[Titik Hitam] Ditindas Majikan Tidak Bertanggungjawab

Tidak mahu kelihatan lemah, dia berani ambil tindakan terhadap majikannya!

Pada zaman ini, mencari pekerjaan tidak mudah dan ini membuatkan individu sukar memilih kerjaya dan menerima apa sahaja yang ditawarkan. Sudahlah tidak boleh memilih, di tempat kerja pula dianiaya majikan. Itu yang dialami oleh *Nazira Aziz, 30, yang ditindas juga diganggu secara seksual oleh rakan sekerja.

Segalanya bermula ketika mendapat tawaran kerjaya selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia pada 2005. Dia ditawarkan kerja sebagai operator kilang berhampiran saja dengan kediamannya di Kedah. Teruja mendapat punca rezeki pertama, Nazira seronok apatah lagi dapat ke pejebat bersama dua rakan baiknya dan inilah peluang untuk membantu kedua ibu bapa menyara dua adiknya yang masih bersekolah.

DIRABA SEMASA KERJA

“Saya masih muda ketika itu, jadi semangat untuk bekerja masih berkobar-kobar. Siapa yang tidak gembira mendapat kerja dan gaji pertama walaupun terpaksa bekerja syif malam. Masalah pertama yang berlaku ialah saya diganggu juruteknik lelaki bernama *Amar yang rupa-rupanya syaitan bertopeng manusia kerana dia memang suka menggangu pekerja wanita terutama pada waktu malam. Saya pernah mendengar cerita mengenai beberapa wanita yang mengadu pernah diganggu juruteknik berkenaan namun tiada siapa berani melaporkan kepada pegawai atasan kerana diugut.

“Suatu hari saya terpaksa bekerja syif malam tanpa dua rakan. Sedang asyik melakukan kerja menghadap mesin, terdengar suara Amar berbisik di belakang memanggil nama saya. Malas mahu mengambil tahu saya meneruskan kerja sehingga saya merasakan pinggang dirangkul Amar dan dia cuba untuk menghimpitkan badannya. Berang dengan kejadian berkenaan saya bertindak menjerit, memijak kakinya dan menyiku perut Amar. Terkejut kerana disiku, Amar bertindak melarikan diri ke kawasan kerjanya,” kata Nazira.

Walaupun ketika itu dia masih naif, Nazira bertindak berjumpa dengan penyelia dan melaporkan mengenai perkara itu. Penyelia kemudian memanggil Amar untuk menyiasat dan dia tidak mengaku melakukannya. Nazira bernasib baik kerana penyelianya sanggup membantu dan perbuatan tidak senonoh Amar terbongkar apabila bukti dapat dilihat melalui kamera litar tertutup di kawasan mesin operasi.

Selepas kejadian itu, lebih ramai wanita yang bekerja di kilang itu tampil untuk melaporkan perbuatan terkutuk Amar. Akhirnya lelaki itu diberhentikan kerja dan ditahan polis kerana perlakuan buruknya. Nazira berhenti bekerja dengan kilang berkenaan selepas mendapat tawaran belajar.

 MAJIKAN CUBA SABOTAJ

Tamat sahaja pengajian dalam bidang Diploma Pengurusan Hotel, Nazira bertemu jodoh dan berkahwin dengan pilihan hati yang juga seniornya dalam bidang yang sama. Rezeki selepas berkahwin, dia mendapat pekerjaan di sebuah hotel terkemuka di Pahang sebagai pembantu pengemas bilik. Menurut Nazira, kali ini keadaan di tempat kerja lebih mengejutkan kerana pergaulan di antara penyelia dan pekerja terlalu bebas.

“Sewaktu memulakan kerja, saya agak terkejut melihat penyelia saya *Khairul yang tanpa segan silu bertepuk tampar dengan seorang pekerja wanita. Saya hanya memikirkan mungkin itu teman wanitanya. Jadi saya meneruskan kerja mengemas bilik sebelum tiba waktu daftar masuk hotel. Selama bekerja saya hanya membuat hal sendiri dan jarang bergaul dengan rakan kerja yang lain kecuali *Bainun yang lebih berumur.

“Bainun ada memberitahu bahawa pekerja di sini semuanya tidak menjaga pergaulan mereka dan ada juga yang tinggal sebumbung lelaki dan perempuan. Suatu hari, sedang saya mengemas bilik bersama Bainun, Khairul masuk dan memarahi kami kerana menonton televisyen sambil mengemas padahal kami baru sahaja tiba di bilik berkenaan dan mahu memadamkan televisyen. Berang dengan tuduhan berkenaan, saya bersuara dan memberitahu tentang perilakunya berduaan dengan wanita sewaktu bekerja adalah salah. Terkedu dengan cerita saya, Khairul berlalu pergi dengan keaadaan marah,” tambah Nazira lagi.

Seminggu selepas kejadiaan, pengurus bahagian memanggil Nazira dan memberitahu dia tidak mahu mengambil saya bekerja walaupun masih berada dalam tempoh percubaan. Pengurus menyuruh Nazira menghantar surat berhenti atau diberhentikan. Nazira pasti ia adalah angkara Khairul yang sudah pasti memburukkan dirinya di hadapan pengurus berkenaan. Dia cuba untuk membela dirinya bahawa selama dia bekerja, Nazira tidak pernah lewat atau melakukan kesalahan besar.

Pulang bekerja, Nazira terus memberitahu mengenai perkara berkenaan kepada suaminya. Suaminya yang terkejut dengan kenyataan berkenaan terus membawa Nazira berjumpa Pegawai Perhubungan Industri dan menceritakan mengenai masalah yang dihadapi. Pegawai  itu meyakinkan Nazira tidak perlu risau dan hadir sahaja bekerja seperti biasa. Menurut pegawai berkenaan, kes seperti ini pernah terjadi dan dilakukan individu yang sama.

“Pengurus berkenaan kemudian dipanggil pegawai atasan dan diberi amaran untuk tidak menggunakan kuasa sesuka hati. Sejak itu, Khairul dan pengurusnya tidak berani untuk mencari masalah dengan saya. Sebolehnya mereka berdua mengelak daripada terserempak. Setelah setahun bekerja dengan hotel berkenaan saya mengambil keputusan untuk berhenti kerana anak kedua saya meninggal dunia akibat jantung berlubang.

“Pesan saya kepada semua wanita agar ambil tahu mengenai Akta Buruh dan berani untuk bersuara jika anda diganggu secara seksual atau mental. Ini akan membantu anda supaya tidak ditindas oleh majikan dan boleh mempertahankan hak anda sebagi seorang pekerja,” katanya yang kini menjadi suri rumah sepenuh masa.

Sumber Gambar: Depositphotos