[Titik Hitam] Baran Jadi Punca Teman Terbunuh

Sifat mudah marah akhirnya menyebabkan dirinya meringkuk dalam penjara.

Raut wajah yang biasa menggambarkan ketenangan hati, setenang air di kali. Sekelumit tidak menyangka wanita ini disabitkan hukuman penjara atas kesalahan membunuh rakan sendiri.

Sudah meringkuk di dalam tirai besi selama empat tahun membawa kepada suatu perubahan ketara ke atas diri *Amanda, 27. Dia mengaku dirinya seorang yang panas baran sebelum ini sehingga mengakibatkan kawan sendiri terbunuh dengan tangannya, tetapi pengalaman berada di Penjara Bentong, Pahang merubah segalanya. Dia kini tidak lagi cepat marah, malah lebih tenang dan cuba memperbaiki kekurangan diri.

Bunuh Tanpa Niat

“Saya dipenjara atas sebab membunuh tanpa niat. Saya terbunuh kawan sendiri ketika kami bersama kawan lain menghabiskan masa di rumah. Kami berborak seperti biasa ketika itu. Daripada perbualan biasa, entah bagaimana timbul selisih faham yang lama-kelamaan melarat sehingga pergaduhan.

“Darah muda yang berisi dengan baran mencetus suasana kekecohan antara kami hinggakan tanpa menyedari butiran yang berlaku, dia terjatuh dari tingkat tujuh kediaman kami. Tergamam, terpaku. Dia dikejarkan ke hospital tetapi di dalam perjalanan, dia telah menghembuskan nafasnya yang terakhir kerana kecederaan yang dialami,” ujar Amanda penuh kekesalan mengenai kejadian yang masih bersarang di fikirannya, seakan baru berlaku sehari sebelum pertemuan ini.

Tambah Amanda, dia sama sekali tidak sedar bagaimana dia boleh tertolak rakannya itu sehingga jatuh dari bangunan. Semuanya terjadi dalam sekelip mata dan sejak kejadian itu, dia menjadi takut dan sentiasa mencuba untuk melupakannya agar dia tidak terikat dengan perasaan tidak enak yang sekali gus menjadikan dia kembali panas baran.

“Setelah kawan saya jatuh dari bangunan, kawan lain yang berada di tempat kejadian terus menelefon pihak polis dan saya ditangkap untuk membantu siasatan. Hanya Tuhan saja tahu perasaan saya ketika itu. Takut, berdebar, bersalah, semuanya datang dalam waktu yang sama. Tetapi apakan daya perkara sudah jadi dan saya harus menanggung akibatnya,” kata Amanda seolah pasrah.

Pasrah Terima Hukuman

Setelah ditangkap oleh pihak polis dan dibacarakan, dia akhirnya dijatuhkan hukuman penjara enam tahun atas kesalahan membunuh tanpa niat. Kesal bercampur takut, tetapi dia kuatkan juga hati melangkah kaki ke dalam penjara. Walau pada awalnya dia memikirkan hidupnya bakal hancur meringkuk di penjara, ternyata sangkaannya tidak benar sama sekali. Penjara yang dihuninya memiliki segela kelengkapan yang cukup, di samping dia diberi peluang untuk menyambung pelajaran demi masa depan yang cerah.

“Pertama kali melangkah kaki ke sini, saya langsung tidak tahu apa yang bakal saya tempuh. Hidup saya berubah 360 darjah. Jauh daripada keluarga membuatkan saya lebih bergantung kepada pegawai dan penghuni di sini. Makan minum saya semuanya cukup, malah saya diberi peluang untuk belajar dan mendalami ilmu kemahiran.

“Saya mengambil jurusan Ijazah Pentadbiran Perniagaan di bawah Open University Malaysia (OUM). Setiap minggu saya belajar di dalam penjara bersama tenaga pengajar dari OUM. Sekarang sudah masuk semester enam, syukur. Selain itu, saya juga belajar sambil bekerja dalam bidang katering dan pastri. Jika sebelum ini saya langsung tiada ilmu memasak, kini saya sudah boleh menyediakan pelbagai jenis pastri. Seronok apabila dapat mendalami perkara baru yang tidak pernah saya cuba dahulu,” jelas Amanda.

Menceritakan lanjut mengenai penerimaan keluarga terhadap kes ini, Amanda bertuah kerana memiliki keluarga yang tidak membuangnya, malah tidak berhenti memberi sokongan kepada dia untuk terus kuat di sini. “Seluruh keluarga saya tiada sebarang masalah menerima khabar saya dipenjarakan. Malah mereka sentiasa ‘mendukung’ saya dan melawat dua minggu sekali,” katanya lagi.

Beri Peluang Berubah

Selain daripada berkesempatan untuk mengambil sebanyak mungkin ilmu sepanjang berada di penjara, Amanda juga tidak menafikan segala kelas yang dijalankan di sini banyak merubah cara hidupnya. “Sebelum dimasukkan ke dalam penjara, saya lebih banyak menghabiskan masa dengan hal dunia saya sendiri. Tetapi apabila di penjara, saya perlu menghadiri kelas agama yang membantu saya mendekatkan diri dengan Tuhan. Kini saya sudah berjaya khatam Al-Quran dan lebih patuh pada ajaran agama.

“Saya juga dibantu dengan sesi kaunseling di sini. Yalah, dahulu diri ini sangat sensitif dan mudah marah jika ada benda yang tidak kena. Namun, melalui kaunseling tersebut, saya kian sedar akan akibat sifat panas baran saya itu. Sekarang saya lebih tenang dan mampu mengawal emosi. Semampu mungkin saya tidak mahu mengingati peristiwa lalu yang membuatkan saya kesal seumur hidup,” terangnya dengan penuh tenang.

Mengenang hakikat yang dirinya akan menghirup udara luar juga suatu hari nanti, Amanda mempunyai satu harapan besar yang dia semat di hati sehingga kini. “Seperti semua penghuni di sini, saya berharap apabila keluar nanti saya dapat menggunakan kemahiran dan sijil yang ada untuk meneruskan hidup dengan jayanya. Saya tidak mahu lagi memandang ke belakang. Apa yang paling penting, harapan terbesar saya adalah agar keluarga mangsa dapat memaafkan saya. Saya nak mereka tahu bahawa saya betul-betul menyesal dengan peristiwa silam itu,” kata Amanda dengan mata yang berkaca mengakhiri perbualan.

*Bukan nama sebenar