duduk bercerita dengannya. Saya berasa seperti ada yang tidak kena tetapi persaan itu saya pendamkan sahaja. Hati saya berkata, mungkin kerana belum mengenalinya dengan lebih dekat lagi.”

Tidak sampai setahun kahwin, Zarida sudah melihat banyak perubahan terutama daripada soal material. Dia yang kebetulan tinggal bersebelahan rumah mentua melihat ibu tirinya sudah memandu kereta mewah baharu dan penampilannya tampil lebih memukau. Kala menghadiri kenduri di rumah saudara mereka, ibu tirinya memakai rantai dan gelang emas baharu. Bapa dan ibu tiri asyik melancong ke luar negara dan khabarnya terbang dengan kelas bisnes.

“Saya sebetulnya tidak kisah dengan kemewahan yang ditunjukkan ibu mentua tirinya itu meski arwah ibu mentuanya bersikap sangat sederhana dan rendah diri. Bagi saya dan suami, apa juga yang dinikmati ibu tiri itu adalah haknya kerana dia kini isteri kepada bapa mentuanya asal sahaja bapa mentuanya itu bahagia. Setelah setahun berkahwin saya melihat kehidupan ayah kami tidak banyak beza dengan dahulu sewaktu dia masih sendiri. Ibu tiri jarang di rumah atas alasan sibuk dengan persatuan amal. Saya juga kerap melihat ibu keluar pagi dan pulang selepas 10 malam sedangkan ayah sudahpun di rumah sejak jam enam petang. Tapi kami semua diamkan sahaja kerana itu adalah pilihan ayah dan tidak mahu dikatakan menjadi punca pergaduhan mereka apatah lagi saya ini hanyalah seorang menantu.,” cerita Zarida lagi.

Masuk tahun kedua, dia melihat keadaan ayah mentuanya semakin tidak ceria. Ibu mentua tirinya semakin bebas keluar masuk tanpa batas. Jika tidak memandu keretanya sendiri dia akan memandu kereta suaminya pula. Bukan sahaja dia yang bertukar-tukar kereta malahan anak lelakinya yang berusia 25 tahun itu juga kerap meminjam kereta bapa mentuanya.

“Apabila melihat kehidupan ayah dan cara isteri baru dan anaknya yang bebas keluar masuk, hati saya berkata ada sesuatu yang tidak kena. Sebelum berkahwin saya pernah dengar bapa mentua mahukan isterinya nanti menjadi peneman ke majlis dan masjid bersama tetapi apa yang dia lihat jauh berbeza daripada apa yang diinginkan itu. Mungkin Allah mahu menunjukkan kepada saya siapa ibu mentua tiri saya yang sebenar. Saya memang jenis bangun seawal jam empat pagi untuk bersolat Tahajud kemudian mengaji sementara Subuh tetapi entah mengapa hari itu hati tergerak untuk membuka tingkap. Kala melihat keluar saya melihat bayang seseorang yang terhendap-hendap di pagar rumah sebelah iaitu rumah bapa mentua saya. Bila diperhatikan betul-betul saya melihat susuk tubuh orang sedang menabur sesuatu di keliling pagar. Saya terus  menjerit. Orang tersebut terkejut dan dia terus masuk ke dalam rumah dan saya dapat melihat meski tidak jelas yang susuk tubuh tersebut adalah ibu mentua tiri saya. Saya terkejut dan terpempan seketika,” kata Zarida.

 Ilmu Hitam Dan Kaki Penipu

Keesokan hari Zarida bercerita pada suaminya dan mereka memanggil pakcik mereka, seorang perawat Islam.  “Setelah ‘dilihat’, kami terkejut apabila diberitahu ada orang menghantar ilmu hitam atau mahu menyihir suami saya. Rupa-rupanya ibu mentua tiri saya itu bukan saja telah menundukkan suaminya dengan ilmu hitam tetapi turut mahu mengenakan suami saya pula.  Selepas peristiwa tersebut, suami saya memanggil adiknya untuk berbincang. Mereka sepakat untuk memberitahu ayah mereka dan terserahlah pada ayah untuk menguruskan hal ini. Tetapi sebelum itu, kami telah membawa ayah berubat untuk membuang sihir yang dikenakan pada dirinya. Alhamdullilah bapa mentua saya tidak teruk disihir mungkin kerana dia orang yang kuat beramal dan beriman. Beberapa bulan selepas itu, bapa mentua memanggil anaknya dan memberitahu yang dia telah menceraikan isterinya. Lebih mengejutkan adalah ibu tiri ditahan polis kerana terbabit dengan kes menipu,” kongsi Zarida panjang lebar.

Akhirnya terbongkar  cerita yang ibu tiri ini bukan saja handal bab bal sihir tetapi juga kaki menipu. Tambah Zarida lagi, sebelum berkahwin dengan bapa mentuanya si ibu tiri ini sudah banyak menipu lelaki kaya terutama duda kematian isteri. Dia menggunakan kecantikannya untuk memerangkap lelaki yang kesepian dengan menunjukkan perhatian dan kata-kata manisnya. Oleh kerana bapa mentuanya lelaki yang baik dan tidak suka berfoya-foya dengan wanita, dia dengan ikhlas mahu menikahi ibu tiri kerana mahu menghalalkan hubungan mereka.

Sepandai Tupai Melompat

Tetapi nampaknya tabiat menipu masih tidak dapat dibuang meski sudah berumahtangga. Si ibu mentua tiri katanya, menipu seorang ahli perniagaan yang percaya boleh membeli gelaran Datuk dengannya kerana dia mengaku kerabat diraja terdekat sebuah negeri. Akhirnya ahli perniagaan tersebut membuat laporan polis dan setelah dibuktikan bersalah ibu mentuanya ditahan di penjara.

“Kami sekeluarga memanjatkan rasa syukur kerana Allah telah menunjukkan kebenaran dan menyelamatkan keluarga kami.  Sejak hari itu ayah sangat berhati-hati dengan rakan-rakannya yang mahu mengenalkan dia dengan mana-mana wanita yang mahu dijadikan isteri. Hatinya seperti sudah tertutup kerana serik dengan pengalaman lalu. Apa yang boleh kami lakukan sebagai anak adalah berdoa supaya jika ada jodoh ayah lagi, biarlah wanita itu benar-benar ikhlas mahu menjaga ayah dan bukan mahu  mengejar hartanya,” Zarida mengakhiri ceritanya.

*Bukan nama sebenar

Gambar: Depositphotos